Merasakan diri sedang ditekan oleh kerajaan, para doktor kontrak ingin ‘boikot kerja’

f1

Suatu masa dulu, doktor ni antara kerjaya yang dipandang tinggi oleh masyarakat dan antara posisi yang diperlukan oleh negara. Bahkan, kita sebenarnya sentiasa perlukan doktor-doktor demi mengendalikan isu-isu kesihatan rakyat. Dengan peranan dan kepentingan sorang doktor, apatah lagi dengan keperluan kemahiran diorang yang amatlah penting dalam waktu pandemik ni… kerajaan pulak dikatakan tak bertimbang rasa dan dilihat buat tak tau je dengan kebajikan para doktor.

728 X 90

Doktor yang sedia ada pun tak cukup, maka di situlah peranan doktor muda yang kini dah diambil jadi kontrak je. Akhirnya lepas khabar yang nak kempen doktor kontrak buat demonstrasi, barulah kerajaan nak “ramah mesra” dengan diorang. Apa sebenarnya yang jadi sampaikan doktor kontrak nak buat demonstrasi?

doktor kontrak julai
Via Free Malaysia Today

Isu skim doktor kontrak dah lama bermasalah rupanya, cipta rantaian masalah lain

Ramai ingatkan isu doktor kontrak ni isu kecil je. Bagi sesiapa yang belum faham sejauh mana ‘kerosakan’ sistem skim tersebut, mungkin diorang rasa doktor kontrak yang muda-muda ni macam tak bersyukur je dengan apa yang diorang ada. Ye lah, bukan senang jugak nak kerja kerajaan ni kan…

Mengikut penjelasan sebuah portal yang didedikasikan untuk krisis kedoktoran negara, rupanya isu doktor kontrak ni dah lama membelenggu sektor kesihatan dan kedoktoran kita. Skim doktor lantikan kontrak ni adalah skim penjawatan yang ada tempoh di sektor awam di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tujuan pengenalan skim ni adalah untuk gantikan sistem lantikan tetap yang diberikan kepada semua doktor sebelum tu.

doktor hartal kontrak
Via Astro Awani

Latihan kontrak ni biasanya akan diberikan secara berperingkat. Kontrak pertama adalah selama tiga tahun untuk latihan housemanship. Dua tahun tambahan lagi diberikan kepada doktor berpendaftaran penuh jika tak diserap tetap. Takde lagi pelanjutan kontrak untuk kali ketiga. Kalau doktor yang ambil latihan housemanship di luar negara, kontrak diorang pula hanyalah dua tahun lepas pulang ke Malaysia. Lepas tu, diorang gerenti tak dapat diserap lagi. Perkara ni dah jadi kat dua orang doktor kelahiran Sarawak pada tahun lalu.

Sistem ni diperkenalkan pada 2016, di bawah pentadbiran Najib Razak semasa Belanjawan 2017. Matlamatnya adalah untuk pendekkan tempoh menunggu yang panjang dalam kalangan graduan perubatan sebelum jadi doktor siswazah. Masalah ni timbul sebab wujudnya ketidakseimbangan nisbah graduan perubatan dengan jumlah penjawatan tetap di hospital-hospital pelatih. Harus kita hati-hati, bahawa “lambakan” yang dimaksudkan adalah merujuk kepada perbandingan dengan jumlah penjawatan tetap, bukan permintaan-keperluan perkhidmatan.

hospital tenat kurang doktor
Via Public Health Malaysia

Ni bermaksud doktor memang sentiasa diperlukan dan kerajaan sedar je dengan masalah ni. Jadi ia bukan masalah kita ‘terlebih’ graduan perubatan, sebaliknya kita yang gagal berikan ruang yang secukupnya untuk doktor-doktor ni. Walhal kita sedia maklum bahawa kita memang tak cukup doktor pun kat institusi kesihatan kita seperti hospital dan klinik. Oleh demikian, impak utamanya adalah kita akan sentiasa kekurangan doktor – bukan kerana orang dah malas jadi doktor, sebaliknya kita tak ambil doktor secukupnya.

Dahlah kurang doktor, sistem yang diamalkan dalam skim tu sendiri bermasalah. Ia menciptakan lebih banyak masalah baharu dan tentunya membawa pulak kepada kesan-kesan yang kita tengah rasakan sekarang. Hal ni lah yang mencetuskan ketidakpuashatian dalam kalangan doktor kontrak, Diorang bukanlah tak bersyukur, tetapi sistem tu yang membuatkan diorang rasa kena tipu dan pelik. Diorang nampak sendiri betapa tinggi keperluan kita dengan doktor, tapi kerana isu penjawatan awam tu sendiri… diorang tak dapat berkhidmat dengan lebih baik.

umno ismail sabri kurang doktor
Suatu masa lalu, pada 2019.. sekarang dah sepi dibicarakan walaupun dah tak jadi pembangkang.. -via Umno Online

Sistem lantikan kontrak tak telus, kebajikan doktor tak terjaga sedangkan beban masih sama

Portal tersebut turut menyenaraikan beberapa isu besar yang menimpa sektor kesihatan awam akibat sistem doktor lantikan kontrak. Antara isu besar tersebut berlingkar dalam masalah masa depan doktor-doktor ni, dan layanan institusi (termasuklah kerajaan) kepada diorang selama ni.

Meskipun diorang dah lulus cemerlang dan memang dah sepatutnya layak sangat untuk diserap berdasarkan kriteria yang digariskan oleh kerajaan… diorang masih tak dapat pun diserap ke dalam sektor kesihatan awam. Dulu KKM kata, kalau markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT), lulus kertas peperiksaan dan tamat latihan housemanship secara tepat masa… diorang boleh diserap. Syarat-syarat tu dah ramai doktor kontrak lulus dengan jayanya. Kriteria-kriteria ini kemudiannya akan menentukan ranking setiap doktor sebelum saringan tertutup oleh kementerian.

laporan nilaian tahunan kerajaan doktor
Via JPA

Namun demikian, ramai je yang dah lulus dan sepatutnya, ranking diorang lebih baik daripada seseengah doktor kontrak yang memang ada masalah disiplin atau gagal penuhi syarat tersebut. Yang mengecewakan lagi, takde tindakan lanjut pun dari pihak kerajaan. Malah, berdasarkan kenyataan Menteri Kesihatan Dr. Adham Baba dulu tentang isu ni… diorang cakap, penjawatan tetap tertakluk kepada kekosongan jawatan yang amat terhad.

Bukan tu je, diorang jugak macam takde masa depan je dalam perkhidmatan awam. Doktor kontrak masih lagi boleh dikatakan doktor “biasa”, maka ruang untuk doktor pakar tu terbuka kepada diorang. Kononnya, kerajaan sarankan jugak diorang ni sambung belajar lagi agar meningkatkan peluang diorang diserap. Terdapat dua laluan untuk jadi doktor pakar, iaitu dengan memasuki latihan kepakaran (master’s programme) dan pembiayaan parallel pathway.

laluan jadi pakar
Via Facebook MMI Doctors

Doktor kontrak tak layak dipertimbangkan dalam masters programme, dan hanya dibuka kepada doktor lantikan tetap. Diorang disaran ambil parallel pathway, yang jauh lebih mahal dan ditanggung sendiri. Tapi kalau diorang ambil jugak parallel pathway ni, ada kemungkinan diorang sendiri tak dapat sempurnakan pun sebarang latihan kepakaran sebab laluan tu ambil masa sekurangnya 4 tahun ye. Lama tu…

Sejak 2016, lebih 85% doktor muda di Malaysia adalah kontrak. Ertinya, kita jugak kekurangan doktor pakar – bukan kerana orang kita tak cukup layak atau bijak… sistem itulah yang gagal lahirkan sumber doktor pakar yang mencukupi.

kurang doktor pakar
Kesan sistemik tak langsung yang dirasai kini.. -Via Berita Harian

Doktor kontrak jugak tak diberi cuti-cuti penting, sebagaimana doktor tetap. Diorang tak layak dapat cuti hazard, iaitu tempoh berehat berkala untuk doktor yang terdedah kepada radiasi tinggi di tempat kerja serta bebanan mental berterusan. Cuti Tibi dan Kanser pun tak layak. Sekiranya ada doktor kontrak tu yang terpaksa cuti walaupun menghidap penyakit ni… terus tolak dari cuti tahunan. Kalau terlebih dari jumlah yang ditetapkan, kontrak akan ditamatkan.

Bahkan banyak jugak elaun yang diorang ‘dinafikan’ dapat, seperti elaun khas COVID19, dan elaun gangguan untuk tampung kos pengangkutan, penempatan sementara bila diarahkan untuk berkhidmat di luar negeri tempat tinggal. Gaji doktor kontrak pulak tak sebanyak gaji doktor tetap yang layak dapat segala macam elaun padahal beban kerja pun sama jugak.

skim kontrak gaji doktor
Perbandingan gaji antara doktor kontrak dan doktor tetap.. -Via Twitter

Kes ni seolah-olah macam diorang jadi intern, untuk bertahun-tahun lamanya dan segala pengalaman diorang tu hanya menguntungkan hospital swasta je lah bila diorang habis kontrak. Hospital awam akan kekurangan doktor muda yang berpengalaman, dan ia akan sentiasa dikendalikan oleh doktor yang “baru” dan kurang berpengalaman.

Ada sebab terpaksa buat hartal, gesa kerajaan pertimbangkan semula sistem agar menguntungkan rakyat

Kalau tak buat hartal, atau sekurang-kurangnya berkempen dengan lebih lantang serta agresif… kerajaan mungkin tak begitu ‘tertekan’ dengan sistem lantikan kontrak yang bermasalah ni. Satu perkongsian di media sosial berkenaan doktor kontrak menarik perhatian kami:

Gesaan ni tak hanya dilaungkan oleh doktor kontrak; Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut sokong jeritan para doktor kontrak. Mengikut sorang doktor kontrak yang dihubungi oleh Malaysiakini kata, sekumpulan doktor kontrak ni akan mogok pada akhir bulan Julai sekiranya kerajaan tak selesaikan isu penempatan tetap diorang. Daripada 23,077 doktor kontrak yang direkrut, hanya 789 je diserap sejak 2016. Ni jumlah yang amat kecil khususnya untuk tempoh 5 tahun ni.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz setuju nak percepatkan penyelesaian masalah doktor kontrak ni lepas pertemuan dengan Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos). Walaupun begitu, doktor kontrak yang dihubungi Malaysiakini tu meluahkan rasa hatinya:

“Pertama sekali, MMA tidak bersama kami dalam mogok ini. Kami percaya ini (pertemuan) adalah usaha yang baik (oleh Schomos) tetapi kami tidak akan berhenti sehingga ada sesuatu yang nyata dalam proses. Kami disuap dengan kata-kata dan janji sebelum ini tetapi ia tidak pergi mana-mana. Jadi ia hanya cakap kosong,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Dr Muhammad Azrin Omar, dipetik oleh Getaran.my pulak kata;

“Kalau tak silap 60 peratus belanjawan KKM (adalah) untuk emolumen. Lebih separuh! Dahlah bab rawatan kesihatan ni banyak pakai duit. Tekan punya tekan, dapat la JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) janji nak bagi 1,0675 jawatan, mula dengan 300 untuk Hospital Rembau. Tapi tak selesai masalah. Tak lestari.

Seluruh sistem kena reform. Cara tentukan kelayakan doktor, cara lantik, penempatan (posting), pengurusan sumber manusia (lebih tepat lagi talent management), laluan kerjaya, sistem latihan kepakaran, pembiayaan sistem kesihatan, gaji dan elaun, banyak perkara,”- seperti yang dilaporkan Getaran.my

Sementara tu, Cuepacs antara pihak yang menyeru pulak mogol Hartal Doktor Kontrak yang kini sohor di media sosial tu tak diteruskan agar perkhidmatan kesihatan tak terjejas di kala pandemik ni. Walaupun begitu, ni tak bermakna kerajaan tak payah teruskan usaha memperbaiki skim tersebut. Dulu di zaman PH, memang dah ada usaha nak perbaiki iaitu dengan pengenalan Agenda Reformasi Kesihatan Negara. Malangnya, ia tak sempat dilaksanakan kerana pertukaran pentadbiran dan serangan pandemik pada tahun lalu.

Kami harap isu ni akan terus mendapat perhatian dan kerjasama pihak bertanggungjawab, khususnya bila dah bertahun-tahun lamanya skim ni secara tak langsung memberi rantaian kesan yang berat kepada rakyat. Takkanlah nak mogok, kempen buat hartal dulu barulah pihak kerajaan nak bertindak? Bukan tu je, sekarang ni skim perguruan turut bergolak dan sedang berhadapan isu yang lebih kurang sama je.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *