Ramai pengguna mengadu akaun CIMB dibekukan dan tiba-tiba berhutang, ini cerita selanjutnya

cimbbank

Baru-baru ni, CIMB sekali lagi menjadi sasaran kritikan warganet. Sebelum ni, ramai jugak yang buat aduan dan kritikan mengenai tahap prestasi perkhidmatan CIMB ni. Kadangkala, diorang mengalami masalah teknikal sehingga dapat menganggu urusan seharian para pengguna. Namun apa yang jadi baru-baru ni nampaknya masih belum ada kesudahan lagi, sampai Bank Negara Malaysa (BNM) pun dah turun padang bagi menyiasat masalah yang ada kat CIMB ni.

Sebahagian pengguna akaun bank CIMB dilaporkan terkejut apabila mengetahui bahawa akaun diorang dibekukan secara tiba-tiba. Ada pulak yang laporkan hanya terpapar angka negatif pada akaun peribadi diorang, sedangkan diorang tak pernah berhutang dengan CIMB. Apa dah jadi sebenarnya?

cimb
Via The Star

11,000 akaun pelanggan CIMB dibekukan, ada kata duit diorang bertambah berganda dari biasa

Macam yang kami sebutkan sebelum ni, CIMB buat hal lagi apabila 11,000 akaun pelanggan dilaporkan dah dibekukan sekaligus benar-benar menganggu urusan transaksi seharian diorang. Menerusi perkongsian New Straits Times, pihak CIMB dah pun menjelaskan bahawa terdapat kesilapan pemprosesan pada sistem perbankan diorang. Ni menyebabkan sebilangan kecil akaun dibekukan secara mengejut. Lanjutan dari perkara tersebut, pengguna yang terkesan turut menerima mesej yang menyatakan bahawa diorang berhutang ribuan ringgit bersama bank tersebut.

Hal ini pastinya suatu perkara yang mengejutkan, membingungkan dan mengundang reaksi negatif khususnya buat para pengguna yang terkesan. Lebih buruk, penjelasan CIMB tu membuatkan ramai tertanya-tanya dengan tahap perkhidmatan dan kualiti infrastruktur perbankan CIMB kepada para pengguna. Setakat ni, kami difahamkan bahawa CIMB menggesa agar para pengguna yang terjejas untuk hubungi diorang bagi tindakan selanjutnya.

Namun begitu, CIMB turut menjelaskan bahawa diorang sebenarnya tak bekukan pun akaun pelanggan. Sebaliknya, diorang cuma tahan wang secara tak sengaja yang dimasukkan ke dalam akaun terbabit. Ralat pemprosesan ni menyebabkan ada sesetengah transaksi tu dibuat dua kali, lalu berkemungkinan membuatkan sesetengah akaun tu nampak macam ‘terkurang’ wang dan ada jugak yang ‘terlebih’ wang.

“Selaras dengan amalan perbankan bagi kejadian sedemikian, kami menahan dan memperuntukkan jumlah pendua yang telah diproses untuk mendapatkan kembali bayaran yang tersalah dibuat kepada pelanggan.

CIMB ingin mengulangi bahawa terdapat ralat pemprosesan perkhidmatan kiriman wang pihak ketiga tertentu yang menyebabkan pemindahan dibuat kepada pelanggan diproses dua kali secara tidak sengaja,

Ini mengakibatkan pelanggan yang terjejas menerima kredit pendua ke dalam akaun mereka, iaitu transaksi-transaksi yang menggandakan jumlah dana diterima pelanggan.”- Kenyataan CIMB, seperti yang dilaporkan FMT

cimb hutang
Perkongsian tangkap layar pada 25 Januari 2022.. -Via NIaga Kini

Dua NGO membidas kenyataan CIMB, iaitu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Agenda Reset Malaysia (ARM) dan beri amaran kepada CIMB. Sekiranya bank tersebut gagal mencapai penyelesaian yang memihak kepada pemegang akaun, diorang akan lancarkan kempen boikot CIMB. Bagaimanapun, bank tu jelaskan semula, takde akaun dibekukan dan diorang masih boleh guna baki wang yang tak termasuk dalam jumlah yang ditahan. Apapun, baki debit yang ditahan tu masih belum dikreditkan lagi.

BNM sedang pantau rapi langkah CIMB perbaiki masalah ni, masih ada yang dakwa akaun diorang masih beku

Bank Negara Malaysia (BNM) sedang pantau rapi langkah CIMB untuk dapatkan semula lebihan amaun yang dikreditkan kepada pelanggan diorang. Kata pihak BNM, siasatan tentang insiden ni sedang dijalankan dan ia akan ambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya jika perlu.

CIMB dilaporkan sedang dalam proses menghubungi setiap pelanggan yang terjejas bagi mengelakkan pelanggan alami sebarang gangguan untuk mengakses akaun masing-masing. CIMB jugak turut menjamin takde dana pelanggan yang hilang akibat keralatan dalam sistem pemprosesan diorang.

cimbbekuakaun
Selesaikan atau kami boikot.. -Via FMT

Akan tetapi, kenapa masih ada mendakwa akaun diorang beku? Pada 5 Februari lalu, kira-kira 100 pemegang akaun berdaftar CIMB sekali lagi minta akaun diorang tu dinyahbeku semula. Jurucakap kumpulan tu, Mohd Aimullah Mohd Zain kata, pembekuan ke atas akaun tu tak wajar dilakukan dan banyak jejaskan urusan kewangan harian diorang.

Tambah lagi, tindakan bank untuk terus bekukan akaun tanpa sebarang notis dan penjelasan munasabah tak sepatutnya berlaku. Memetik Harian Metro;

“Contohnya macam kes saya, pada 25 Januari lalu, berlaku pembekuan akaun dan saya tidak dapat keluarkan walaupun RM10. Saya menghubungi pihak bank dan mereka memaklumkan ia kesalahan mereka disebabkan masalah sistem,”-  Mohd Aimullah, seperti yang dilaporkan Harian Metro

Reaksi kami membayangkan kesukaran pengguna terjejas.. -Via Giphy

Nampaknya, masalah sistem pemprosesan CIMB masih lagi belum selesai sepenuhnya lantaran masih ada aduan pengguna. Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) minta CIMB siasat punca kesilapan tersebut. Presidennya, N Marimuthu kata:

“FOMCA meminta CIMB menyiasat sama ada kesilapan itu berpunca daripada kerja ‘orang dalam’. Kami faham kesilapan berlaku, tetapi punca kesilapan besar itu mesti dipastikan dan tindakan diambil kerana ia akan menjejaskan keyakinan bank di negara ini,”- seperti yang dilaporkan FMT

FOMCA turut menggesa pelanggan yang terjejas supaya jujur dan tak ambil kesempatan daripada kesilapan dengan ambil wang yang bukan milik diorang. Ni berikutan ada jugak kes di mana lebihan wang yang dah terkreditkan ke dalam akaun bank pelanggan lain tu dahpun dikeluarkan dan dibelanjakan pulak. Hal ni mestilah akan merumitkan keadaan bagi bank untuk dapatkan semula dana tu.

cimb ralat
Via Harianpost.my

Kami berharap hal ni dapat diselesaikan dengan baik antara pihak bank dan para pengguna. CIMB perlu menyiasat ralat ini dan pastikan agar ia tak berlaku lagi pada masa akan datang kerana ia melibatkan wang simpanan rakyat. Sekiranya ia tak diuruskan dengan baik, keyakinan pengguna terhadap CIMB akan terhakis.

Leave a Reply

Your email address will not be published.