Nurul Izzah letak jawatan dalam PAC? Apa sebenarnya PAC ni? Kami terangkan

Baru-baru ni, kecoh isu Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam Parlimen atau Public Accounts Committee (PAC). Ini berpunca dari YB Ronald Kiandee, Pengerusi PAC yang dulu ahli UMNO melompat masuk BERSATU. Pakatan Harapan dah berjanji sebelum ni bahawa Pengerusi PAC akan datang dari parti pembangkang.

PAC ini adalah jawatankuasa Parlimen yang mengkaji laporan Ketua Audit Negara dan memanggil menteri dan kakitangan kerajaan untuk disoalsiasat dan kemudian mengemukakan laporan mereka kepada Parlimen. Jawatankuasa ini sangat penting dalam sistem Parlimen Komanwel termasuk Malaysia.

Fungsi PAC adalah untuk semak imbang kerajaan…

Amalan di banyak negara Komanwel termasuk UK, India dan Kanada adalah untuk ahli pembangkang mempengerusikan PAC supaya boleh menyemak pihak kerajaan dengan telus dan tegas.

Ketika Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, peraturan tetap DUN Selangor dipinda untuk memastikan amalan ini terpakai di Selangor di mana Ketua Pembangkang mesti mempengerusikan PAC. Selain tu Ketua Pembangkang diberikan pejabat, staf dan kereta rasmi – kelebihan yang tidak diterima oleh pembangkang di zaman Barisan Nasional dulu.

Waktu pengumuman ini Ketua Pembangkang dari BN siap bergambar menerima penghormatan ini dengan Speaker DUN Selangor.

Via Babab

Tapi nampaknya pimpinan BN pusat tak suka dengan perkembangan ini sebab takut nanti orang tanya kenapa pembangkang di Parlimen tak dilayan dengan cara yang sama, termasuk jadi Pengerusi PAC. Pembangkang cuma menjadi Timbalan Pengerusi ketika itu.

Maka, BN Selangor diarah kosongkan kerusi Ketua Pembangkang supaya air muka BN pusat terjaga.

Dulu pun pernah kecoh sebab isu PAC dan 1MDB

Dulu 1MDB ini bila kecoh zaman Datuk Seri Najib Razak pun PAC main peranan siasat. Tapi Najib ambil peluang lantik Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed dan tiga ahli Datuk Seri Reezal Merican, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Datuk Wilfred Madius Tangau menyertai Kabinet. Ramai anggap ini usaha menghentikan laporan PAC ke atas 1MDB dan menyogok tiga individu ini dengan jawatan dalam kerajaan.

Ahli Parlimen Pandan ketika itu, Rafizi Ramli, dihukum di bawah OSA pun kerana dedahkan laporan audit 1MDB yang melibatkan wang pesara tentera di Lembaga Tabung Angkatan Tentera

1MDB, antara skandal terbesar dalam sejarah. Via Finews

Selepas tindakan itu, pembangkang mengatakan PAC gagal memainkan peranan untuk menyiasat isu 1MDB dengan berkesan. Sekarang isu ni patut dah selesai sebab Pakatan Harapan dah janji untuk letak pembangkang Pengerusi PAC. Perlantikan Ronald Kiandee sebelum ini kira kotakan janji inilah.

Tapi bila Ronald melompat, dia berkeras nak pegang jawatan Pengerusi PAC. Tak ada rasa malu atau nak letak jawatan.

Via Sinar

Kalau dulu zaman BN Pengerusi PAC dari BN dan Timbalan dari Pembangkang – dengan Ronald Kiandee melompat situasinya menjadi kedua-dua Pengerusi dan Timbalan PAC dari PH. Lagi teruk dari zaman BN.

Tun Dr Mahathir Mohamad kata dalam peraturan di Parlimen tak disebut Pengerusi PAC kena dari pembangkang (berbeza dengan DUN Selangor). Memang betul tapi kan dah janji waktu PRU14? Ronald Kiandee diletak bukan sebab peraturan tetapi sebab janji. Dan takkan janji ni pun nak guna alasan hutang negara RM1 trilion kot.

Nurul Izzah bukan mengada-ngada, tapi mungkin dia rasa kerajaan tak patut mungkir janji

YB Nurul Izzah Anwar, meletak jawatan dari PAC pada 23 Mac untuk protes keputusan ini. ORANGKATA difahamkan di Parlimen pun ramai Ahli Parlimen PH dan Pembangkang kritik kerajaan pasal benda ini. Pembangkang pun (dua dari BN dan seorang dari PAS) dah semua letak jawatan dari PAC tanda protes.

Tun Mahathir kata, mereka akan cari individu sesuai untuk jawatan ini, dan Ronald akan pegang sehingga pencarian ini selesai. Kita harap perkara ini diambil serius, nanti orang kata apa guna mereka mengundi PH pada PRU14 yang lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *