Gunung di La Palma antara paling aktif di Pulau Canary, meletus akibat gempa bumi

f1

Bila kita bayangkan tentang letusan gunung berapi, La Palma antara gunung berapi yang benar-benar menepati bayangan kita tu. Walaupun ia tak sepopular banyak kisah letusan gunung berapi yang agak dahsyat, tetapi kesannya tetap dirasakan oleh para penduduk sekeliling. Bukan tu je, diorang turut diancam dengan risiko tsunami disebabkan berlakunya gempa bumi pada masa yang sama.

Selain tu, diorang jugak tak boleh suka-suka hati lari dari tempat tu. Ye lah, La Palma ni sebenarnya adalah sebuah pulau dalam gugusan Pulau Canary di Sepanyol. Selepas letusan terakhir La Palma pada 1971, ketika tahun pandemik ni jugaklah gunung tu nak meletus kembali. Bagaimanalah nasib orang kat sana tu ye ketika ni?

volkano la palma berapi
Via Phys.org

Gunung di La Palma antara paling aktif di Pulau Canary, baru meletus selepas gempa bumi melanda

La Palma, sama seperti gugusan pulau lain di kawasan Pulau Canary sebenarnya adalah pulau-pulau volkanik. Seperti pulau-pulau lain kat sana, La Palma ni asalnya merupakan gunung laut yang terjadi akibat aktiviti volkanik bawah air. Perlahan-lahan, ia menjadi suatu kawasan yang agak luas dan besar untuk didiami oleh manusia.

Memandangkan ia jugak adalah kawasan volkanik, banyak jugak tanaman subur mekar kat sana. Beberapa tanaman utama kat sana adalah pisang, tomato dan tembakau, termasuk jugaklah seni sulaman hasil tangan masyarakat di sana. Pelancongan pun turut berlangsung di sana, sebab tempat diorang ni cantik jugak. Tenang je…

la palma pelancongan
Via TripAdvisor

Apa yang tak membuatkan ramai tenang pulak adalah risiko letusan gunung berapi yang boleh terjadi kat sana. Mengikut catatan Sepanyol, terdapat 8 kejadian letusan gunung berapi pernah berlaku. Semuanya berlangsung kat salah satu kawasan utama pelancongan diorang iaitu Cumbre Vieja. Paling awal dicatatkan, pada 1470 dan ia berpanjangan sehingga 1492.

Letusan terbaru pulak berlaku pada September lepas di tempat yang sama iaitu Cumbre Vieja. Cumbre Vieja, bermaksud ‘Puncak Lama’ ni adalah rabung volkanik, aktif yang menempatkan beberapa lagi gunung berapi kecil. Lohong-lohong gunung berapi kat sana dijeniskan sebagai Stromboli – ia meletus dengan kadar sisa volkanik yang sederhana, manakala lahar dia cair je mengalir.

lava lahar la palma
Via Reuters

Pada 9 September lalu, sebuah gempa bumi kecil dengan magnitud 1.2  berlaku kat Cumbre Vieja. Menurut rekod laman Volcano Discovery, jumlah gempa yang berlaku kecil je dari Januari hingga Ogos. Dalam bulan Jun, langsung takde gempa bumi. Tetapi bila September tiba, aktiviti seismik kat sana naik mendadak. Setakat artikel ni ditulis, diorang masih lagi mengalami beberapa gempa bumi bermagnitud dalam lingkungan 3.0 hingga 4.3 skala Richter.

Ada yang sehari tu, boleh cecah lebih dari 10 gempa bumi. Dalam tempoh 10 hari, lebih 25,000 gempa kecil direkodkan. Pada 19 September, jam 3.15 pada waktu tempatan; lahar meletus di Cabeza de Vaca, Hanya 2 jam lepas tu, lahar mengalir turun daripada rekahan-rekahan lalu merosakkan banyak tanaman dan mengancam keselamatan para penduduk di sana.

lava lahar la palma spain
Via Reuters

Amaran kuning dikeluarkan oleh kerajaan tempatan, beberapa kali lumpuhkan lapangan terbang La Palma

Susulan kejadian tersebut, pihak kerajaan kat sana keluarkan amaran kuning dan bergegas pindahkan ratusan penduduk yang berdekatan dengan arah aliran lahar. Empat kampung termasuk El Paso dan Los LLanos de Aridane dipindahkan ke tempat selamat. Ikut laporan Reuters, Presiden Pulau Canary Angel Victor Torres kata 5,000 orang telah dipindah dan takde kecederaan dilaporkan setakat tu.

Oleh disebabkan laharnya pun jenis likat, pergerakan lahar tu agak perlahan dan memberikan ruang masa yang cukup untuk memindahkan para penduduk berdekatan. Kata sorang penduduk tempatan:

“Apabila gunung berapi meletus hari ini, saya rasa takut. Bagi wartawan, ia adalah suatu perkara yang menakjubkan, tapi bagi kami, ia adalah suatu tragedi. Saya rasa lahar tersebut sudah sampai ke rumah beberapa saudara saya. Saya hanya berumur 5 tahun apabila letusan terakhir berlaku (pada 1971). Kita tidak akan mudah lupakan peristiwa seperti itu”, Isabel Fuentes, 55, seperti yang dipetik Reuters

Nampaknya bukan lahar je yang memberi kesan kepada para penduduk. Pada 7 Oktober, asap dan debu daripada Cumbre Vieja menyebabkan pihak lapangan kapal terbang untuk tutup semula perkhidmatan diorang. Ni adalah kali kedua lapangan tersebut terpaksa ditutup sejak letusan tu bermula pada 19 September.

Kali pertama ia ditutup pada 25 September lalu, diorang buka semula landasan selepas operasi pembersihan dijalankan. Namun dengan situasi kini, kita tak tau bila landasan tersebut dapat beroperasi seperti sediakala kerana letusan La Palma dah berlangsung lebih dari 2 minggu dah setakat artikel ni ditulis.

asap la palma lava volkano
Via Reuters

Manakala setakat 2 Oktober, kerosakan harta benda dilaporkan melebihi 1,000 bangunan, lebih 30km jalan raya dan meliputi sebuah kawasan menghampiri 400 hektar, serta debu volkanik menutupi lebih 4,800 hektar dalam had kawasan pemantauan pihak berkuasa. Nasib baiklah lahar yang mengalir tu menuju ke laut, dan tak tersebar ke tempat lain. Walau bagaimanapun, aliran tersebut membentuk sebuah delta lahar atau fajana yang baharu.

peta la palma
Via BBC

Buat masa ni, ia terus menambahkan saiz delta lahar tu daripada 20 hektar menjadi 27.7 hektar setakat 2 Oktober. ‘Tanah’ baharu ni dihak milikkan kepada kerajaan Sepanyol. Pakar volkanik mengesan bahawa sumber letusan kali ni adalah pembentukan satu lagi lohong baharu dalam kawasan Cumbre Vieja, dan belum dinamakan lagi. Secara tradisinya, diorang namakan sesebuah tempat dan kawasan kat sana dengan bahasa Guanche; maka nama terbaharu yang lebih digemari ramai untuk lohong tu adalah Tajogaite, sempena nama lokasi ia ditemui.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *