Kami temu bual mat salleh yang mahir berbahasa Melayu, ini pesanan dia

Kami temu bual mat salleh yang mahir berbahasa Melayu, ini pesanan dia

Dalam tulisan ini kita akan bersembang bersama @bingregory, seorang blogger orang putih yang fasih berbahasa melayu. Kali ini kita tidak akan bercakap tentang pantun atau simpulan bahasa seperti yang Zayn selalu utarakan sebaliknya akan bersembang tentang Melayu, Islam dan tips bersembang dengan orang-orang yang bebal.

1) Boleh cerita sikit latarbelakang tuan?

Saya orang Detroit dari USA. Anak kepada dua orang, bapa kepada tujuh, suami kepada satu.. Masuk Islam lebih 25 tahun, kahwin Melayu lebih 20 tahun, menghuni di Malaysia lebih 15 tahun dan baru mendapat taraf Pemastautin Tetap pada minggu lepas.

2) Dalam satu video tuan ada sebut tentang 4 orang anak tuan didaftarkan sebagai bangsa yang berbeza. Apa yang nak disampaikan sebenarnya dalam video tu?

Memandangkan negara ini sangat mementingkan soal bangsa, hairan melihat undang-undang dan peraturan tentang kaum yang tak seragam dan tak selaras. Yang lebih menghairankan: Ramai tak tahu!

Sudahlah soal bangsa mengelirukan, kalau ditambah pula isu status bumiputera ia akan jadi lebih memeningkan. Perkara ini tidak diketahui ramai. Niat saya merakam video itu bukan nak menghibur semata-mata, tapi untuk mengajak penonton berfikir sejenak maksud kaum dan bangsa di Malaysia. Misalnya, kita mungkin tak sedar di Malaysia boleh wujud India Bumiputera dan Iban bukan bumiputera? Atau mereka yang lahir dari ibubapa berbangsa Arab tetapi anaknya berbangsa Melanau?

Via Twitter

Semua ini mungkin kedengaran aneh tetapi ianya boleh dilakukan dan mengikut landasan undang-undang sedia ada. Jika kita lihat presiden UMNO sekarang, beliau berbangga ibu bapanya Jawa, asal dari tanah Jawa malah fasih bertutur dalam bahasa Jawa.

Memang patut bangga pun! Pada saya kepelbagaian bahasa dan keturunan ialah satu kekayaan!  Tetapi tahukah anda, ada negeri di Malaysia dimana keturunan Jawa dianggap bangsa pendatang, bukan Melayu dan bukan bumiputera. Bugis pun sama. Jika presiden dan mantan presiden UMNO, sebuah parti Melayu, boleh dianggap bukan Melayu disisi undang-undang di sebahagian negara ini, soalnya apa itu Melayu?

Via Tenor

Ini bagi saya menunjukkan konsep bangsa ini bukan perihal darah daging dan tanah asal sebaliknya lebih kepada bahasa dan budaya. Kaum, suku kaum, ini semua bukan sifat mutlak tetapi boleh berubah mengikut masa dan realiti masyarakat.

3) Bagaimana tuan menemui hidayah dan memeluk Islam?

Ini cerita lama, saya masuk islam 1992. Namun saya tak boleh kongsi kerana 3 sebab:

a) Tiada sebab buruk untuk menjadi Muslim. Sering kali ditanya, awak masuk Islam dulu sebab nak kahwin dengan orang Melayu kah? Saya ucap syahadah jauh lebih awal tapi sebenarnya saya benci soalan ini kerana seolah-olah cuba menilai atau menghukum orang yang masuk Islam kerana cinta. Saya kenal orang yang peluk Islam sebelum kahwin namun tinggalkan agama dan isteri. Nauzubillah. Saya juga kenal orang yang masuk Islam sebab cinta dan alhamdulilah terus menjadi Muslim yang taat. Pada saya,kita patut bersangka baik  dan buka pintu seluas-luasnya. Hidayah itu kan dari Allah?

b) Saya bukan contoh yang baik kerana saya belum mati.. Saya paling segan nak kongsi cerita kerana saya belum lagi menemui Husnul Khatimah, iaitu mati dengan Iman. Saya risau kerana ada  kawan yang lebih senior dulu, mualaf seperti saya di USA, yang dah patah balik, nauzubillah. Kalau saya sebut sebab-sebab saya masuk Islam atau sebut nama Tok Syeikh yang ajar saya dan esok lusa saya terjatuh ke dalam kegelapan, macamana dengan nama baik Tok Syeikh?  Ampun. Saya tak sanggup.

Via Tenor

c) Kekal Muslim lebih utama. Tanya orang yang baru kahwin kenapa nak kahwin? Ada yang jawab sebab pasangannya cantik jelita. Tunggu 20, 30 tahun jawapannya sama tak?  Perjalanan ini masih panjang, yang penting kita sampai ke destinasi.

4) Apa perbezaan yang ketara di Malaysia pada mula tuan datang sini dan masa sekarang?

Kali pertama saya datang ke Malaysia pada 1997, ketika itu harapan setinggi gunung. Raihan dan Rabbani baru meluncurkan album pertama mereka, Anwar Ibrahim dengan visi gagasan kebangkitan (renaisans) Islam dan menara KLCC baru selesai dibina yang menampilkan senibina Islam. PAS ketika itu membawa imej Demokrat Islam yang tak rasis membayangkan ia sebagai alternatif yang meyakinkan. McDonald yang halal. Bagi muslim dari America, Malaysia ketika itu ialah acuan sebuah negara Islam moden.

Namun selepas 20 tahun, banyak yang berubah. Cuma McDonalds saja yang kekal halal.

Sebagai seorang guru, saya berpeluang bertemu dengan ramai  kumpulan pelajar berumur 19 tahun. Ketika saya makin berumur, kumpulan pelajar bertukar, tapi tetap 19 tahun. Mereka ini bersemangat, optimistik, rajin dan beradab. Saya tak rasa saya buat pilihan yang salah untuk memilih berpindah ke Malaysia.

5) Sekarang semangat perkauman di Malaysia kelihatan semakin menebal. Adakah tuan jangka ini akan berlaku?

Saya berpindah dari Amerika untuk elakkan perkara-perkara sebegini sebenarnya dan perkembangan ini amat membimbangkan. Namun ianya seolah-olah peralihan yang dialami di peringkat global: Duterte, Trump, Bolsonaro dan tidak ketinggalan tokoh-tokoh tempatan.

Via Giphy

Tapi pilihanraya lepas memberikan nafas segar untuk demokrasi sedunia. Saya juga berpendapat yang keberadaan kita disosial media tidak boleh terperangkap dengan troll, negativiti dan kebencian. Kita harus terus menyantuni rakyat Malaysia yang lain dengan baik.

6) Ada tak  tips macamana nak berkomunikasi dgn racist?

Nak berkomunikasi dengan siapa sahaja yang penting ikhlas. Zaman sekarang, kita semua tenggelam dalam sifat kepura-puraan dan tipu daya. Kita semua dahagakan keikhlasan.

Saudara Zayn bin Gregory menulis diblognya dan berkicau di Twitter dengan nama @bingregory.

 

*Wawancara ini telah diterjemah dan disunting oleh @bumilangit untuk keselesaan pembaca.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print