Hannah Yeoh dikritik keras, suami dapat projek

f1

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilihat ‘terpaling suci’ sewaktu menjadi pembangkang kini berdepan dengan kritikan keras daripada pelbagai pihak.

Khairy Jamaluddin berkata, watak beliau yang ‘morally superior’ menyebabkan kes tersebut mendapat perhatian ramai.

“Jadi bila isu pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor kepada syarikat milik bersama suaminya, saya rasa bukan hanya penyokong Perikatan Nasional (PN) malah ahli Pakatan Harapan (PH) juga agak keras terhadap beliau.

“Bayangkan kalau benda ini berlaku beberapa tahun lepas saya rasa tidak cukup jalan raya di Malaysia ini untuk berguling,” katanya menerusi podcast Keluar Sekejap.

Tambah Khairy Jamaluddin, jika sebelum ini beliau tidak menunjukkan secara jelas sikap moral yang tinggi dalam menentang kronisme perkara tersebut mungkin akan reda.

“Masalahnya pendirian beliau sangat ‘sanctimonius’ pada suatu ketika dahulu seolah-olah hanya Barisan Nasional (BN) sebuah parti kapitalisme kroni masa itu. Maaf saya cakap pemimpin PH yang suka mempamerkan moral dia adalah Hannah Yeoh,” katanya.

Terdahulu, Exco Selangor, Ng Sze Han, menyatakan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT. Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility ialah suami Hannah, Ramachandran Muniandy.

Pemimpin MCA mengambil peluang untuk mengkritik Hannah Yeoh

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon menyindir ke mana hilangnya beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini lantang mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) agar menghentikan pemberian kontrak kepada kroni. Menerusi sebuah video di TikTok, bekas timbalan menteri pendidikan itu mendakwa kelantangan tersebut tak lagi dilihat selepas mereka menjadi kerajaan terutama dalam kontroversi membabitkan suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Di mana Hannah Yeoh versi 2012 yang lantang mengkritik BN dengan gesaan menghentikan kontrak kepada kroni. (Menteri Ekonomi) Rafizi Ramli (juga) pernah berkata, monopoli (oleh kroni bagi) projek-projek besar oleh satu syarikat menyebabkan kerajaan tidak mendapat harga yang terbaik berbanding jika diadakan secara tender terbuka.

“Mana hilangnya hero DAP, (bekas setiausaha publisiti DAP) Tony Pua yang juga mengkritik BN berhubung tender terbuka ini. Berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Pua (juga) pernah berkata rakyat Malaysia akan lebih gembira jika projek itu dijalankan secara tender terbuka dan kompetitif agar pembayar cukai mendapat nilai yang terbaik daripada wang mereka,” katanya

Pada Selasa, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong mendakwa sehingga kini tiada sebarang komen daripada kepimpinan DAP mengenai pemberian kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor secara terus kepada syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility) yang dimiliki bersama suami Hannah.

Menurutnya, sikap berdiam diri dalam isu berkenaan juga bercanggah dengan amalan CAT yang dicanangkan oleh kepimpinan DAP sebelum ini iaitu kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan.

Sementara itu, bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker mendesak Hannah Yeoh meletakkan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan berhubung isu Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT).

Menurutnya, isu projek tersebut menimbulkan isu kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan (CAT) yang diperjuangkan DAP selama ini.

“Kerajaan (bukan kementerian Menteri) juga telah memberi Asia Mobility, syarikat kepunyaan suami Hannah Yeoh tanpa tender terbuka yang menimbulkan isu kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan atau CAT yang dilaung-laungkan oleh DAP selama ini terhadap kerajaan BN.

“Maka atas prinsip yang sama dan secara moral, Hannah perlu juga meletakkan jawatan supaya negara kita mempunyai landasan dan ketegasan untuk menangani penyalah gunaan kuasa dan pengaruh yang berleluasa. Bila lagi Hannah?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Lian Ker turut membandingkan kes melibatkan syarikat milik suami Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dengan isu pemberian Projek Rintis DRT kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd yang diterajui suami Hannah.

“Apa beza kes syarikat suami Shahrizat dan syarikat suami Hannah Yeoh yang mendapat layanan istimewa kerajaan dengan wang ringgit rakyat? Dalam kes NFC (National Feedlot Corporation Sdn Bhd) kepunyaan suami Shahrizat, Menteri Wanita pada masa syarikat itu mendapat pinjaman RM250 juta daripada kerajaan (bukan kementerian Menteri) tetapi projek gagal.

“Mahkamah memutuskan pada tahun 2023 (di bawah kerajaan PH dan UMNO) bahawa NFC tidak salah tetapi Shahrizat sudah pun dihukum oleh puak Hannah Yeoh apabila dipaksa meletak jawatan sebagai Menteri atas tekanan dan tohmahan politik. Wang ini adalah pinjaman yang perlu dibayar balik,” katanya.

Perdana Menteri beri jaminan siasatan telus akan dilaksanakan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kuasa kepada pihak bertanggungjawab untuk siasatan isu pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor kepada syarikat milik bersama suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beliau mengulas sekiranya ada laporan, pihak bertanggungjawab perlu bersikap telus dalam proses siasatan.

“Yang itu kita serah kepada authorities (pihak berkuasa). Kalau ada laporan, it should be transparent in their investigations. Kalau ada laporan, ada siasatan dan patut ada penjelasan. Apa prosesnya? Patut dianggap kes biasa yang patut disiasat,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Global Forum Islamic Economic & Finance (GFIEF) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur KLCC pada Selasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *