Peranan PM yang jarang dibincangkan

a11

Setelah perjuangan Anwar Ibrahim yang panjang, akhirnya beliau berjaya menjadi perdana menteri. Kita mungkin boleh berbeza pandangan dengan pendirian politik Anwar, tapi sukar untuk kita menafikan bahawa beliau adalah salah satu pemimpin politik paling berpengaruh di Malaysia. Ramai yang beranggapan ia adalah peluang yang tepat untuk Anwar membuktikan dirinya sebagai perdana menteri – setelah berkali-kali menjadi ‘PM Tepi’. Cuma, masih ramai orang di luar sana yang sebenarnya mungkin tidak memahami peranan utama perdana menteri.

3941

Institusi perdana menteri ada sejarah yang panjang, dan telah berevolusi sejak 250 tahun yang lalu. Namun, institusi perdana menteri yang diamalkan di Malaysia pada hari ini adalah berdasarkan model Westminister British, yang mula diperkenalkan secara rasmi sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Secara umumnya, jawatan PM adalah jawatan yang terpenting dalam Perlembagaan Persekutuan di atas kapasitinya sebagai ketua kerajaan.

Perdana menteri akan memimpin kabinet dan bertanggungjawab untuk memastikan keputusan-keputusan penting diambil dalam kerajaan. Perdana menteri juga ada kuasa untuk mengangkat dan memberhentikan menteri-menteri dalam kabinet. Dalam tugasnya sebagai ketua kerajaan, PM perlu pastikan kestabilan politik dan ekonomi di negara untuk memenuhi kehendak rakyat.

Ramai yang tak sedar yang PM ada peranan penting dalam mempromosikan kepentingan Malaysia di peringkat antarabangsa – PM bertanggungjawab untuk memperkukuhkan hubungan dengan negara-negara lain dan membina jaringan kerjasama dengan badan-badan antarabangsa. Melalui peranan ini, PM dapat mempromosikan kepentingan negara dan memastikan imej Malaysia di mata dunia terus terjaga.

Peranan PM dalam mempromosikan demokrasi penting, PM kena pastikan demokrasi di Malaysia diperkukuhkan dan kebebasan bersuara diberikan kepada rakyat. Perdana menteri perlu memastikan kebebasan media dijaga dan membenarkan kritikan terhadap kerajaan, hal ini penting untuk pastikan rakyat sentiasa ada akses kepada maklumat dan mempunyai kebebasan untuk memberikan pandangan terhadap kerajaan.

Antara hal yang paling mendapat perhatian adalah PM menjadi individu yang bertanggungjawab dalam menasihati Yang Dipertuan Agong mengenai urusan perlantikan jawatan-jawatan penting yang disebutkan didalam Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuklah dalam hal-hal perlantikan hakim-hakim mahkamah atasan (Perkara 122B Perlembagan Persekutuan), Peguam Negara (Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan), Ketua Audit Negara (Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan), Pengerusi dan anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Perkara 139(4). Maksudnya, jawatan-jawatan penting yang ada di dalam negara selalunya akan dilantik oleh PM. Cuma, baru-baru ini kita dapat lihat Anwar tidak menukar Peguam Negara dan Ketua SPRM – hal ini sebenarnya jarang berlaku.

Walaupun PM ada banyak kuasa, cuma secara asasnya ia tidak bersifat mutlak dan kebal daripada proses semak dan imbang. Pertamanya, seseorang calon PM mestilah terdiri daripada salah seorang ahli Dewan Rakyat dan mendapat sokongan majoriti. Oleh kerana sokongan terhadap PM bergantung kepada sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat, sebarang tindakan drastik seperti memecat seorang menteri kabinet mampu menggugat sokongan terhadapnya sekaligus mencetuskan kemelut politik.

Selain daripada berperanan sebagai sebuah badan semak dan imbang terhadap PM, Parlimen juga secara mempunyai kuasa untuk memecat seseorang PM melalui proses undi tak percaya. Lebih penting, PM juga boleh kehilangan kedudukannya melalui Pilihanraya Umum sekiranya kerajaan yang diketuai beliau tak popular dan tak dapat sokongan pengundi.

Perdana menteri Malaysia memainkan peranan yang penting dalam sistem politik negara. Beliau bertanggungjawab untuk memastikan kestabilan politik, mempromosikan kepentingan negara, memastikan keamanan dan keselamatan negara dijaga, memperkuat demokrasi, dan memberikan akses kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka. Mari kita doakan supaya perdana menteri kita mampu memimpin negara ke arah yang lebih baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *