PAS dakwa tak bayar Sarawak Report, tapi ada bukti mereka bayar lebih sejuta

Tatkala PAS secara berterusan sejak bertahun lalu menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) khususnya sejak parti tersebut keluar daripada Pakatan Rakyat (PR), DSAI dengan tenang melakukan serangan balas. Serangan ini bukan pukul curi atau dengan peluru kosong, sebaliknya bersama bukti yang menggemparkan.

Harus diakui, DSAI mempunyai ‘soft spot’ dengan PAS, di mana kebanyakan pimpinan utama PAS sekitar 1980an adalah mantan pimpinan ABIM ketika DSAI menjadi Presiden pertubuhan tersebut. Hal ini dapat dilihat menerusi hubungan akrab yang dipelihara bersama bekas pemimpin ABIM seperti Almarhum Ustaz Fadzil Noor, Almarhum Syeikh Niamat Yusuf, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Ustaz Ahmad Awang.

Mengakui bahawa beliau menghormati dan menghargai jasa aktivis tulen PAS yang telah berjuang khususnya sejak era Reformasi, DSAI menyatakan bahawa pendedahan ini bagi mengelakkan rakyat terus tertipu dengan helah serta pembohongan pimpinan semasa PAS.

Setiausaha Agung PAS kata tak ada bukti untuk kaitkan mereka membayar Sarawak Report

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, Presiden PKR itu tidak mempunyai bukti berdokumen bahawa parti itu membayar RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown. Tatkala PAS melengah-lengahkan sidang media bagi menunjukkan bukti mereka, Sarawak Report memberikan satu lagi ledakan maklumat kepada PAS dan masyarakat umum menerusi kenyataan terbaru mereka.

Dengan tajuk ‘Time To Clear The Air On The PAS Payment To Sarawak Report’, berikut merupakan terjemahan daripada blog tersebut.

Apabila penyelesaian di luar mahkamah telah ditandatangani pada 24 Januari berkenaan persetujuan bahawa kos perundangan Sarawak Report perlu dibayar sebanyak RM1.4 juta (RM1,422,980.00) sebagai sebahagian daripada perjanjian bagi membolehkan Hadi Awang menarik balik kesnya, Sarawak Report bersetuju dengan syarat Hadi bahawa kedua-dua pihak memastikan urusan pembayaran ini dianggap sebagai sulit.

Setiausaha Agung Pas. Via Awani

Adalah menjadi syarat yang biasa untuk penyelesaian sedemikian bahawa penyelesaian di luar mahkamah disimpan sebagai rahsia untuk menjaga aib pihak yang membuat bayaran, selain menyelamatkan kedua-dua pihak daripada membazir masa dan kos jika diteruskan perbicaraan.

Bagaimanapun, Sarawak Report hanya bersetuju dengan arahan Mahkamah UK untuk menarik balik kes Hadi dengan syarat, kos tersebut dibayar. Bayaran penyelesaian tersebut disimpan oleh peguam Sarawak Report di Malaysia untuk diberikan kepada Sarawak Report apabila arahan pihak mahkamah untuk kes Hadi di England ditarik balik, dicop dan dilakri.

Kerana itulah arahan mahkamah berkenaan penarikan kes itu diletakkan sebagai ‘tiada arahan untuk pembayaran kos’ kerana Hadi telah pun membayar kos sebanyak RM1.4 juta kepada peguam Sarawak Report.

Hadi dan rakan pimpinannya di dalam PAS sanggup membayar wang untuk elakkan diri daripada disoal

Hadi dan rakan pimpinannya di dalam PAS secara jelas sanggup membayar wang tersebut bagi mengelakkan daripada disoal balas berkenaan testimoni mereka yang bercanggah antara satu sama lain dan selanjutnya bagi mengelakkan daripada kalah dalam kes ini dan diketahui umum, selain mengelakkan daripada dipaksa membayar kos (kerana kalah).

Sekiranya mereka (Hadi dan pimpinan PAS) berterusan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah di hadapan Mahkamah England, pasti akan ada yang didakwa atas kesalahan ‘perjury’ kerana berbohong di mahkamah selepas bersumpah di dalam perbicaraan kes undang-undang di London (Berbohong ‘berlandaskan Syarak’ adalah tidak diiktiraf di dalam Mahkamah Sivil UK, apalagi di dalam kebanyakan negara Islam).

Penyelesaian di luar mahkamah tidak mewajibkan Sarawak Report untuk memberikan sebarang remedi yang diminta oleh Hadi, seperti tidak mendedahkan urusan pembayaran UMNO kepada PAS atau selainnya, memandangkan Sarawak Report telah enggan memohon maaf terhadap kenyataannya serta tidak akan tunduk daripada komitmen untuk memberikan laporan yang adil atas kepentingan awam.

Via SR

Sarawak Report bersetuju untuk menarik balik saman balasnya terhadap Hadi antara lain atas alasan intimidasi saksi juga bagi mengakhiri kesemua tindakan undang-undang tersebut. Arahan yang diberikan oleh mahkamah adalah sangat pendek, memberikan, merujuk kepada terma penyelesaian ‘SULIT’ antara kedua-dua belah pihak.

Sarawak Report telah memfailkan saman balas kerana banyak intimidasi yang dilakukan oleh para penulis blog pro-UMNO berkaitan kes tersebut, di mana pihak Sarawak Report menegaskan bahawa Hadi membocorkan dokumen mahkamah lalu diterbitkan oleh banyak pihak khususnya Malaysia Today.

Penyelesaian di luar mahkamah satu langkah ke belakang oleh Hadi

Lagipun, penulis Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin (‘RPK’), yang disenaraikan sebagai saksi Hadi di dalam kes tersebut dan merupakan abang kepada Raja Idris Kamaruddin, ejen Hadi di dalam prosiding kes ini, yang didakwa bersemuka dengan peguam PAS di London iaitu Carter Ruck.

Sarawak Report telah membuat aduan bahawa maklumat yang bersifat persendirian dan sulit berkenaan kes tersebut telah dibocorkan kepada RPK, di mana beliau kemudiannya memutarbelitkan fakta dan melakukan serangan terhadap Sarawak Report dengan nada yang bersifat mengancam serta menghina – di samping berbohong berkenaan bayaran jutaan dollar yang diterima oleh Sarawak Report daripada pelbagai pihak yang direka-reka dan tidak wujud.

Namun, memandangkan kes Hadi yang telah digugurkan, tuntutan undang-undang selanjutnya berkenaan salahguna dokumen mahkamah – yang pastinya menelan belanja yang tinggi tidak diteruskan.

Apa yang Sarawak Report telah meneka dengan tepat adalah para pengulas di Malaysia akan melihat penyelesaian kes tersebut sebagaimana yang telah berlaku: satu langkah ke belakang oleh Hadi daripada dakwaan tuntutan asalnya terhadap Sarawak Report bekenaan laporan yang antara lain mendakwa PAS menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Justeru itu, Sarawak Report merasakan tiada keperluan untuk mendedahkan berkenaan bayaran penyelesaian luar mahkamah.

Banyak kenyataan yang mengelirukan keluar daripada mulut wakil PAS

Sejak kes tersebut ditutup, PAS telah memutar-belitkan dan berbohong berkenaan perkara tersebut. Pimpinan kanan PAS telah berbohong dengan alasan demi kepentingan parti sebagaimana yang didakwa dibenarkan oleh Syara’ (sangat mengejutkan!).

PAS seolah-olah menyatakan bahawa Sarawak Report menarik diri daripada kes ini, menipu dan menyatakan perkara yang tidak pernah dinyatakan sebelum ini (sebagai contoh, wang yang dibayar kepada akaun parti PAS datang daripada 1MDB, sedangkan duit 1MDB telah pun kering sejak Februari 2015 selepas skandal tersebut terdedah).

Kini wakil Hadi di dalam PAS telah berkali-kali mengingkari syarat yang dikenakan kepada Hadi untuk menjaga kerahsiaan tentang syarat-syarat penyelesaian tersebut, dengan bukan sahaja bercakap tentang syarat-syarat tersebut tetapi juga memesongkan kefahaman masyarakat Malaysia dengan menyatakan bahawa tiada bayaran yang dibuat kepada Sarawak Report dalam penyelesaian tuntutan tersebut. Bayaran memang telah dibuat.

Via SR

Pertamanya, pada Selasa lepas, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan membuat satu kenyataan umum untuk menafikan dakwaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang bertanya jika benar PAS telah membayar kos perundangan kepada Sarawak Report sebagai sebahagian daripada penyelesaian tersebut. Bukan sahaja tidak memenuhi komitmen untuk tidak memberikan sebarang komen, beliau mendakwa bahawa Hadi dan Sarawak Report tidak membayar sebarang kos:

“Dalam erti kata lain, Hadi tidak membuat sebarang bayaran kos kepada defendan untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah. Perlu dijelaskan bahawa PAS tidak membuat sebarang bayaran untuk mana-mana bahagian dalam kes ini. PAS menganggap kenyataan Presiden PKR sebagai langkah yang terdesak untuk mengalih perhatian rakyat daripada krisis keyakinan dalam kalangan parti Pakatan Harapan terhadap pengerusi mereka, Dr. Mahathir Mohamad, yang juga perdana menteri.”

Kemudian pada hari Khamis, berikutan dakwaan selanjutnya daripada Anwar bahawa beliau telah mendapatkan dokumen bank yang menunjukkan Sarawak Report memang dibayar, Takiyuddin mengumumkan bahawa beliau akan membuat satu sidang akhbar yang mana beliau mendakwa bahawa beliau akan mendedahkan ‘dokumen’ untuk ‘membuktikan’ bahawa Sarawak Report tidak menerima pembayaran bagi menyelesaikan kes tersebut.

Hadi tidak sepatutnya membincangkan butiran penyelesaian kes dengan mana-mana ahli PAS

Ini bermakna bahawa Takiyuddin, yang merupakan jurucakap utama di dalam PAS dan seorang lagi wakil Hadi di dalam kes itu, telah secara khusus merujuk kepada butiran terma-terma yang sulit yang mana telah melanggar syarat penyelesaian, tetapi dalam cara yang salah dan memesongkan fakta apabila seolah-olah menyatakan bahawa beliau boleh membuktikan bahawa Sarawak Report tidak dibayar, sedangkan Sarawak Report telah menerima bayaran lebih RM1.4 juta.

Hadi tidak sepatutnya membincangkan butiran penyelesaian kes dengan mana-mana ahli PAS. Tindakan Takiyuddin yang mewakili Hadi dalam mendedahkan butiran tersebut merupakan pelanggaran kerahsiaan perjanjian tersebut, memandangkan ianya adalah pembohongan.

Cek yang diletakkan di bawah amanah peguam Sarawak Report di KL adalah dengan syarat bahawa kes Hadi di UK tidak diteruskan.

Oleh itu, Sarawak Report berhak untuk menganggap bahawa ia telah bebas daripada kerahsiaan tersebut, bagi membolehkan kebenaran didedahkan kepada rakyat Malaysia. Tiada dokumen yang ‘membuktikan bahawa Sarawak Report tidak dibayar’, sebaliknya terhadap banyak bukti menunjukkan kami dibayar oleh ejen Hadi Awang untuk membenarkan beliau menarik balik samannya.

Kami percaya, atas sebab-sebab politik, Setiausaha Agung PAS tersebut kini cuba untuk melengah-lengahkan sidang akhbarnya untuk menunjukkan ‘bukti’ yang didakwanya, sehinggalah Pilihan raya kecil akan datang, bagi memperdaya para pengundi dan orang awam bahawa beliau mampu membawa bukti itu, sedangkan realitinya, tidak.

Via Giphy

Selain itu, kami dimaklumkan bahawa surat kepada Malayan Banking Berhad (bawah) ini adalah dokumen yang diperolehi oleh Anwar dan ia menunjukkan bahawa Sarawak Report telah dipaksa di bawa akta penggubahan wang haram, untuk menjelaskan penghantaran wang sebanyak £260,000 pounds sterling (RM1, 422, 980.00) daripada Malaysia ke London. Dilampirkan di sini Salinan surat bekenaan penyelesaian sulit tersebut serta arahan mahkamah.

Sarawak Report telah ditawarkan penyelesaian di luar mahkamah oleh PAS menerusi orang tengah

Sarawak Report boleh mengesahkan bahawa menjelang akhir tahun lalu, ia telah ditawarkan penyelesaian di luar mahkamah oleh PAS menerusi orang tengah, yang juga dikenali sebagai penyokong PAS dan merupakan antara individu yang terlibat dalam keputusan asal untuk menyaman blog Sarawak Report.

Terdapat beberapa rundingan dengan orang tengah tersebut, yang mana Sarawak Report mempunyai rakamannya, yang banyak berhubung dengan Hadi dan ejennya di dalam PAS yang terlibat di dalam kes itu (peguam London, Carter Ruck telah mengesahkan bahawa mereka asalnya didekati oleh Hadi dan PAS tentang kes ini).

Kemudian, Hadi dan penasihatnya di dalam PAS bersetuju dengan Sarawak Report berkenaan syarat yang turut melibatkan pembayaran ini, yang mana ketika ini orang tengah tersebut, seorang peguam dan seorang lagi penyokong PAS mengunjungi peguam Sarawak Report di Kuala Lumpur pada 24hb Januari untuk memuktamadkan syarat-syarat itu.

Via SR

Beberapa orang tengah tersebut menyatakan bajawa PAS mahu membayar jumlah tersebut dalam bentuk tunai pada minggu selanjutnya. Namun, peguam Sarawak Report enggan menerima bayaran tunai dan sebaliknya menerima cek bertarikh ke depan (post-dated cheque) bertarikh 31 Januari daripada salah-seorang orang tengah itu (yang menyatakan mereka perlukan masa untuk mengumpulkan wang itu daripada PAS, yang telah mendanai kes Hadi).

PAS dan Hadi Awang mahu mencari segala cara untuk menjarakkan diri mereka daripada fakta sebenar bahawa mereka membuat bayaran untuk menggugurkan kes itu dan mengelakkan perbicaraan. Namun, kenyataan umum yang terbaru ini sekali lagi memesongkan rakyat Malaysia daripada hakikat sebenar dengan menyatakan bahawa Sarawak Report tidak dibayar dan Sarawak Report sendiri yang menarik diri daripada mempertahankan tuntutannya, yang mana ianya adalah tidak benar.

Mereka juga telah melanggar syarat-syarat perjanjian yang mereka sendiri letakkan iaitu tidak mendedahkan syarat penyelesaian, dan oleh itu Sarawak Report berhak untuk mendedahkan kebenaran sebenar kepada rakyat Malaysia dan berharap ini akan menjelaskan keadaan sebenar.

Lagipun, Hadi sendiri telah terlepas daripada kes yang pastinya boleh menyebabkan beliau dan partinya kelihatan tidak bijak di London, dan seharusnya bersyukur untuk itu.

Berapapun cepatnya kebohongan itu, namun kebenaran akan mengejarnya juga

Peguam Americk Sidhu sendiri mengesahkan nombor akaun yang digunakan pada cek RM1.4 juta yang diterima anak guamnya, editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown.

“Saya boleh sahkan cek ini sudah diluluskan ke dalam akuan Maybank anak guam saya, yang bermakna cek ini asli atau bank yang luluskan itu buat kesilapan besar,”.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pula dengan tegas menyatakan bahawa bahawa nombor akaun Bank Islam yang terkandung di dalam perjanjian yang mengesahkan pembayaran (iaitu akaun Bank Islam bernombor 9010001388) itu adalah benar.

Memang berat nampaknya pimpinan serta penyokong taksub PAS untuk menerima serangan hebat DSAI kali ini. Paling utama, pimpinan PAS perlu berhenti daripada terus berbohong, tatkala ramai aktivis serta penyokong tulen mereka yang sangat mempercayai mereka, namun akhirnya dikecewakan dengan siri pembohongan yang dahsyat dan memilukan. Sekalipun ada justifikasi Syarak, tapi itu dalam darurat dan bukan setiap masa.

Dah kalau boleh berbohong setiap masa atas asas helah politik, payah lah ceritanya. Rakyat akan menghukum kedangkalan dan kebobrokan kepimpinan semasa PAS yang nyata jauh daripada hikmah Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan Almarhum Ustaz Nik Aziz Nik Mat. Bak kata Tan Malaka, “Berapapun cepatnya kebohongan itu, namun kebenaran akan mengejarnya juga!”

 

*Sebahagian besar artikel ini diterjemahkan dari artikel Time To Clear The Air On The PAS Payment To Sarawak Report’ oleh Sarawak Report

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *