Unduk Ngadau, pertandingan ratu cantik bagi memperingati Huminodun

Suasana di Kadazandusun Cultural Association Sabah (KDCA) penuh gamat selama dua hingga tiga hari, bermula dari 29 sehinggalah 31 Mei lepas. Deretan kereta dan penduduk tempatan meramaikan suasana Kaamatan. Tiap kali Pesta Kaamatan, “Kotobian tadau tagazou do Kaamatan” sudah terpampang di mana-mana. Unduk Ngadau sudah jadi acara utama dalam perayaan Kaamatan. Kami kongsikan kenapa Unduk Ngadau ni penting sangat bagi orang Sabah.

Kadazandusun Cultural Association Sabah (KDCA) jadi tempat utama sambutan Kaamatan. Kredit foto: nadiatulnoshiawase. blogspot.com

Semuanya gara-gara Huminodun!

Di suatu masa dahulu, ada sebuah kampung yang subur tanahnya. Masyarakatnya terdiri kebanyakan para penanam buah, pengumpul hasil hutan dan petani padi. Semuanya aman dan damai, sehinggalah pada suatu ketika, mereka dilanda kemarau panjang. Banyak tanaman telah mati dan sungai pun jadi kering.

Kinorohingan, seorang ketua masyarakat telah bertanya pada Bobolian pasal kemarau ni dan macam mana untuk hentikan kemarau tu. Bobolian ni bertaraf orang tua atau pendeta bagi etnik Kadazan. Bobolian kata bahawa satu-satunya jalan untuk suburkan semula tanah mereka adalah dengan satu pengorbanan. Tapi pengorbanan tu kenalah dibuat oleh seseorang yang sangat cinta pada masyarakat.

Kredit foto: 123rf.com

Huminodun terdengar perbualan mereka dan terfikir mengenai kata-kata Bobolian. Huminodun ni anak kepada Kinorohingan dan isterinya, Sumundu. Setelah berfikir dengan mendalam, Huminodun sanggup dijadikan korban. Semua orang tidak mahu biarkan Huminodun berbuat begitu.

Tapi apakan daya, Huminodun bertegas. Maka sebuah upacara telah diadakan. Huminodun sempat pesan pada bapanya: Ama, poluo iti turu rangoh dot parai, poluo hilo tangkob, koturu nopo rasam om, pasasadon noh ilo tuah dau. Maksudnya, “Bapa, simpan tujuh tangkai padi ini dalam bakul tertutup dan tanam buah-buah padi ini apabila hujan turun”.

Sehabisnya Huminodun dikorbankan, barulah hujan turun dengan lebatnya. Demi mengingati peristiwa ni, mereka merayakan upacara kesyukuran kepada semangat padi Bambarayon dan kepada semangat Huminodun.

Apa kena mengena pula Huminodun dengan Unduk Ngadau?

Mulanya Unduk Ngadau ni salah satu cara untuk memperingati Huminodun. Dalam bahasa Dusun, Unduk Ngadau dikatakan datang dari runduk tadau, bermaksud ‘gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari’. Secara rasminya, pertandingan ratu cantik bermula di Penampang pada 1960-an. Sejak tu, nama gelaran pemenang pun ikut berubah dengan zaman.

Dari tahun 1960-1970, gelaran untuk pemenang adalah Miss Kadazan. Dari tahun 1971-1980, pemenang akan menang gelaran Miss Harvest Festival. Dari tahun 1981-1990 pula, gelaran untuk pemenang adalah Ratu Kaamatan. Sejak 1991 hingga kini, gelaran pemenang adalah Unduk Ngadau.

Pemenang Miss Kadazan pertama, Yong Mee Lan pada 1960. Yong mewakili daerah Penampang. Kredit: Wayback Machine

Cantik-cantik ni, macam mana nak bagi markah?

Dr. Paul Porodong, salah seorang panel juri Unduk Ngadau Kaamatan 2016 jelaskan cara mereka bagi markah. Katanya, sistem pemarkahan Unduk Ngadau bukan calang-calang kerana ada sistem khas dimana setiap juri akan ada kod masing-masing. Sistem ni juga yang akan kira markah purata ikut markah yang diberikan oleh setiap juri.

Kemudian, para peserta Unduk Ngadau ni akan berjalan di depan para panel juri dalam jarak lebih kurang 3 kaki supaya semua juri boleh tengok sendiri apa yang kurang. Contohnya, kalau seseorang peserta tu ada terlebih mekap, atau pakaian dan aksesori yang kurang kemas, markah akan ditolak secara adil.

Via MySabah

Markah yang diperolehi dalam setiap pusingan akan dibawa pada peringkat yang lain sehinggalah ke Top 15, lepas tu Top 7. Untuk cari pemenangnya, ada dua ujian kritikal. Ujian pertama adalah ujian tahap penguasaan bahasa Ibunda. Haa, ni bukan ujian lisan bahasa Melayu, Cina dan India. Ni ujian yang perlukan para peserta berbahasa ikut etnik sendiri.

Ujian kedua membawa penilai sebanyak 25%. Ujian ni yang paling ditakuti para peserta, iaitu penilaian soalan terbuka. Objektif ujian ni adalah untuk nilai tahap kepintaran dan kematangan para peserta. Untuk ni, peserta boleh jawab ikut bahasa yang dia selesa.

Unduk Ngadau makin susah tahun ni

Pada 24 April lalu, pengerusi penganjur Unduk Ngadau tahun ni iaitu Jo-Anna Sue Henley Rampas kata ada beberapa perubahan dari segi syarat dan pemberian markah. Beberapa yang disebutkan adalah para peserta Unduk Ngadau akan disuruh buat kajian pasal etnik masing-masing dan dibentangkan di hadapan panel juri.

Had umur maksimum untuk para peserta Unduk Ngadau pun diubah daripada 25 tahun ke 27 tahun.  Bilangan peserta pula ditambah untuk tahun ni, iaitu daripada 46 ke 64 orang. 3 pemenang utama juga akan diwajibkan untuk terlibat dalam projek kemasyarakatan seperti dalam pendidikan budaya, duta pelancongan dan kerja kemasyarakatan.

Jo-Anna Sue Henley Rampas juga bekas Unduk Ngadau, naib juara Bintang RTM 2009, graduan dalam Undang-Undang, pernah bertanding untuk DUN Kiulu dan kini menjawat Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah. Kredit foto: Rojakdaily

Siapa kata orang duduk Semenanjung Malaysia tak dapat ikut?

Syarat utama Unduk Ngadau adalah mestilah gadis warganegara Malaysia, berumur 18-27 tahun dan perlu dapat kebenaran dari sekolah kalau masih bersekolah. Mereka juga mesti datang dari suku kaum etnik Kadazan/Dusun/Murut/Rungus (KDMR), sihat tubuh badan dan mental dan bukan beragama Islam.

Daphne Iking, pengacara terkenal juga pernah jadi Unduk Ngadau pada 2003 mewakili Klang Valley. Kredit foto: jasonjay.blogspot.com

Biasanya para peserta Unduk Ngadau jadi wakil daerah adalah para pemenang dari Unduk Ngadau dalam peringkat daerah atau zon terlebih dahulu, jadi mereka tidak dibenarkan ikut sebarang pertandingan ratu cantik sampailah pertandingan ratu cantik peringkat negeri tamat.

Jadi jika korang rasa korang layak, cuba je! Kata orang Sabah;

“Apa-apa pun, dari kita saja bah tu.” (Apa-apa pun, datangnya dari diri sendiri juga).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *