KKM kurang peruntukan bertahun lamanya, kerajaan kena fikir cara salurkan lebih dana

doktorcovid1

Suatu masa lalu, kita pernah berbangga apabila dilaporkan sistem kesihatan Malaysia antara yang terbaik di dunia. Kita jugak boleh berbangga apabila kita disenaraikan dalam negara yang masih wujudkan subsidi kesihatan untuk rakyatnya. Kita jugak masih boleh berbangga apabila kita berjaya melahirkan ramai tenaga pekerja kesihatan seperti doktor dan jururawat. Namun begitu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebenarnya menyembunyikan suatu hakikat yang serius. KKM dah lama kekurangan peruntukan dan sekaligus, menyekat perkembangan sistem kesihatan negara.

Ketika pandemik, barulah kita dapat melihat sendiri isu-isu yang dibelakangkan sekian lama. Kekurangan staf kesihatan, kekurangan bekalan hospital dari segi katil, mesin dan bermacam lagi. Isu kontrak melibatkan doktor dan jururawat turut dilaungkan, tanpa ada solusi terbaik buat bakat-bakat muda ni. Semuanya berpunca dari ‘takde bajet’.

Petugas Kesihatan Wad Covid
Via MStar

Nak tak nak mengaku kurang bajet, isu keselamatan infrastruktur membayangi

Pada 2018, KKM dikecam warganet lantaran kekurangan-kekurangan yang ada kat hospital awam khususnya bab keselamatan. Mantan Menteri KKM, Dr. Dzulkefly Ahmad mengakui banyak hospital lama ada beberapa isu keselamatan. Malah, ada sebahagiannya takde sijil Perakuan Bomba (FC). Selain tu, banyak mesin dan peralatan yang dah lepasi tarikh luput namun masih lagi digunakan di hospital.

“Kementerian perlu akui ada antara hospital lama yang sampai waktunya diperbaharui peralatan, sistem pendawaian dan sistem sokongan keselamatan kebakaran. Ini termasuk peralatan yang melepasi tarikh luput, tetapi masih digunakan di hospital. Kita tidak mahu kejadian seperti di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru berulang,”- seperti yang dilaporkan Harian Metro pada 2 Jun 2018

Kisah Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dijadikan pengajaran buat kita agar tak ambil ringan soal keselamatan dalam hospital. Pada 2016. berlaku kebakaran di tingkat dua unit rawatan rapi (ICU). Tragedi tersebut mengorbankan 6 pesakit, terdiri dari empat wanita dan dua lelaki. 3 lagi kakitangan wad ICU terhidu asap, dan kena dikejarkan ke hospital lain untuk rawatan sementara sorang lagi ditahan kat sebuah wad di HSA. Malaysiakini pula melaporkan, 10 kakitangan cedera.

hsa kebakaran2016
Gambar kejadian.. -VIa Astro Awani

Mengikut laporan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri masa tu, Othman Abdullah:

“Di ICU itu ada tujuh mangsa yang memang agak kritikal keadaannya yang difahamkan oleh doktor mereka terpaksa menggunakan bantuan pernafasan dalam keadaan normal jadi pesakit-pesakit itu tidak boleh dipindahkan sekiranya tiada katil sekali,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani pada 25 Oktober 2016

Kebakaran kedua berlaku di HSA pada esok harinya, 26 Oktober di dewan bedah hospital sehingga memaksa operasi pembedahan dipindahkan dan mencederakan 3 jururawat. Dalam kedua-dua kejadian, dipercayai berlakunya litar pintas – jugak dikatakan wujudnya konspirasi di sebalik tragedi tersebut. Bahkan, HSA memang ada sejarah kebakaran sebelum ni… namun takde latihan kebakaran dijalankan.

Berbalik kepada taraf infrastruktur yang ada, KKM diakui tak diberikan keutamaan dalam bajet negara dan tak selari dengan taraf yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Harapan Dr. Dzulkefli adalah;

“Saya mahu peruntukan walaupun kemelut kewangan negara berlaku. Sektor kesihatan dan pendidikan perkara yang tidak boleh kita kompromi. Bila berlaku ketidakcekapan dan kekurangan dana, maka ia menjejaskan banyak perkara seperti kekurangan doktor, peralatan, bangunan lama dan usang. Kita tidak mahu jadi seperti pepatah, sudah terhantuk baru terngadah,” – seperti yang dilaporkan Harian Metro

Ramai dah kata KKM kekurangan peruntukan, harus belajar dari pengalaman pandemik

Isu peruntukan terus berlarutan sehingga tahun ni. Pada tahun 2020, sistem kesihatan awam kita diuji dengan pandemik. Kita tengok sendiri betapa saratnya bebanan yang perlu ditanggung oleh tenaga kakitangan hospital, bahkan kita dapat lihat sendiri kekurangan-kekurangan lain seperti katil, mesin oksigen dan ruangan yang sempit hingga memaksa pihak hospital mencari bantuan daripada orang ramai. Jangan dilupakan tanda pagar #kitajagakita, dan apa yang berlaku sehingga rakyat ambil inisiatif berganding bahu membantu sesama sendiri tanpa mengharapkan belas kasihan dan bantuan kerajaan.

kitajagakita artoitoise
Via Artortoise

Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Perdaus kata, peruntukan kewangan haruslah merangkumi usaha rawatan pesakitan termasuklah penyediaan alatan perubatan yang lebih banyak dan fasiliti kesihatan yang berkualiti.

“Peralatan perlu ditambah dan fasiliti kesihatan sedia ada perlu dinaik taraf kerana kita mungkin berdepan gelombang baharu lagi selepas ini. Ini juga sebagai persediaan berdepan kemungkinan wabak lain pada masa akan datang, selain melancarkan pengurusan dan rawatan penyakit atau isu kesihatan sedia ada,” – seperti yang dilaporkan Sinar Harian pada 4 November 2020

Turut menyentuh isu doktor kontrak dan keperluan mendesak bagi jawatan jururawat dan paramedik;

“Lebih banyak perjawatan tetap di semua peringkat dari jururawat sehingga doktor pakar perlu diwujudkan, selain menyediakan latihan bagi memastikan kakitangan kesihatan lebih terlatih dan berkualiti… MMA berharap kerajaan juga akan memberikan kontrak lanjutan selama 10 tahun untuk pegawai perubatan mengambil pengkhususan dalam program sarjana (UD43/44 selama dua tahun dan UD47/48 selama 8 tahun) sebaik mereka layak menjadi pakar dan boleh ditawarkan jawatan tetap gred UD54” – Profesor Datuk Dr. Subramaniam Muniandy, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), seperti yang dilaporkan Sinar Harian

hartal doktor kontrak
Via Malaysia Muda

Dalam Bajet 2022, KKM diumumkan menerima peruntukan sebanyak RM32.4 bilion. Kerajaan jugak setuju untuk sambung pelantikan kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama 2 tahun kepada maksimum 4 tahun. RM70 juta diperuntukkkan untuk isu kesihatan mental. Ada pihak mengkritik bahawa berlaku pengurangan sebanyak 2.57% untuk 2021 berbanding tahun sebelumnya. Walaupun telah dijelaskan oleh Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min bahawa ia cumalah strategi kewangan kerajaan, tak dinafikan bahawa KKM sebenarnya kena berkongsi dengan kementerian lain demi penjimatan yang optimum. Salah satuya, KKM akan buat tender terbuka dan akan buat perolehan kumpulan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pertahanan.

Baru-baru ni, Khairy Jamaluddin selaku Menteri Kesihatan kata diorang nak mohon peruntukan perbelanjaan kesihatan awam ditingkatkan kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Bagi negara berpendapatan sederhana tinggi seperti Malaysia, penanda aras peruntukan bagi perbelanjaan tersebut adalah sekitar 4-5% dari KDNK. Namun kita cuma beri peruntukan 2.59% je untuk kesihatan awam.

“Saya tahu semua kementerian minta duit (peruntukan) daripada Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) dan semua sama penting, tetapi ada juga kementerian yang lebih penting daripada kementerian lain. Kementerian ini (KKM) adalah lebih penting daripada yang lain sebab tugas teras kita (KKM) adalah nyawa tentang hidup dan mati.

Satu angka sahaja saya nak Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) ingat iaitu lima. Bukan RM5 bilion, bukan RM5 juta tetapi lima peratus daripada KDNK negara kita,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani pada 15 Ogos 2022
Dalam satu laporan media lain, KJ kata kerajaan kena buat keputusan sukar untuk sediakan dana yang lebih banyak kepada KKM. Bayangkan, KKM kena bersaing dengan kementerian lain untuk memperoleh peruntukan yang lebih banyak manakala hasil kerajaan pulak berkurangan. Pesannya pada ahli politik:
“Ahli politik perlu berfikir masak-masak sekiranya anda (mahu) meningkatkan hasil cukai dan bagaimana anda hendak meningkatkan hasil cukai. Mereka juga perlu mula fikirkan bagaimana, sebagai contoh, mereka mengagihkan hasil cukai itu supaya lebih banyak jumlah yang diperolehi untuk kesihatan awam, pendidikan dan barangan awam lain yang perlu kita utamakan,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani pada 16 Ogos 2022
Malaysia Nurse Covid 2020
Via Malaysiakini
Salah satu langkah yang kini disebut-sebut adalah dengan menaikkan kadar harga bayaran dan caj rawatan. Sebelum ni, alternatif ni pernah disuarakan sejak 2016 lagi. Ia kembali disuarakan pada 2020, yang mana ia boleh dijadikan hasil tambahan untuk menaik taraf hospital daif. Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai bersetuju dengan jawapan bertulis KJ yang mengakui model pembiayaan kesihatan awam sedia ada tak mampan dan akan tambah beban kewangan kerajaan. Misalnya, caj pesakit luar boleh dinaikkan dari RM1 kepada RM5.
Apapun, kerajaan sedang mengkaji pelbagai opsyen pembiayaan kesihatan yang lebih baik. Kalau naik caj pun, ia seharusnya tak jadi alasan untuk tolak mana-mana pesakit yang kurang berkemampuan sekalipun. Perkara-perkara yang tengah dipertimbangkan kini akan dimasukkan ke dalam Kertas Putih Kesihatan yang akan dibentangkan hujung tahun ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published.