Pok Ya Congcodei, makna tersirat yang ramai orang tak tahu

Pok Ya Congcodei, makna tersirat yang ramai orang tak tahu

“Kalau aku nak kutik ambil tahu seremo masalah ore, baik aku jadi menteri!” — “Pok Ya Congcodei” (2018).

Ketika hari-hari awal tularnya telefilem “Pok Ya Congcodei” (PYCCD) di media sosial pada awal tahun 2018, ramai yang hanya melihat sisi seksual naskah ini. Sedangkan, banyak lagi sebenarnya aspek positif boleh ‘dibaca’ daripada karya ini. Benar, naskah atau karya yang dihasilkan adalah bergantung kepada pemikiran penontonnya. Tapi, lebih molek kiranya kita menghadam keseluruhan naskah unik ini, dan bukan hanya melihat dari satu atau dua sisi yang sempit.

Watak seperti ini memang wujud

Dalam karya ini, Sabri Yunus, aktivis seni yang terkenal, memegang watak utama selaku seorang lelaki ‘gedebe’ dari Kelantan yang terkenal dengan gelaran ‘Pok Ya’. Beliau datang ke Kuala Lumpur untuk melaksanakan tugas mencari anak seorang Datuk yang kononnya dilarikan lelaki. Di Kelantan, watak seperti Pok Ya itu memang wujud, malah perkataan ‘Cong Codei’ (merujuk kepada Hotel Concorde) pernah menjadi bualan masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang satu masa dahulu.

Antara yang menarik tentang telefilem ini adalah bilamana soal ‘gedebe’ dikupas dan ditampilkan dengan makna tersendiri. Seperti yang disentuh oleh Dinsman, dalam kolum ‘Tekad Budaya’ akhbar Amanah, pada 4hb Mac 2018:

“…Pok Ya lakonan Sabri itu bukan gedebe sebarang gedebe tetapi itulah manusia gedebe yang dihormati dan disanjungi rakyat Kelantan. Gagah, berani, keras tetapi di dalamnya ada kelembutan dan kasih sayang. Ada kelebihannya dan ada kekurangannya…”

“Dan Sabri secara sedar memilih rakyat dan budaya Kelantan sebagai bahan utama penceritaan filem-filemnya (saya sebut filem sahaja walaupun kategorinya ialah drama tivi). Di sini saya melihat dan membandingkan kesenimanan Sabri Yunus dengan kesenimanan para sasterawan yang bercerita dan mengangkat realiti masyarakat ke dalam karya sastera – novel dan cerpen.”

Sebagaimana maksud asal ‘gedebe’ yang dikatakan berasal dari istilah di Selatan Thai yang merujuk kepada ‘Tok Nebe’ atau ‘Tok Penghulu’, Sabri berusaha menampilkan makna tersebut kepada penonton. Hal ini dapat dilihat apabila Pok Ya cuba selesaikan masalah Datuk Sahak (Mustapha Kamal) dan Rashdan (Fikry Ibrahim), di samping mendamaikan Halim Kampung Pasir (Saidi Sabri) dan Nasir Badak atau Nasir Chow Kit (Ku Hanafi Ku Harun).

Pok Ya ada sisi naif juga

Sisi naif Pok Ya selaku seorang gangster tua disulamkan dengan kesungguhan mempertahankan prinsip selain komitmen terhadap tugasan yang diberikan. Dan lakonan hebat Sabri Yunus telah menenggelamkan nama-nama yang popular dalam telefilem ini seperti Uqasha Senrose (memegang watak Aina) dan Fikri Ibrahim sendiri. Antara babak lucu yang paling diingati pastinya bila Pok Ya membuat panggilan, dan bila ditanya di mana beliau berada, dengan yakin Pok Ya menjawab, “Awas, kenderaan berat keluar masuk”, selepas melihat papan tanda di tepi jalan.

Lawaknyaaa. Via Giphy

Jalan cerita dalam naskah ini, kebanyakannya adalah cerminan daripada realiti serta pengalaman hidup Sabri Yunus sendiri, seorang aktivis dan seniman yang sangat berjasa kepada dunia seni tanah air. Dan sifat suka membantu yang ada pada Pok Ya dapat dilihat dalam diri Sabri Yunus dengan memilih Mazlan Sulaiman untuk memegang watak ‘Eah Chu’.

Mazlan yang berasal dari Kampung Tanjung Che Mah, Tumpat, sebenarnya adalah seorang Imam masjid yang sedang mencari dana untuk menyiapkan Masjid Nurul Bahri di Kampung Pulau Panjang, Takbai, Selatan Thai. Dan, Sabri memilih kaedah unik dengan mengambil Mazlan – yang tidak mempunyai pengalaman berlakon; untuk memegang watak seorang gangster, meskipun beliau adalah seorang Imam dalam kehidupan di luar set.

Dari imam ke watak gangster. Via ViralKami

Sabri merupakan legenda seni negara

Sabri bukanlah nama kecil dalam industri seni di Malaysia. Beliau sudahpun mencipta populariti tersendiri menerusi wataknya sebagai ‘Wan Ismail Golok’ dalam sitkom popular “Pi Mai Pi Mai Tang Tu” pada era 90an. Beliau turut mencipta kejayaan sebagai ‘Pengarah Terbaik Anugerah Skrin 2011’ menerusi telefilem “Sanggul Beracun”.

Sementelah, ramai yang membuat kesimpulan sendiri apabila menonton babak akhir PYCCD. Memetik kata-kata Sdr. Sabri dalam forum anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 27hb Februari 2018:

“Cerita saya (PYCCD) habis dah, bila kredit akhir cerita tu habis. Yang belum habis tu dalam minda penonton saja.” Sabri kemudiannya mengarahkan “Pok Ya Cong Codei: Siti di Hati” sebagai kesinambungan dari PYCCD.

Via MyInfoTaip

Apabila dalam forum yang sama, Sdr. Dinsman menggambarkan bahawa ‘Sdr. Sabri telah menemui bahasa filemnya sendiri (menerusi telefilem PYCCD).’ PYCCD telah memberikan nafas baharu kepada watak dan imej gangster dalam filem dan drama di Malaysia. Paling utama, PYCCD mendidik penonton untuk lebih membuka minda — dengan berkelana di dunia luar.

Bergaul dan cuba memahami perbezaan latar dan budaya sesuatu segmen masyarakat dan tempat. Bukan hanya menjadi jagoan dalam ‘circle’ sendiri. Percayalah, sehebat mana pun nama kita, belum tentu kita dikenali di tempat lain. Sungguh, jangan ingat kerana kita punya kepakaran dan kemahiran dalam sesuatu bidang, maka kita tahu dan arif dalam semua perkara. Kita hanyalah hamba-NYA yang kurang serba-serbi. Berpijaklah di bumi yang nyata. Bersederhanalah – dalam berfikir dan bertindak.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top