Hakim sabitkan Najib pulak kini disiasat SPRM, banyak pihak tak puas hati

nazlan 1

Apa yang berputar terus berputar… bak kata orang putih. Dalam kes dakwaan terhadap hakim yang suatu ketika dulu pernah sabitkan Najib dalam tujuh pertuduhan, boleh dikatakan situasi sekarang dah memang pelik. Tak kurang jugak melihat apa yang jadi sekarang kat hakim tu sebagai suatu tindakan yang melampaui batas kuasa pihak penguatkuasa.

Sebelum ni, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mulai naik namanya selepas menjadi hakim yang jatuhkan hukuman ke atas bekas perdana menteri, Najib Razak atas pertuduhan melibatkan 1MDB dulu. Namun, sorang penulis blog terkenal Raja Petra Kamaruddin pulak mendakwa Hakim Nazlan ni ada percanggahan kepentingan dulu dan memiliki wang yang tak dikenalpasti sumbernya di akaun banknya.

nazlan
Inilah hakim tu.. -Via Mstar

Didakwa pernah sebahagian dari kes 1MDB, Hakim Nazlan nafi dakwaan Raja Petra

Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Hakim Mahkamah Rayuan dikatakan ada simpan duit bernilai RM1 juta kat akaun banknya. Selain tu, dia dikatakan ada percanggahan kepentingan dengan Najib dan kes 1MDB. Dakwaan ni ditulis oleh penulis blog kontroversial, Raja Petra Kamaruddin bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’. Ni satu tuduhan yang berat, melihatkan kapasiti Nazlan sebagai sorang hakim.

Susulan penyiaran artikel tersebut, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya keluarkan kenyataan menafikan dakwaan Raja Petra. Ia jugak disifatkan sebagai ‘berniat jahat’ dan bertujuan nak jatuhkan kredibiliti Mohd Nazlan sebagai sorang Hakim Mahkamah Rayuan serta menganggu sistem keadilan dan institusi kehakiman. Nazlan jugak dah buat laporan polis berhubung artikel tersebut.

“Laporan polis ini juga dibuat agar siasatan di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan peruntukan undang-undang lain yang berkaitan, dapat dijalankan. Pejabat ini memandang serius terhadap tuduhan dan komen seperti ini dan mengingatkan orang ramai bahawa tuduhan terhadap Badan Kehakiman bertujuan mengganggu-gugat kes-kes yang sedang dalam proses perbicaraan, adalah satu pelanggaran prinsip sub judice,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

nazlan najib
Via Online News

Kami ringkaskan je lah apa yang Raja Petra dakwa. Disiarkan dalam portal Malaysia Today pada 21 April 2022, Raja Petra kata Nazlan dah awal-awal tau dah bahawa keputusannya tak berasas. Misalnya, Nazlan dulu kata idea penubuhan SRC tu datang dari Najib. Namun dalam minit mesyuarat 1MDB pulak, idea SRC tu datang dari pihak Maybank.

Raja Petra turut mendakwa, sebanyak RM1,036,127.40 dahpun dimasukkan ke dalam akaun Maybank sebagai sebahagian dari RM2 juta yang sepatutnya diterima dari Jho Low untuk ‘perkhidmatan yang diberikan’. Servis apakah ini, dan memandangkan Jho Low ada kaitan dengan 1MDB… tak ke ini memunculkan konflik kepentingan?

Pada 15 Mac 2022, Najib dan peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berpendapat Hakim Nazlan patut keluarkan dirinya dalam kerusi hakim untuk kes tersebut. Shafee kata, Hakim Nazlan pernah berkhidmat sebagai penasihat umum untuk Maybank yang pernah beri pinjaman sebanyak RM4.17 billion kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk membiayai pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn. Bhd.

“Oleh disebabkan dia tahu proses dan dia juga menilai proses tersebut, dia pasti mempunyai pendapat tertentu (sebelum perbicaraan kes), khususnya apabila syarikat tersebut gagal membayarnya. Soalannya, kalau anda sudahpun mempunyai pendapat tertentu tentang sesebuah syarikat, tentang bagaimana syarikat itu disalahkendalikan, bagaimana pula anda dengar (kes 1MDB) subsidiari SRC?”- seperti yang dilaporkan The Edge Market

SPRM kata akan siasat, sementara banyak pihak kata dakwaan terhadap Hakim Nazlan tak ikut Perlembagaan

Berikutan dakwaan Raja Petra ni, SPRM kata akan teliti semuanya. Satu sumber kepada Mingguan Malaysia kata, setiap maklumat yang diterima SPRM perlu ada asas sama ada benar-benar berlakunya salah guna kuasa atau tak. Penelitian maklumat ni satu prosedur biasa selepas media laporkan SPRM buka kertas siasatan terhadap Hakim Nazlan.

Dalam pada itu, Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) mendesak SPRM keluarkan kenyataan rasmi berkaitan siasatan melibatkan Hakim Nazlan. Presidennya, Syed Muhamad Imran SN Syed Abdul Aziz kata, sekiranya perkara tersebut benar, bekas PM Najib Razak berhak untuk dibicarakan semula.

“Kami bukan menyatakan beliau (Mohd. Nazlan) bersalah, tidak. Kami mohon SPRM segera siasat adakah beliau terlibat secara langsung dalam SRC International Sdn Bhd (SRC) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Maka kes Najib harus berpatah balik ke Mahkamah Tinggi dan seluruh hukuman terhadapnya dibatalkan dan beliau harus dibicara semula,”- seperti yang dilaporkan Utusan

sprm aduan nazlan
Via Utusan

Akan tetapi, tindakan siasatan ke atas SPRM mengundang kritikan dari beberapa pihak. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) beri amaran, langkah pihak SPRM nak siasat Hakim Nazlan mungkin akan membawa masalah yang lebih besar. Bila ia disiasat oleh SPRM, ada risiko untuk badan kehakiman negara dihujanji dengan pelbagai tuduhan remeh.

Pada masa yang sama, Suhakam turut membangkitkan motif SPRM nak siasat hakim sebab ia boleh melemahkan kebebasan badan kehakiman negara.

“Ini juga boleh membuka pintu kepada lebih banyak pertuduhan remeh dan menyusahkan, selain penyalahgunaan proses oleh agensi penguatkuasa terhadap badan kehakiman.

Suhakam menyokong pandangan bahawa semua hakim mesti mempunyai ruang yang sesuai untuk melaksanakan tugas mereka dengan cara yang jelas kepada semua, dan proses dan keputusan kehakiman adalah bebas daripada sebarang campur tangan, beralasan dan jujur.

Paling penting adalah mustahak untuk keadilan bukan sahaja dilihat dilaksanakan tetapi mesti dilakukan mengikut undang-undang,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

suhakam
Via Malaysiakini

Kalau betul-betul nak siasat, Suhakam kata perlembagaan sendiri memperuntukkan kaedah khas bagi mengendalikan sebarang tuduhan salah laku sorang hakim. Ini merupakan salah satu mekanisme untuk memelihara keseimbangan kuasa dan pengasingannya antara kehakiman, perundangan dan eksekutif.

Pandangan yang sama dikongsikan oleh Badan Peguam Malaysia mengenai siasatan SPRM tu. Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn kata siasatan tersebut jelas melanggar doktrin pengasingan kuasa dan jugak menjejaskan kebebasan Badan Kehakiman.

“Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan menyediakan cara khusus yang membolehkan sebarang aduan salah laku kehakiman ditangani dalam suatu cara tertentu yang akan memastikan keyakinan orang ramai terhadap Badan Kehakiman berterusan.
Tanpa keyakinan yang diperlukan diterapkan kepada Badan Kehakiman sebagai sebuah institusi, pentadbiran sistem kehakiman tidak akan mendapat penghormatan dan penerimaan yang penting terhadap keberkesanan operasinya dalam pentadbiran kehakiman kita,” – seperti yang dilaporkan Astro Awani
Memandangkan Hakim Nazlan pun dah buat laporan polis, sebaiknya pihak polis jugak turut menyiasat laporan yang dah difailkan oleh Nazlan. Cheah jugak tahu Badan Peguam Malaysia sedar sepenuhnya bahawa badan kehakiman tak berada dalam sebarang langkah untuk mengambil langkah bagi melindungi dirinya, dengan melibatkan dirinya dalam perbicaraan oleh media atau mana-mana bentuk konroversi awam. Sebab itulah Badan Peguam meminta pendekatan berhati-hati dilakukan oleh pihak berkuasa kita, dan tak mudah terpengaruh dengan desakan suara-suara sumbang oleh jaguh siber.
Andainya laporan yang dinyatakan Raja Petra adalah benar, boleh jadi Najib Razak mempunyai lebih banyak sebab untuk meneruskan proses perbicaraan semula. Ditambah lagi, pengendalian kes hakim ni tertakluk pada kaedah khusus yang lain sebagaimana yang digariskan dalam Perlembagaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *