Pertama kali Resolusi PBB ditolak, siasatan jenayah perang di Yaman dihentikan

yemen
Pertama kali Resolusi PBB ditolak, siasatan jenayah perang di Yaman dihentikan

Dari zaman dulu kala, Yaman adalah tanah yang strategik dari segi perdagangan. Dah bermacam-macam perang dan perebutan, penaklukan serta penawanan berlaku kat sana oleh pelbagai kerajaan silam. Memasuki abad ke-21, keadaan tu tak berhenti. Yaman terus menghadapi pelbagai konflik dan belum boleh dikatakan sebagai sebuah negara yang aman.

DIorang dah alami perpecahan, perang saudara, konflik pemberontakan dan pengaruh militan al-Qaeda. Diorang jugak mengalami pelbagai tekanan dalaman dan luar, khususnya kat meja PBB. Sekarang ni pulak, PBB memutuskan bahawa siasatan jenayah PBB ke atas Yaman dihentikan. Kenapa pulak PBB nak hentikan siasatan, sedangkan konflik yang jadi kat sana memberi kesan yang sangat teruk dalam sejarah dunia moden?

sana yaman
Via Wikimedia

Pernah terpecah dua dan baru bersatu pada 1990, Yaman banyak kali dibuli Arab Saudi

Kalau kat Malaysia, sejarah kita sebagai gagasan Malaysia meliputi Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta Singapura bermula pada 1963. Keluarnya Singapura dari gagasan Malaysia pun turut dicatatkan sebagai perubahan Malaysia. Namun bagi Yaman, sejarahnya sebagai negara bersatu hanya tercatat pada 1990. Sebelum tu, Yaman masih lagi di bawah pengaruh British.

Pada 1960-an, nasionalisme Arab melonjak naik. British dah mulai takut benda ni akan gugat kepentingan diorang di sana termasuklah kat Yaman. Apabila perang anti-penjajah tercetus kat utara Yaman, diorang yang kat selatan pun ikut jugak menentang British. Kat utara Yaman, Arab Saudi, Israel dan British bergabung tenaga dengan para penyokong monarki Mutawakil sementara Mesir pulak membiayai operasi para pemberontak di Yaman untuk kekang pengaruh British. Selepas 6 tahun konflik tu berlaku, pemberontak menang dan membentuk Republik Arab Yaman.

yaman pecah dua
Peta Yaman sebelum 1990…-Via Wikiemedia.

Revolusi yang berlaku tu mempercepatkan pentadbiran British di selatan. Pada 1967, negara Yaman Selatan kemudiannya dibentuk, terdiri daripada Aden dan bekas kawasan Arab Selatan. Penubuhan tu dinamakan sebagai Republik Rakyat Demokratik Yaman dan beberapa program nasionalisasi telah bermula. Kawasan selatan Yaman ni kaya sebenarnya, ditambah lagi dengan kota Aden yang merupakan kota perdagangan kedua tersibuk selepas New York. Kawasan utara Yaman ni cemburu lah, sebab dorang takde apa yang kawasan selatan Yaman ada termasuklah jaringan bantuan luar negara diorang. Perang saudara kemudian tercetus kembali pada 1972.

Liga Arab jadi orang tengah yang berjaya menyelesaikan konflik saudara ni. Dalam rundingan tersebut, akhirnya diorang setuju nak bergabung jadi sebuah negara dengan melantik Ali Abdullah Saleh sebagai presiden pertama Republik baharu tu. Namun tak kekal lama; pada 1979, kedua-duanya gaduh lagi. Ramai terbunuh pada 1986 dalam perang saudara selatan Yaman. Presiden Ali Nasser Muhammad lari ke utara dan dihukum bunuh kerana belot kepada utara. Satu lagi kerajaan dibentuk.

ali abd allah salih 2004
Ali Abdullah Saleh, presiden Yaman.. -Via Britannica

Hanya pada 1990, barulah Yaman bersatu semula sebagai sebuah negara. Diorang pun ada pilihan raya sendiri dan boleh mengundi resolusi kat PBB. Tetapi semasa diorang jadi anggota Majlis Keselamatan PBB pada 1990 dan 1991, Yaman undi berkecuali dalam banyak resolusi berkenaan Iraq dan Kuwait serta undi menentang penyelesaian ketenteraan. Undi tu buat Amerika Syarikat jadi marah, manakala Arab Saudi menyingkirkan 800.000 orang Yaman untuk hukum keputusan Yaman di PBB.

Arab Saudi tak hanya wujud sebagai jiran yang gembira Yaman wujud dengan aman. Diorang tetap tak berhenti berusaha untuk menyahstabilkan, atau sekurangnya, mempengaruhi keputusan politik dalaman Yaman. Politik dalaman Yaman ketika tu dipegang oleh tiga pihak, iaitu Presiden (yang jaga pentadbiran), jeneral tentera (yang jaga ketenteraan) dan tokoh Islam parti al-Islah serta ‘broker politik’ yang boleh bayar wang kepada pelbagai pemain politik termasuklah sheikh dari puak-puak dalam Yaman. Arab Saudi dikatakan sengaja bayar supaya diorang bebas daripada bergantung kepada kerajaan Yaman, di samping membolehkan diorang pengaruhi politik dalaman Yaman.

yaman saudi
Berjiran je sebenanrya diorang.. -Via Liputan Islam

Konflik terus berlaku dan PBB dah tak boleh teruskan siasatan, ramai kata Arab Saudi sengaja pujuk negara Islam agar undi tolak resolusi

Pada 1994, perang saudara tercetus semula. Arab Saudi secara aktifnya membantu tentera dari selatan Yaman semasa perang saudara tersebut. Utara Yaman dan selatan ni tak betul-betul bersatu hati, jadi ni memudahkan Arab Saudi berterusan kacau diorang. Lepas tu pada 2004 pulak, pemberontakan Shia yang dipimpin oleh ketua puak Zaidi iaitu Hussein Badreddin al-Houthi mengugat kestabilan Arab Saudi. Tak cukup dengan tu, 5 tahun selepas hadirnya pemberontakan tu, cabang Al-Qaeda di Arab Saudi dan Yaman bergabung pulak untuk bentuk al-Qaeda di Semenanjung Tanah Arab yang berpusat di Yaman.

Oleh sebab Yaman dah jadi sarang pengganas al-Qaeda, maka Amerika Syarikat pulak masuk campur ke dalam Yaman. Pada tahun yang sama jugak, pasukan tentera Yaman nak kalahkan para pemberontak Syiah. Puluhan ribu terpaksa berpindah keluar. Suatu gencatan senjata dimeterai, tetapi Yaman dakwa 3,000 askarnya terbunuh dalam serangan baharu. Pemberontak Syiah tu pulak kata Arab Saudi sengaja bantu kumpulan salafi untuk kekang ajaran diorang di sana.

al qaeda
Via The Arab Weekly

Setakat 2015, puak Houthi berperang dengan tiga lagi pihak iaitu Islamic State, Al-Qaeda dan Arab Saudi. Amerika Syarikat sokong campur tangan ketenteraan Saudi di Yaman melawan Houthi, tapi ramai jugak setiausaha ketenteraan di AS tu dilaporkan sokong Houthi, sebab kehadiran Houthi menolak peranan al-Qaeda dan ISIS di Yaman. Sejak 2016, Yaman dah tak aman. Ramai mati kebuluran akibat konflik-konflik ni, dan dianggarkan lebih dari 50,000 kanak-kanak meninggal dunia akibat kekurangan makanan pada 2017.

Kini pada 2021, resolusi PBB nak teruskan siasatan jenayah ke atas apa yang berlaku kat Yaman ditolak. Ni menjadikan resolusi pertama yang ditolak di meja Majlis Hak Asasi PBB. Usul Belanda mulanya nak cadangkan agar sambung je siasatan PBB selama 5 tahun lagi sebab ramai penyiasat bebas kata, terlalu banyak jenayah perang berlaku dan dilakukan oleh semua pihak dalam konflik 7 tahun antara gabungan tentera Saudi dan pemberontak Houthi yang bersekutu dengan Iran.

houthis sanaa yemen 21sep2019 afp edit
Puak Houthi di Yaman.. -Via Defense Post

21 negara termasuklah Bahrain (sekutu Arab Saudi) undi menentang usul Belanda, termasuklah China, Cuba, Pakistan, Rusia, Venezuela dan Uzbekistan. 18 lagi termasuk Britain, Perancis, Jerman pulak sokong agar dipanjangkan lagi tempoh siasatan tu. Arab Saudi sendiri tak termasuk sebab dia bukan anggota menggundi dalam Majlis Hak Asasi PBB. Duta Bahrain, Yusuf Abdulkarim Bucheeri beri alasan, kumpulan penyiasat tu “menyebarkan informasi yang saah tentang situasi sebenar yang terjadi di lapangan Yaman.

Duta Jerman ke PBB di Geneva, Katharine Stasch kata:

“Sementara kita boleh mengiktiraf usaha gabungan Saudi untuk menyiasat dakwaan korban orang awam menerusi kumpulan penyiasat, kami yakin bahawa sebuah mekanisme PBB yang bertaraf antarabangsa dan bebas juga bekerja bagi memastikan akauntabiliti demi rakyat Yaman”- seperti yang dilaporkan Reuters

un vote
Via AP News

Kumpulan hak asasi mendakwa Arab Saudi sengaja lobi untuk tolak resolusi negara-negara Barat untuk memanjangkan tempoh mandat penyiasatan PBB. Institut Kajian Hak Asasi Manusia di Kairo dan kumpulan hak asasi Yaman Mwatana dakwa kempen lobi oleh Arab Saudi nampaknya semakin meningkat bagi mengurangkan sumber bantuan untuk capai keputusan tersebut dan mengugat kumpulan penyiasat.

Ni merupakan suatu dakwaan yang serius, dan tentunya merupakan suatu isu kemanusiaan yang serius. Perang yang berkekalan lama hanya akan melemahkan para penduduk yang tak mampu berpindah keluar dari kawasan tersebut. Bukan tu je, jenayah-jenayah perang yakni segala tindakan luar batas peperangan jugak mesti disiasat dan dipertanggungjawabkan kepada sesiapa yang melakukannya, walaupun ketika perang. Sebab tulah semasa perang, kita ada jugak garis panduan sendiri bagi mengelakkan kematian orang awam.

yaman lapar
Via Voa News

Apa yang berlaku di Yaman merupakan suatu perkara yang menyedihkan dan buatkan sesiapa pun boleh jadi buntu serta keliru tentang bagaimanalah nasib rakyat kat sana khususnya di kawasan yang terjejas teruk bertahun-tahun lamanya. Kami harap lepas ni, PBB boleh mengusulkan beberapa cadangan lain yang mungkin dapat membantu kelangsungan hidup dan meringankan beban nasib penduduk terjejas kat Yaman.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top