Najib dakwa tiada peguam bela lepas rayuan ditolak Mahkamah, ini perkembangan selanjutnya

najibrazak zaid

Kes Najib Razak ni dah bertahun-tahun meleret tak ke sudah. Terdahulu, Najib Razak merupakan antara kes berprofil tinggi yang dah dibuktikan bersalah ke atas pertuduhan rasuah, penyelewengan dan salah laku berkenaan 1MDB. Walaupun dah dijatuhkan hukuman, banyak kali pihak mahkamah memberi masa buat Najib Razak untuk membuat rayuan tentang kesnya. Hari demi hari, ramai menanti Najib Razak… selaku bekas PM Malaysia ni mencatat sejarah jadi banduan Penjara Sungai Buloh.

Sekarang ni, salah satu cara yang dibenarkan dalam prosedur keadilan negara adalah menukar pasukan peguamnya. Walaupun begitu, diorang tak berjaya nak minta lebih banyak tempoh untuk bersedia membela Najib Razak. Oleh demikian, Najib dakwa bahawa sekarang ni.. dia takde peguam bela dah. Apa perkembangan kes Najib Razak sekarang ni? Betul ke dia takde peguam bela dah? Kami ringkaskan kisahnya…

Najib Ditahan Polis Tangkap
Via Malaysia Dateline

Bukan Shafee tak mampu, tapi ini taktik Najib nak dapatkan peluang lain untuk pembelaan dirinya

Sebelum ni, Najib Razak bersama dengan Shafee & Co dalam beberapa siri perbicaraan. Tak perlu diperkenalkan lagi, Tan Sri Dato Sri Dr. Mohamed Shafee Abdullah ni merupakan antara peguam tersohor tanah air. Bukan calang-calang orang boleh dapatkan perkhidmatan Shafee Abdullah, walaupun dia pun ada kes jugak. Dia berdepan 2 pertuduhan wang haram RM9.5 juta yang didakwa diterima dari Najib Razak. Tansaksi tersebut didakwa daripada aktiviti haram oleh LDHN. Berbalik kepada kes Najib Razak pulak, pada 25 Julai lalu media melaporkan Najib berhenti gunakan khidmat peguam Muhammad Shafee Abdullah dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM 42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Najib kemudiannya dilaporkan melantik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam cara baharu. Ramai ingat, Najib tukar peguam kerana dia tak percaya dengan kebolehan Shafee & Co. Lebih mengejutkan, Zaid Ibrahim pulak jadi peguam Najib Razak sedangkan Zaid ni dahulunya dikenali sebagai sorang yang lantang mengkritik kerajaan. Membidas kritikan ramai berkenaan hubungan profesionalnya dengan Najib Razak, dia kata dia takkan ambil kes ni kalau takde asas.

zaidibrahim peguamnajib
Zaid Ibrahim… -Via Berita Harian

Dari sisi Najib Razak, dia terbuka dengan apa-apa sahaja rancangan yang mampu memberikan peluang keadilan kepadanya. Rancangan awalnya dahulu bersama Shafee & Co adalah untuk membawa masuk Peguam Diraja (Queen’s Counsel) Jonathan Laidlaw ke dalam pasukan peguam belanya.

laidlaw
Jonathan Laidlaw.. -Via Malaysiakini

Najib percaya Laidlaw ada cadangan yang baik dan mampu menyumbangkan idea positif kepada pasukan peguam belanya tu. Namun begitu, cadangan tersebut ditolak oleh pihak Mahkamah Tinggi kerana berpandangan Shafee sendiri sudah cukup berpengalaman untuk mengendalikan kes Najib Razak. Disebabkan itulah, dia rasa lebih baik dia ambil pasukan baharu yang boleh menawarkan khidmat peguam ternama dari luar Malaysia.

Najib kata, Zaid Ibrahim suatu masa dahulu pernah hubungi Najib dan kata dia boleh bawa masuk kepakaran undang-undang dari India melalui rakan kongsinya dari Singapura, Niru Pillai. Dia diperkenalkan kepada dua peguam kanan dari India tu, yang memberikan saranan bernas untuk kesnya. Jadi diorang bersetuju buat kerja belakang tabir manakala firma Zaid akan mudahkan proses mahkamah.

najib rayuan
Via Utusan Malaysia

Bagaimanapun, Zaid dan pasukannya datang dengan syarat. Kalau nak ambil diorang, kena letak firmanya dalam peguam cara dalam rekod dan peguam tempatan yang baru akan sertai pasukan diorang. Dia kata bukanlah hasratnya untuk melengah-lengahkan, sebaliknya ini adalah tindakan selepas permohonan Laidlaw sebagai peguam tambahan tu ditolak mahkamah kurang sebulan sebelum tarikh yang dijadualkan. Maka, keperluan untuk libatkan peguam baru tu muncul secara tiba-tiba.

Terlebih yakin boleh rayu tangguh 3-4 bulan lagi, semua permohonan ditolak oleh Ketua Hakim Negara

Sebelum ni, banyak kali pasukan Najib diberikan masa untuk tunda tarikh perbicaraan diorang. Sekarang ni pulak, ramai beranggapan taktik tukar peguam di saat akhir sebelum rayuan terakhir ni jugak salah satu cara bagi menunda masa untuk dia masuk ke penjara. Bagi Najib pulak, penangguhan ni berasas dan wajar sebab isu penglibatan hakim Nazlan dalam Maybank dahulu, dan bukti-bukti baharu yang dibawa oleh pasukan Najib.

Baru-baru ni, Mahkamah Persekutuan tolak permohonan pasukan peguam baharu Najib Razak yang minta agar diberikan masa untuk membuat persiapan bagi rayuan kes SRC International. Ye lah, diorang kata diorang baru dapat kes ni kurang dari sebulan lalu (pada 21 Julai), jadi diorang nak lebihan masa untuk meneliti semula fail dan bukti yang ada.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat kata rayuan mesti diteruskan ikut jadual. Katanya pulak, semua pihak dalam kes berkenaan, termasuklah Najib, sebenarnya cukup sedar bahawa sejak April lalu rayuan dah ditetapkan bagi pendengaran bermula 15 hingga 26 Ogos. Permohonan lanjutkan masa atas alasan sama dah ditolak pendaftar mahkamah ketika pengurusan kes sebelum perbicaraan.

“Perayu (Najib), cukup sedar penetapan tarikh bagi pendengaran, memilih untuk melepaskan peguam cara (Shafee & Co) dan melantik Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners dan Haji Hisyam Teh sebagai peguam cara dan ketua pasukan pembelaan. Ia menjadi haknya untuk berbuat demikian, namun beliau tidak boleh selepas membuat keputusan itu, berpatah balik dan mengatakan peguam baharunya tidak bersedia meneruskan pendengaran rayuan.

Peguam baharu itu juga menerima lantikan tidak berhak untuk mengatakan mereka memerlukan lanjutan masa untuk bersedia, dengan sedar sepenuhnya bahawa tarikh itu sudah ditetapkan lebih awal,”- Tengku Maimun, seperti yang dilaporkan FMT

Kl High Court
Via Malaymail

Ketua Hakim Negara tu bertegas, Najib berhak pilih barisan peguamnya, tapi dia tiada hak buat pilihan tu sehingga melibatkan mahkamah, pihak pendakwaan atau keseluruhan sistem kehakiman. Ertinya, kalau nak buat tu buat je lah… tapi jangan terus mengharapkan mahkamah akan beri ruang lagi hanya kerana nak senangkan diorang je. Banyak lagi kes lain yang perlu diuruskan, bukan kes Najib Razak je. Susulan tu, peguam utama Hisyam Teh Poh Teik pulak nak tarik diri. Mahkamah sekali lagi tolak permohonan peguam tersebut.

“Prinsip kedua ialah peguam boleh menarik diri apabila dapat menunjukkan alasan yang mencukupi untuk berbuat demikian. Kami dengan ini sebulat suara berpandangan bahawa berdasarkan fakta, peguam gagal untuk mendedahkan alasan yang mencukupi untuk menarik diri. Oleh itu permohonan ini ditolak dan peguam bela kekal dalam rekod demi kepentingan keadilan,”- Tengku Maimun, seperti yang dilaporkan Berita Harian

Kemudian, mahkamah turut menolak hujah Najib untuk memasukkan bukti tambahan berkenaan Hakim Mohd Nazlan. Bagi Tengku Maimun, benda tu takde kaitan antara jawatan Mohd Nazlan sebelum ni sebagai Kaunsel dan Setiausaja Syarikat Kumpulan Maybank sehingga dapat menyebabkan berat sebelah terhadap Najib. Fuh… 3 penolakan sekaligus dalam sehari!

Kekecewaan Najib tak berselindung lagi, apabila dia lontarkan rasa pilu dan wajah sugulnya menghiasi alam maya. Katanya:

“Saya kini secara realiti, tidak mempunyai peguam bela. Saya percaya, saya mempunyai kes yang kuat dan credible (dipercayai) serta saya juga percaya bahawa Hisyam dan pasukannya sekiranya diberikan waktu yang munasabah akan melakukan tugas hebat. Saya berdoa untuk mendapatkan perbicaraan penuh dan keadilan,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Pada 28 Julai 2020, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana hakim mengarahkan semua hukuman penjara berjalan serentak. Tahun lepas, Mahkamah Rayuan kekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan tolak rayuan Najib untuk ketepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda. Bagi pihak pasukan peguam bela Najib, penolakan ni cuma satu cabaran baharu buat diorang dan diorang akan berusaha lagi lepas ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published.