Pembangkang tolak MoU, minta diberikan syarat baharu

f1 min (20)

Memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan antara ahli parlimen pembangkang dengan Kerajaan Perpaduan antaranya perlu telus dan tidak tertakluk kepada klausa kerahsiaan.

Ketua Whip Kerajaan Perpaduan itu berkata, beliau bertindak mendedahkan kandungan draf itu susulan pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media.

“Niat kerajaan Madani mewujudkan suasana aman dan harmoni supaya semua ahli parlimen lebih menumpukan kepada usaha pemulihan ekonomi selain dapat memainkan peranan konstruktif sebagai semak dan imbang. Ini penting supaya kita dapat menumpukan sepenuh tenaga dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Dengan pendedahan ini, rakyat sendiri boleh menilai kesemua dakwaan ketua pembangkang mengenai draf berkenaan yang didakwa tidak berasas sama sekali,” katanya.

Berikut adalah kandungan penuh draf MoU:

  1. Tempoh kuat kuasa MoU – Berkuat kuasa dari tarikh memorandum dan terpakai sehingga pembubaran Majlis Parlimen Ke-15 atau pada 19 Disember 2027 (mana yang terdahulu).
  2. Obligasi Perikatan Nasional (PN) – Menyentuh mengenai peranan dan fungsi Ahli Parlimen Pembangkang sebagai komponen penting dan akujanji sebagai Ahli Parlimen pembangkang berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina. Ia juga menyentuh pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.
  3. Obligasi Kerajaan Persekutuan – Kerajaan Persekutuan antara lain mengakui bahawa Ahli Parlimen pembangkang mempunyai peranan yang besar sebagai pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada negara, Perlembagaan Persekutuan dan institusi diraja, serta bertindak untuk semak dan imbang secara sah dan bertanggungjawab.
  4. Ketelusan dan tiada kerahsiaan – Memorandum ini tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan.
  5. Pemakaian undang-undang – Memorandum Persefahaman ini hendaklah dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia
  6. Pembatalan memorandum – MoU ini secara automatiknya akan terbatal dan pihak yang lagi satu tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan menurut MoU ini. Ini melibatkan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

Semalam, semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sebulat suara menolak Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya menolak MoU atas empat faktor antaranya dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama.

“Sehubungan itu, PN mahu memperingatkan pihak kerajaan kepada manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berjanji menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) secara sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti dan rakyat sedang menilai apa sudah jadi dengan janji-janji tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Hamzah, pembangkang menerima dua set draf cadangan MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN iaitu di antara Kerajaan Malaysia dan parti Perikatan Nasional.

Sebelum ini, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan menzahirkan sokongan kepada kerajaan dan pengisytiharan harta merupakan antara tujuh syarat MoU.

Dedahnya, memorandum itu juga merangkumi tujuh kandungan antara obligasi dan syarat yang perlu dipenuhi oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang termasuklah isu berkaitan isu agama, kaum dan raja (3R).

Bagi pembangkang, deraf MoU yang baharu perlu disediakan

Susulan penolakan MoU tersebut, jawatankuasa khusus untuk membincangkan mengenai memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang yang baru diperlukan. Itu kata dua diberikan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, selepas menyifatkan tiada ruang untuk perbincangan bersama kerajaan berhubung draf MoU terbabit melainkan syarat berkenaan dipatuhi.

“Sekiranya perbincangan berasaskan MoU yang ini, kami rasa tiada ruang untuk kami sumbang apa-apa alternatif atau perbincangan.

“Ini disebabkan semua yang terkandung dalam draf MoU ini tidak boleh diterima melainkan perbincangan dibuat untuk mewujudkan draf MoU yang baharu dengan perbincangan dilakukan oleh kedua-dua pihak. Sepatutnya tubuhkan jawatankuasa dahulu sebelum kedua-dua pihak membincangkan MoU (mengenai) apa yang perlu dan apa yang tidak perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat PAS Kota Bharu

Semalam, penganalisis politik berpendapat pihak berkecuali boleh dibentuk untuk menyediakan draf MoU antara kerajaan dan pembangkang, sekali gus mengelak pertikaian isu berterusan yang akhirnya tidak menguntungkan rakyat.

Pihak berkecuali yang diterima kedua-dua pihak ini mesti bertindak mengumpul seberapa banyak cadangan, permintaan serta syor dari kerajaan dan pembangkang, sebelum satu draf akhir MoU dikemukakan untuk dipersetujui.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail, ketika mengulas isu sama berkata wakil rakyat pembangkang tetap tidak akan menandatangani MoU mengenai peruntukan sekiranya kerajaan masih mengekalkan syarat sama meskipun berlaku rundingan semula.

Pada masa sama, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata pihaknya juga merasakan tiada keperluan untuk menghantar surat rasmi kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung penolakan MoU berkenaan.

“Mereka hantar MoU kepada kita pun tanpa mengambil pandangan kita. Jadi kita tidak perlu menghantar surat secara rasmi, cukuplah kami maklumkan kepada rakyat Malaysia kami menolak MoU berkenaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan menunggu surat rasmi daripada pihak pembangkang yang dilaporkan menolak MoU Mengenai Peruntukan Pembangkang yang dikemukakan kerajaan.

Fadillah dilaporkan berkata, setakat ini beliau hanya mengetahui berkenaan penolakan itu menerusi laporan media.

Mengulas lanjut, katanya, PN akan mengusahakan supaya Ahli Parlimen gabungan itu mendapat apa juga sumber kewangan meskipun sedikit bagi meneruskan khidmat mereka kepada rakyat.

“Sekarang ini pun kami menggunakan elaun kami sendiri dan tiada langsung bantuan daripada Kerajaan Pusat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *