Parlimen ni tempat gaduh je ke? Ini peranan sebenarnya

a13

Parlimen Malaysia merupakan institusi penting dalam sistem demokrasi Malaysia. Sebagai badan legislatif, Parlimen bertanggungjawab untuk membuat undang-undang, meluluskan bajet negara, mengawasi dan memeriksa tindakan kerajaan, serta memberi nasihat dan pandangan kepada kerajaan.

Kepentingan Parlimen Malaysia dapat dilihat dari beberapa aspek. Parlimen mainkan peranan penting untuk pastikan prinsip-prinsip demokrasi di Malaysia terpelihara. Kewujudan ahli Parlimen akan beri peluang kepada rakyat melalui wakil-wakil yang dipilih secara demokratik untuk mengambil bahagian dalam proses pembuatan dasar-dasar penting. Senang cerita, Parlimen adalah medium utama bagi rakyat memberi pandangan dan mengemukakan kebimbangan mereka terhadap isu-isu berkaitan negara.

Malangnya, sejak beberapa tahun lepas, perbahasan di Dewan Rakyat selalu dikritik kerana kualiti perbahasan yang rendah, dan kadang-kadang bahasa dan tingkah laku anggota Dewan tak menggambarkan profesionalisme sebagai wakil rakyat. Bukan yang luar biasa untuk mendengar, panggilan nama tak sesuai, tak hormati peraturan mesyuarat, dan gangguan ketika seseorang anggota Dewan sedang bercakap.

Ramai mengeluh dan kecewa dengan tingkah laku sebahagian Ahli Parlimen yang seolah-olah langsung tak menghormati kedudukan Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi di negara ini.

Kualiti soalan dan perbahasan bermutu sudah tentu akan menonjolkan imej baik, terutamanya pada era semua perbahasan ini boleh diakses melalui Internet.

Rakyat pasti menginginkan wakil mereka menunjukkan kualiti perbahasan yang baik seperti sering mereka tonton ketika wakil rakyat di Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah berbahas secara profesional serta beretika. Wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya selalunya mempunyai latar belakang berbeza dengan pelbagai pengalaman politik. Mereka sepatutnya menjadi teladan baik kepada anggota yang muda supaya turut sama terbabit dalam perbahasan dengan mengemukakan soalan serta pandangan berkualiti melalui tingkah laku berhemah dan sopan.

Kami harap ahli-ahli Parlimen ini tak lupa yang Parlimen merupakan ‘forum’ untuk jalankan perbahasan dan bincangkan isu-isu penting yang berkaitan kepentingan rakyat. Parlimen melalui perbahasan membincangkan isu-isu penting seperti ekonomi, kesihatan, pendidikan, dan hal ehwal sosial. Perbahasan yang dijalankan oleh wakil-wakil rakyat di Parlimen memberi peluang kepada rakyat untuk mendengar pandangan dan hujah-hujah yang berbeza untuk membuat keputusan yang terbaik bagi kepentingan rakyat.

Parlimen bertanggungjawab untuk periksa tindakan kerajaan, berikan pandangan, dan menasihati kerajaan. Hal ini memastikan bahawa kerajaan bertanggungjawab dan tak terlepas pandang keperluan rakyat. Parlimen ada kuasa untuk memeriksa dasar-dasar dan program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan dan memastikan bahawa ia selaras dengan kepentingan rakyat. Parlimen memainkan peranan penting dalam proses pembuatan undang-undang disebabkan hal ini, Parlimen memainkan peranan penting dalam memastikan undang-undang di Malaysia dipersetujui secara demokratik dan mengambil kira kepentingan rakyat.

230309 parliament empty seats on opposition bloc bernama

Seperti yang berlaku baru-baru ini, Parlimen Malaysia ada kuasa untuk luluskan bajet negara. Bajet negara adalah dokumen penting yang menentukan penggunaan wang kerajaan untuk membiayai program dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan. Parlimen ada kuasa untuk luluskan atau menolak bajet negara dan beri pandangan kepada kerajaan mengenai peruntukan dana yang diperlukan untuk membiayai program dan projek yang penting bagi rakyat.

Melihat daripada beberapa peranan utama Parlimen kita, dapatlah kita simpulkan yang Parlimen Malaysia memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi Malaysia dan penting untuk memastikan kestabilan politik dan ekonomi di negara. Parlimen merupakan badan legislatif yang berfungsi untuk mewakili rakyat dan memastikan kepentingan rakyat diutamakan dalam proses pembuatan keputusan di negara. Mari ramai-ramai kita doakan supaya ahli-ahli Parlimen yang ada di Malaysia ni tak suka ponteng, kerana gaji mereka dibayar oleh rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *