Isu kewarganegaraan anak yang sedang hangat diperkatakan, ini isunya

f1

Kewarganegaraan ni suatu perkara yang penting untuk membenarkan seseorang tu dilindungi haknya untuk menikmati hak-hak untuk hidup selesa kat sesebuah negara. Kalau ke negara lain pulak, ia menjadikan kebajikan korang ni tanggungjawab kedutaan negara yang korang jadi warganegara tu. Hakikatnya, kewarganegaraan ni amatlah penting dalam dunia moden kini.

Walaupun begitu, urusan kewarganegaraan ni jugak boleh jadi hal yang sulit dan rumit kepada sesetengah orang. Khususnya buat ibu-ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan orang warganegara lain, anak diorang sukar dapat kewarganegaraan meskipun tinggal kat Malaysia. Selepas Mahkamah Tinggi putuskan ibu-ibu ni berhak dapatkan kewarganegaraan Malaysia untuk anaknya, Kementerian Dalam Negeri lah pulak yang rayu semula dan tunda pelaksanaan keputusan tersebut. Apa yang jadi sebenarnya?

anak malaysia warganegara ibu
Via Malaymail

Proses dapatkan taraf kerakyatan sukar buat wanita, mudah bagi lelaki Malaysia

Proses nak dapatkan taraf kerakyatan bagi wanita yang berkahwin dan lahirkan anak diorang yang lahir kat luar negara sebenarnya agak rumit dan dikatakan selalu tak memihak kepada diorang. Salah sorangnya pernah ditemubual oleh MalaysiaNow, dan nak dikenali sebagai Myra. Myra ni berkahwin dengan suaminya yang berwarganegara Zambia. Situasi Myra ni tak asing sangat pun, sebab ramai jugak ibu yang senasib dengan dia.

Mengikut perkongsiannya, dia kena lalui rutin yang sangat memenatkan sejak tujuh tahun lalu bagi dapatkan taraf kewarganegaraan anak sulung perempuannya yang lahir di negara asal suaminya iaitu di Zambia. Katanya, dah kali permohonan untuk dapatkan kewarganegaraannya ditolak tanpa alasan yang jelas. Myra, 29 tahun kata pihak kerajaan cuma kata “ia sulit dan persendirian”. Anak sulungnya tu lahir kat Zambia.

passport malaysia
Via NST

Berbeza dengan anak keduanya pulak, kini berusia 3 tahun yang lahir di Selangor, diberikan kewarganegaraan Malaysia. Sementara anaknya ni takde masalah, anak sulungnya pulak menerima layanan yang berlainan dengan kakaknya tu;

“Setiap kali kami keluar bersama, anak saya dilayan seperti rakyat asing. Kami perlu mengeluarkan belanja yang lebih kerana dia dikenakan caj sebagai warga asing. Contohnya, ketika kami melawat ke zoo dan pusat akuarium.

Harganya satu kali ganda daripada harga yang dibayar oleh rakyat tempatan,”- seperti yang dilaporkan Malaysia Now

sony dsc
Harga yang berbeza untuk kanak-kanak yang berwarganegara Malaysia dan warganegara lain.. -Via Denniszill

Bahkan, lebih banyak cabaran dihadapi bila anaknya mulakan sesi persekolahan. Proses pendaftaran sekolah anaknya tu semakin sukar dengan setiap urusan berlaku di lokasi berbeza. Pertama, dia kena buat permohonan rasmi di sekolah dan dapatkan kebenaran di pejabat pendidikan daerah (PPD).

“Selepas dapat kebenaran, PPD akan keluarkan pas visa pelajar. Kemudian, saya perlu ke sekolah semula untuk membuat bayaran yuran. Lepas itu, datang semula ke PPD dengan salinan resit bayaran.”

Belanja lebih perlu dikeluarkan kerana anaknya pun tak dapat pinjaman buku teks dan terdapat tambahan yuran dikenakan sebab anaknya tak dapat taraf sebagai warganegara. Pinjaman cuma diberikan kepada warganegara Malaysia je dan tambahan yuran bagi warga asing di sekolah. Kesukaran ni tak harus dibiarkan, dan tak berakar salahnya daripada anak yang terlahir ataupun ibu yang mengandung.

tanjung labian / lahad datu
Via NST

Kena pinda Perlembagaan Persekutuan untuk keadilan buat ibu-ibu, kerajaan tak setuju ia suatu diskriminasi

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, bayi lahir di luar negara dengan bapa memiliki kewarganegaraan Malaysia akan dianugerahkan taraf warganegara secara automatik. Tetapi, bayi yang lahir dengan ibu warganegara Malaysia perlu mohon untuk dapatkan taraf kewarganegaraan. Bila disuarakan hal ni, Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika tu, Ismail Mohamed Said mempertahankan tindakan tu di Dewan Rakyat kata ia bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Kenyataan ni jugak dibantah oleh Lawyers For Liberty (LFL) yang menegaskan kerajaan patut pinda Bahagian II dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan perkataan “bapa” kepada “ibu bapa”.

bapa perlembagaan persekutuan perkara 14 warganegara
Via Perlembagaan Persekutuan

Bila sebut bapa je, ni seolah mendiskriminasikan ibu yang berkahwin dengan lelaki warganegara lain untuk mendapatkan taraf kerakyatan Malaysia kepada anak-anaknya. Dengan pindaan tu, ia akan selaras dengan aspirasi Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan, di mana tiada diskriminasi berdasarkan gender berlaku.

Susulan hal ni, NGO Family Frontiers mengajukan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Disember 2020. Enam ibu dan kumpulan hak keluarga Family Frontiers minta pengisytiharan bahawa wanita Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing secara automatik dapat wariskan kewarganegaraan untuk anak-anak diorang yang lahir di luar negara. Tuntutan mahkamah tu dimulakan setelah kerajaan menolak untuk benarkan anak-anak diorang layak dapat kewarganegaraan. Kes ni dimenangi oleh enam ibu ni, dengan penjelasan daripada sorang hakim Mahkamah Tinggi KL.

parlimen kanak warganegara ibu
Via Malay Mail

Hakim Akhtar Tahir kata, rasa tak puas hati plaintif adalah benar dan memutuskan diorang jadi mangsa diskriminasi jantina kerana peraturan tu tak terpakai terhadap lelaki Malaysia yang berada dalam situasi serupa. Perkataan ‘bapa’ mesti dibaca dan difahami turut rangkumi ‘ibu’ nanti.

Walaupun begitu, kerajaan tak berhenti dan terima je keputusan Mahkamah Tinggi tadi. Kerajaan, melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) pulak memohon batalkan saman pemula ke atas kumpulan ibu-ibu ni. Menurut Datuk Azizah Nawawi, ketua panel tiga hakim sebulat suara kata ia tak remeh sepertimana yang dinyatakan kerajaan dan melibatkan isu penting menjurus kepada tafsiran Perkara 8 dan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

malaysian women protesting about citizenship family wellfare pic
Via FMT

Bagi Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, kewarganegaraan automatik untuk ibu-ibu tu tak diskriminasi. Dia berpendapat, Perkara 14(1)(b), apabila dibaca bersama Bahagian 1(b) dan 1(c) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, bukan suatu diskriminasi.

Ketentuan mengenai “tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata” tak boleh dibaca bersama dengan hal pemberian kewarganegaraan termasuklah buat bapa-bapa yang ada kerakyatan Malaysia. Ni bermaksud, kerajaan takde masalah kalau anak daripada rahim wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing tu tak dapat kerakyatan Malaysia.

kewarganegaraan hamzah
Hamzah Zainuddin.. -Via Malaysiakini

Kerajaan mohon tangguh pelaksanaan sementara perlembagaan dipinda, harapnya kerajaan tulus laksanakan

Hamzah Zainuddin kata, rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tentang isu kerakyatan anak kepada ibu warga Malaysia dan bapa warga asing bertujuan untuk tangguhkan pelaksanaannya sementara perlembagaan dipinda. Pindaan tu akan mudahkan ibu-ibu Malaysia yang berkahwin dengan warga asing untuk lahirkan anak di luar negara.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil keputusan untuk merayu dan memohon stay of execution (iaitu penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Suriani Kempe dan enam lagi – lawan – kerajaan Malaysia) bagi mengelakkan contempt of court (hina mahkamah) dan pada masa yang sama supaya tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan,”- Hamzah ketika penggulungan perbahasan di Dewan Rakyat, seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Dia kata pindaan perlembagaan tu ditunda sedikit kerana ada dua keputusan berbeza tentang kewarganegaraan, iaitu kes Mahisha Suhaila Abdul Majeed v pengarah Jabatan Pendaftaran Negara. Dalam kes tersebut, ia dimenangi oleh pihak kerajaan. Bagaimanapun, Mahisah dah ajukan rayuan atas keputusan tersebut ke Mahkamah Rayuan. Perbicaraan ditetapkan pada November 2021. Dua kes utama tentang kewarganegaraan, dua keputusan yang berbeza.

“Setelah menerima keputusan yang bebeza KDN bercadang untuk membawa perkara ini bagi mendapat polisi baharu kerajaan untuk meminda perlembagaan bagi memudahkan ibu-ibu melahirkan anak mereka di luar negara walaupun berkahwin dengan warganegara asing.

Dalam masa yang sama perkara ini perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan,”

Ramkarpal Singh (PH- Gelugor) dalam sesi Dewan Rakyat sarankan kerajaan untuk pinda perlembagaan bagi menghilangkan kekeliruan dari peruntukan yang relevan dalam Perkara 14 dan Bahagian (1)(b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan. Untuk kefahaman, Perkara 14 ni menyentuh mengenai kewarganegaraan Malaysia.

Berkenaan tindakan kerajaan nak rayu batalkan semula keputusan tu, Hannah Yeoh yang merupakan Ahli Parlimen Segambut kata tindakan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun tak selari dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun yang secara terbukanya alu-alukan keputusan mahkamah awal dulu. Hal ni memperlihatkan kerajaan kini tak konsisten dengan polisi diorang tentang kewarganegaraan automatik untuk anak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia bersuamikan warga asing di luar negara – KDN tak setuju, tapi KPWKM pulak setuju.

malaysian women protesting about citizenship family wellfare pic
Via The Borneo Post

Hannah menggesa PM Malaysia arahkan semula Idrus tarik semula notis rayuan mengetepikan keputusan tersebut, sebelum ia sendiri ditolak oleh Mahkamah Tinggi. Bagi kami, tindakan kerajaan yang berbeza antara satu kementerian dengan kementerian lain memperlihatkan kabinet Malaysia masih belum bersatu hati dan koordinasi rentas kementerian jugak masih belum kukuh sepenuhnya.

Untuk pengetahuan korang jugak, 2 tahun lalu semasa pentadbiran PH, KPWKM memang dah syorkan untuk berikan kewarganegaraan automatik bagi anak Malaysia yang lahir di luar negara. Diorang jugak minta semakan semula empat isu lain berkaitan dengan kewarganegaraan:

  • Penggunaan DNA sebagai bukti kelulusan kewarganegaran
  • Keutamaan kanak-kanak tanpa kerakyatan di bawah jagaan kebajikan
  • Kewarganegaraan untuk anak angkat bagi ibu bapa angkat terima perintah mahkamah
  • Usaha untuk berikan penjelasan yang lebih terperinci bagi setiap permohonan kewarganegaraan yang ditolak

Kes ni turut menunjukkan bahawa kadangkala, ada sesetengah perkara tu yang perlu diubah, dipinda atau digubal bagi memelihara kepentingan dan kerelevanan Perlembagaan sebagai dokumen tertinggi pentadbiran Malaysia. Kemenangan ni kami harap dapat membawa sinar kepada anak-anak ni, dan mengalu-alukan diorang sebagai rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *