Abdul Hadi terus ‘pertahankan’ Taliban, ada dakwa belakangkan kerajaan sendiri

talibanpas
Abdul Hadi terus ‘pertahankan’ Taliban, ada dakwa belakangkan kerajaan sendiri

Pada tahun lalu, kita melihat kerajaan Afghanistan jatuh akhirnya ke penguasaan Taliban. Ramai yang dah trauma dengan bagaimana Taliban memerintah berpusu-pusu nak tinggalkan Afghanistan, sehingga ada yang meninggal dunia kerana terjatuh dari pesawat yang cuba dinaikinya. Kisah tragis ni berpaut pada ketakutan diorang terhadap Taliban yang dianggap menekan dan menyeksa kehidupan diorang. Atas pengetahuan ni, ramai jugak yang terkejut apabila Abdul Hadi pulak dilihat ‘terburu-buru’ nak jumpa dengan wakil Taliban.

Ada turut mendakwa, Abdul Hadi ni macam lebih sudu dari kuah dan suka ambil tindakan sendiri tanpa menunggu kebenaran dari kerajaan. Boleh jadi jugak, tindakan berani ni disulami dengan agenda yang hanya menguntungkan ideologi parti semata-mata dan tak mengutamakan prinsip serta polisi luar Malaysia sekarang ni.

abdul hadi awang taliban
Via Facebook Abdul Hadi Awang

Abdul Hadi beri jaminan bantuan kemanusiaan guna nama Malaysia kepada Taliban, dakwa dia ada mandat dari PM

Pada 4 Februari lalu, media melaporkan bahawa Abdul Hadi Awang dah selesai bertemu dengan wakil Taliban di Doha, Qatar. Dia selaku duta khas kerajaan ke Timur Tengah, berjumpa dengan Wakil Tetap PBB Taliban Mohammed Suhail Shaheen. Dalam pertemuan tu, Mohammed Suhail Shaheen kata;

“Beliau (Abdul Hadi) berjanji Malaysia akan melakukan apa yang mampu untuk membantu rakyat Afghanistan dalam masa genting ini. Kedua-dua pihak menekankan perlunya lawatan delegasi dari kedua-dua negara ke ibu negara masing-masing untuk meningkatkan hubungan bersama,” – seperti yang dipetik Malaysiakini menerusi ciapan di Twitter

Dia turut menambah, delegasi dari pejabat politik Taliban turut hadir dalam mesyuarat tersebut. Atas kapasiti Duta Khas ni jugak, Abdul Hadi dianggap mempunyai mandat dan persetujuan PM Ismail Sabri Yaakob. Dalam satu lagi kenyataan, Abdul Hadi kata fokus utama lawatan kerja selama empat hari di Qatar tu adalah untuk nyatakan kesediaan Malaysia bekerjasama dengan Qatar dalam usaha bina semula Afghanistan.

hadi taliban
Hadi bertemu dengan PM Qatar.. -Via NST

Ini termasuk menyelaras bantuan kemanusiaan, di samping buka pintu kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kebajikan. Lawatan tersebut jugak bertujuan untuk eratkan hubungan antara Malaysia dan Qatar. Tentulah lawatan ni tak hanya menjadi suatu berita yang besar untuk Malaysia, malah negara luar jugak dah mulai keliru tentang prinsip Malaysia berkaitan Taliban ni.

Sejak Taliban menguasai semula Afghanistan, Malaysia boleh dikatakan mengambil pendekatan berhati-hati. Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Luar kata kerajaan sentiasa pantau perkembangan di Kabul dan masih menilai situasi hubungan luar dari semasa ke semasa. Ini pada tahun lalu. Adakah ni tanda bahawa Malaysia beralih arah menyokong Taliban pulak pada tahun ni?

Tindakan Abdul Hadi gopoh dan aneh, kerajaan Malaysia masih belum iktiraf Taliban

Tindakan Abdul Hadi disifatkan gopoh, aneh dan dapat mengelirukan orang luar tentang prinsip luar Malaysia. Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Salahuddin Ayub kata Abdul Hadi sekarang ni dilihat mendahului kabinet atau PM semasa buat pengumuman nak beri bantuan kepada Taliban sedangkan kerajaan belum secara rasminya iktiraf pimpinan Taliban di Afghanistan.

“Tindakan gopoh serta aneh Abdul Hadi yang mewakili Malaysia diperhati seluruh dunia memberi imej yang buruk kepada negara.

Pertamanya, kerajaan Malaysia masih tidak secara rasmi mengiktiraf kerajaan pimpinan Taliban di Afganistan. Nampaknya Abdul Hadi telah terburu-buru melebihi kuasanya sebelum keputusan kabinet bertindak sedemikian,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

taliban
Taliban selepas menawan Kabul.. -Via Al Jazeera

Salahuddin turut membangkitkan persoalan sama ada kabinet dan kerajaan Malaysia dah beri kuasa kepada Abdul Hadi untuk keluarkan kenyataan sedemikian bagi pihak kerajaan. Sambungnya lagi;

“Komitmen sedemikian mesti diperakui oleh kabinet kerana banyak implikasi yang berkaitan dengan protokol. Dasar luar negara Malaysia ditetapkan oleh Wisma Putra dan menjadi tanggungjawab menteri luar, pengumuman komitmen terbabit adalah satu diluar bidang kuasa beliau,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

wismaputra
Wisma Putra.. -Via Astro Awani

Tak cukup dengan tu, Salahuddin turut mengkritik tindakan Abdul Hadi yang disifatkan bertindak terburu-buru kerana PRU ke-15 yang semakin hampir. Setelah begitu lama dilihat tak berperanan sebagai duta, bahkan takpun adakan lawatan rasmi ke negara Timur Tengah… tiba-tiba pulak muncul buat pengumuman untuk Afghanistan.

“Kenapa langkah Abdul Hadi kali ini dilihat sangat terburu-buru dan melangkau ketetapan oleh kabinet Malaysia, bahkan juga ASEAN dan PBB.

Jika Abdul Hadi benar-benar peduli terhadap kesengsaraan dihadapi umat Islam di Timur Tengah, mengapa tidak disentuh soal penderitaan kematian ramai yang dihadapi oleh rakyat Yaman yang memang terletak di Timur Tengah, berpunca dari Arab Saudi dan negara barat?”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

yemen 800x500 c
Perang Yaman.. -Via Global Risk Insights

Sepatutnya ikutlah prosedur dan protokol yang betul sebelum nak buat apa-apa keputusan khususnya apabila melibatkan nama Malaysia dan imejnya di luar negara. Dalam prosedur biasa, Malaysia akan tunggu penelitian dan pengiktirafan PBB terhadap satu-satu kerajaan dalam negara, sebelum dapat memberikan komitmen lagi-lagi pengumuman terbuka. Begitu jugak halnya untuk Afghanistan ni.

Kritikan pedas Salahuddin Ayub ni dibidas oleh Ahli Parlimen Sik (PAS), Ahmad Tarmizi Sulaiman. Menyokong tindakan Abdul Hadi; Ahmad Tarmizi kata kritikan yang dilemparkan tu terlalu dangkal dan dikatakan terpengaruh dengan sentimen DAP dan Barat yang tak senang dengan pemulihan Afghanistan.

“Malah, langkah (pertemuan itu) sangat tepat untuk membuat hubungan yang bakal dibuat oleh Malaysia. Tindakan ini satu usaha diplomasi awal untuk mesej kemanusiaan dan keamanan sejagat.

Salahuddin sepatutnya memahami umat Islam tanpa mengira batas sempadan negara bersedia membantu manusia lain. Walaupun mungkin ada perbezaan pandangan politik, tetapi tidak sepatutnya dipengaruhi dalam isu kemanusiaan,”- Ahmad Tarmizi, seperti yang dilaporkan Malaysiakini

ahmadtarmizipas
Ahmad Tarmizi.. -Via Malaysiakini

Bagi kami pulak, kedua-dua pendapat ni sebenarnya mempunyai tumpuan yang berbeza. Salahuddin ni cakap tentang Abdul Hadi yang melangkaui batasnya sebagai Duta Khas dan sepatutnya bersabar dulu sebelum buat pengumuman terbuka. Sementara tu pulak, Ahmad Tarmizi kata tindakan Abdul Hadi tu wajar dilakukan kerana nak beri bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan. Setakat ni, Malaysia masih belum iktiraf Taliban sebagai kerajaan rasmi Afghanistan.

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top