Dari jauh, kita berbangga dengan kepelbagaian yang wujud dalam negara. Kita ada masyarakat pelbagai kaum, agama dan makanan tersendiri. Namun begitu, ada jugak yang masih mencari titik permusuhan berbanding nak temukan titik persefahaman dalam apa-apa isu atau konflik antara kaum atau agama. Baru-baru ni, timbul pulak isu melibatkan rumah ibadat iaitu masjid dan kuil Hindu.
Secara umumnya, isunya mudah je… kalau tersilap dan dah minta maaf serta bersedia nak berunding selesaikan masalah, takpe. Tetapi yang menyulitkan keadaan ni, apabila ia dah dipolitikkan dan ditularkan jadi suatu isu keagamaan pulak.
Memorandum bantahan rakyat sekitar tentang pembinaan kuil, ruangan komen laman dibanjiri amarah warganet
Menurut kefahaman kami, berita ni ditularkan selepas sebuah laman sesawang melaporkan kejadian yang berlaku kat Tampin, Negeri Sembilan. Laman tu melaporkan pada 19 September, sebuah memorandum bantahan dah dihantar kepada sorang ADUN Negeri Sembilan bagi membantah cadangan dan usaha pembinaan kuil di tapak pembinaan masjid.
Memorandum bantahan tu dihantar oleh Jawatankuasa Surau Taman Indah Baru kepada ADUN Kawasan Repah N36, YB Veerappan A/L Superamaniam pada 11 September 2021. Laman tu turut melaporkan, bantahan tu turut disertai oleh seluruh penduduk Islam Taman Indah Baru, Taman Clonee 2 dan Bandar Utama Tampin. Berdasarkan memorandum tu jugak , tanah tersebut adalah hak milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
Berita ni mengundang panas marah segelintir warganet, dan diorang pun tulislah komen-komen yang kami lihat, banyak menyentuh isu agama dan politik. Isu yang awalnya takde kaitan dengan politik (di mata kasar), akhirnya menjadilah hal politik. Dalam ruangan komen tu jugak, sentimen agama Islam dan benci kepada PH atau DAP khususnya merata-rata di laman tersebut. Suatu kebetulan, YB Repah adalah wakil rakyat berbangsa India dari PKR.
Dalam hal-hal melibatkan agama dan kaum, kita tak seharusnya naik emosi dulu dan terus serkap jarang menyatakan bahawa segala-galanya tentang politik kepartian. PH ke UMNO ke Bersatu… parti-parti ni sama je akhirnya. Diorang bekerja untuk rakyat, demi rakyat, kerana rakyat. Akhirnya apa yang kita mahu bukanlah satu perselisihan besar; kita nak hidup aman dan tenang je.
MB Negeri Sembilan dah jelaskan hal sebenar, pihak kuil kesal dan setuju nak pindahkan semula
Susulan berita yang tular tu, kerajaan negeri menafikan beri kebenaran terhadap cadangan pembinaan kuil di atas tanah milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di Taman Indah Tampin. MB Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun jelaskan, tanah seluas 1.4 ekar tu dah lama diberikan kepada JHEAINS sebagai tapak Masjid Taman Indah sejak tahun 2011.
Katanya lagi, walau bagaimanapun, tanah rizab tersebut belum dapat diusahakan lagi di atas beberapa kekangan. Pihak JHEAINS turut cadangkan akan wujudkan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Taman Indah.
“Cadangan pembinaan kuil di Taman Indah itu, tidak membabitkan tanah rizab JHEAINS, dan bukan juga dibina di atas tanah rizab tersebut, sebaliknya di luar kawasan. Cuma semasa pembinaan kuil dilakukan, kerja-kerja pembinaan itu termasuk di sebahagian daripada tanah rizab, lebih kurang 88 meter persegi, bukannya pengambilan keseluruhan tapak tanah tersebut.
Jadi saya menasihatkan kepada individu yang tidak bertanggungjawab supaya menghentikan dan jangan jadikan perkara ini sebagai isu yang boleh memecah-belahkan perpaduan masyarakat,”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Ni bermaksud sebahagian besar saiz kuil tu takdelah memenuhi keseluruhan tapak masjid sebagaimana yang dibayangkan oleh rakyat setempat dan segelintir warganet. Hanya 88 meter je termasuk di sebahagian daripada tanah rizab, dan tu jugak diakui oleh pihak kuil. Tambahnya lagi, kerajaan negeri jugak tak pernah luluskan penggunaan tanah JHEAINS bagi pembinaan rumah ibadat bukan Islam.
Sebagai respon terhadap kejadian tersebut, pihak pengurusan kuil Hindu Sri Murugam Alayam kata diorang kesal dengan kejadian tu dan bersedia untuk kosongkan kawasan terbabit. Selepas pertemuan dengan dua Exco Negeri Sembilan, S. Veerapan dan J Arul Kumar bersama pihak pengurusan Kuil Sri Murugan Alayam, M. Partiban, diorang buat keputusan untuk pindahkan kuil yang terbina dalam 88 meter tapak masjid tu.
Pengerusi Kuil Sri Murugan Alayam, M Partiban menjelaskan;
“Isunya sekarang, kerajaan negeri mewartakan tapak masjid tetapi tapak kuil dibiarkan begitu sahaja. Kuil itu berada di situ lebih 35 tahun. Kegagalan kerajaan mewartakan tapak kuil inilah punca kekeliruan yang berlaku sekarang. Ini kerana pihak kuil tidak pasti keluasan tapak kuil dan sempadan kami sehingga secara tidak sengaja menceroboh tapak masjid,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Jadi isunya sekarang hanya kekeliruan dari segi pewartaan tanah tu je. Memandangkan MB pun dah kata JHEAINS belum dapat usahakan lagi tanah tersebut menjadi sebuah masjid, pihak yang nak bina atau memperbesarkan lagi kawasan kuil diorang tu pun tak tau sejauh mana sempadan yang dirancangkan nak bina masjid. Mengikut respon antara dua pihak, ternyatalah bahawa takde siapa nak bergaduh pun dan saling cuba memahami serta selesaikan masalah.
JHEAINS dah maklum dengan hal ni, PKP antara faktor kekangan untuk teruskan pembinaan masjid buat sementara waktu
Sementara tu, Pengarah JHEAINS iaitu Zaidi Ramli kata, kira-kira 0.6 hektar dah diwartakan sebagai tapak Masjid Taman Indah Baru sejak 2011. Diorang jugak mengesahkan bahawa memang ada terdapat sebuah kuil berhampiran tapak tu, tapi bukanlah di dalam kawasan tapak masjid keseluruhannya.
“Kita (JHEAINS) memang ada cadangan untuk memajukan kawasan itu termasuk membina sebuah masjid tetapi disebabkan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perkara itu belum dapat dimulakan.
JHEAINS juga sudah mencadangkan kepada penduduk taman berkenaan supaya menubuhkan Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid Taman Indah Baru. Pembinaannya dirancang akan dibuat menggunakan dana wakaf dan sumbangan daripada pihak swasta,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Dari satu segi, memorandum bantahan tu wajar dilakukan sebab tu adalah saluran pandangan rakyat yang perlu diambil berat. Walaupun begitu, reaksi terhadap isu ni yang harus ditegur kerana kadangkala bila kita terlalu fikir ikut emosi dan penuh prasangka buruk, ia akan menimbulkan salah faham antara pihak.
JHEIANS jugak perlu mengemaskini semula pewartaan tanah tersebut, sebab awalnya, MB kata 1.4 hektar. Dalam pengetahuan JHEAINS, hanya 0.6 hektar. Bakinya tulah mungkin yang memunculkan kesalahfahaman ni. Mewartakan tanah kuil jugak perlu, sebagaimana tanah masjid tu nanti supaya takde lagi kes seperti ni. Kami harap isu ni akan diselesaikan dengan cara yang baik dan menang-menang antara dua pihak atas semangat kebersamaan Malaysia yang berbilang kaum dan agama.