Perwakilan wanita dalam politik Malaysia memerlukan program pembangunan kepimpinan lebih kukuh dan mampan untuk memperkasakan peranan wanita khususnya dalam arena politik negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ketika ini kira-kira 13.36 peratus golongan wanita terlibat dalam arena politik Malaysia.
Beliau menyifatkan ruang yang diberikan kepada penglibatan wanita dalam politik merupakan usaha positif agar golongan itu turut serta dalam jentera pentadbiran negara.
“Semasa saya mula-mula masuk sebagai Ahli Parlimen Batang Sadong pada 2008, terdapat kira-kira 14 peratus daripada kami. Sekarang angka berkenaan berkurangtetapi ini tidak bermakna parti tidak menghantar cukup (calon wanita). Parti memang hantar calon tetapi orang tidak mengundi wanita kerana itu bukan trend kita di Malaysia,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Untuk Memperkasa Wanita Kepimpinan Inklusif (ICEWIL).

Justeru, Program Perantitisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) diperkenalkan kementerian itu untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dan menggalakkan penyertaan aktif mereka dalam arena politik tanah air.
“Itulah sebabnya kita memerlukan lebih banyak program kepimpinan seperti ICEWIL, supaya kita boleh mendedahkan lebih ramai golongan muda tentang apa itu kepimpinan,” katanya lagi.
Bagi tahun 2025 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melaburkan RM5 juta melibatkan 100 mentor dan 5,000 peserta bagi program ICEWIL.
Dalam perkembangan lain golongan lelaki yang berdepan masalah kesihatan mental dan tekanan emosi hingga membawa kepada perlakuan negatif terhadap orang sekeliling diseru agar mendapatkan bantuan profesional dengan segera. Nancy berkata perkhidmatan kaunseling yang disediakan adalah sulit, selamat dan dirahsiakan sepenuhnya bagi memudahkan mereka tampil untuk mendapatkan bantuan tersebut.
“Individeu berkenaan boleh hubungi Talian Kasih menerusi 15999. Selain daripada itu kita juga ada Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS). Ia memberi ruang kepada individu berkenaan untuk bercakap secara terus dengan kaunselor.
“Perkara yang diceritakan kepada kaunselor itu adalah secara sulit. Jadi orang lain tidak akan tahu apa perkara yang dibincangkan.
“Kita memang galakkan supaya permasalahan yang dialami untuk diluahkan. Mungkin ia boleh ditafsirkan memalui lukisan atau penceritaan, dari situ kita akan tahu perasaan dia. Kemudian kita akan putuskan sama ada akan ada rawatan susulan atau perbincangan seterusnya,” katanya.
Johari Abdul harap wanita dilindungi di ruangan siber
Malaysia disaran menggubal undang-undang khusus bagi menangani penyebaran fitnah digital dan serangan siber terhadap wanita, terutamanya dalam bidang politik yang semakin rentan dengan penyalahgunaan teknologi.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata cadangan tersebut timbul susulan peningkatan kes gangguan digital yang mensasarkan wanita melalui manipulasi imej dan kenyataan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Saya sedang teliti keperluan menggubal undang-undang khas ini di Malaysia. Jika perlu, kita harus perkenalkan ia segera, demi menyekat serangan bertubi-tubi berbentuk fitnah digital yang langsung tidak membantu sesiapa,” katanya.
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kesan serangan tersebut yang bukan hanya mencalar reputasi mangsa, bahkan menghakis keyakinan serta penyertaan wanita dalam politik dan kepimpinan negara. Tambahnya, negara jiran seperti Singapura telah mengambil langkah proaktif dengan meluluskan undang-undang melarang penyebaran maklumat palsu menggunakan teknologi AI.
“Kita juga perlu mengambil pendekatan yang sama agar teknologi baharu tidak dijadikan alat untuk membuli, memperlekeh atau memfitnah wanita yang ingin berkhidmat kepada negara,” ujarnya.
Undang-undang sedemikian, menurut beliau, bertujuan membendung penyalahgunaan teknologi digital yang mampu mencetuskan ketegangan sosial, menjatuhkan kredibiliti individu dan menjejaskan kesejahteraan mental rakyat.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pembukaan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Ahli Parlimen Wanita WAIPA 2025, yang berlangsung di Damai Lagoon, Kuching. Mesyuarat tersebut dianjurkan oleh Parlimen Malaysia dengan kerjasama DUN Sarawak, dan menghimpunkan pemimpin wanita dari seluruh ASEAN.
Komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan 30 peratus wanita masih kukuh
Malaysia juga terus memperkukuh komitmen terhadap kesaksamaan gender menerusi pelaksanaan dasar 30 peratus bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam peranan pembuat keputusan.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegaskan bahawa dasar itu bukan sekadar angka simbolik tetapi cerminan iltizam negara ke arah kepimpinan yang lebih inklusif dan seimbang.
“Namun begitu, dasar semata-mata tidak mencukupi. Kita mesti berhadapan dengan halangan sistemik, meruntuhkan stereotaip yang berbahaya dan mewujudkan persekitaran yang membolehkan wanita memimpin dengan yakin, tanpa rasa takut terhadap diskriminasi atau gangguan,” katanya.
Johari Abdul yang juga Presiden ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) 2025 berkata, meskipun wanita semakin menyerlah dalam pelbagai bidang, mereka masih berdepan stereotaip budaya serta bias tidak sedar yang menyekat penyertaan dalam politik, sektor korporat dan pentadbiran.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap ruang digital yang kini menjadi medan gangguan terhadap wanita selain ketidaksamarataan ekonomi yang terus menyekat akses mereka kepada peluang dan sumber yang diperlukan untuk berjaya.
“Perlu kita tekankan bahawa memperkasakan wanita bukan satu tindakan kebajikan. Ia adalah satu keperluan strategik. Apabila wanita diberikan kedudukan yang setara dalam membuat keputusan, ekonomi berkembang, demokrasi menjadi lebih kukuh dan masyarakat lebih makmur,” ujarnya.
Beliau menyifatkan WAIPA sebagai platform yang mampu mengubah dialog menjadi dasar, pakatan menjadi gerakan dan komitmen menjadi tindakan nyata. Menurutnya, Parlimen yang mencerminkan rakyat sebenar akan menghasilkan demokrasi yang lebih inklusif, berwibawa dan adil.
Beliau turut menekankan bahawa Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) tidak akan dapat dicapai sekiranya ketidaksamaan terus wujud.
“Mendidik seorang gadis bukan sahaja mengubah kehidupannya tetapi juga haluan seluruh komuniti. Apabila wanita berinovasi, mereka bukan sahaja membina perniagaan, mereka membina keseluruhan sektor. Apabila parlimen benar-benar mencerminkan rakyat yang diwakilinya, demokrasi akan menjadi lebih inklusif, berwibawa dan adil,” katanya.