Kerajaan tengah pertimbangkan akta halang ‘katak politik’, ini perkembangannya

parlimen

‘Katak politik’ merupakan satu istilah yang dah semakin popular, khususnya selepas tumbangnya kerajaan PH dahulu disebabkan ramai yang tarik sokongan dan lompat parti. Rakyat pun dah mulai tertekan akibat tindakan ahli politik ni, sehinggakan kesan ketidakstabilan politik tu begitu dirasai oleh rakyat angkara tarik-menarik sokongan. Oleh demikian, satu akta dikenali sebagai akta anti-lompat diharapkan agar dapat kurangkan kes ‘katak politik’ dalam kalangan wakil rakyat ni.

Sebenarnya hal macam ni tak hanya berlaku di Malaysia. Ia turut berlaku di luar negara jugak, dimana ramai wakil rakyat kat sana kerapkali bertukar sokongan dan lompat parti. Selepas pengenalan akta anti-lompat, ia berjaya kawal tindak-tanduk politik ni dan membuatkan kerajaan diorang lebih stabil.

Prk Semenyih
Via Harian Metro

Kerajaan nampak bersedia bentangkan RUU anti-lompat pada Mac depan, penuhi syarat MOU

Malaysiakini melaporkan, Putrajaya akan buat satu lagi taklimat dan perundingan mengenai RUU yang direka untuk halang wakil rakyat yang dipilih daripada suka hati bertukar parti, selain tetapkan had penggal bagi perdana menteri.

Sumber dipetik, ahli parlimen dah dijemput ke taklimat oleh Menteri Undang-undang Wan Junaidi pada 9 Februari nanti di Parlimen. Katanya;

“Kami menjangka akan terlibat dalam perkara dasar berhubung rang undang-undang antilompat parti dan rang undang-undang untuk mengehadkan penggal perdana menteri kepada 10 tahun.

Kami juga mengharapkan untuk mendengar cadangan mengenai pindaan perlembagaan selanjutnya,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

ruu lompat parti
Via RTM

Kerajaan jugak dikatakan nampak bersedia untuk bentangkan RUU tersebut pada bulan Mac ni. Sesi kali ni dipercayai merupakan sesi kedua selepas taklimat pada 22 Disember tahun lalu. Untuk pengetahuan korang, undang-undang anti-lompat parti dan had penggal bagi perdana menteri adalah syarat yang ditetapkan dalam memorandum persefahaman (MOU) PM Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH).

Dalam janji pilihan raya PH, had penggal perdana menteri perlu diberi tempoh jawatan sehingga dua penggal je. Kesediaan kerajaan PN dulu nak laksanakan RUU ni mula disuarakan oleh Muhyddin Yassin pada Ogos 2021, tu pun sekiranya kerajaannya berjaya peroleh sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Sementara tu, gesaan untuk undang-undang anti-lompat parti ni hanya dapat sambutan selepas peristiwa Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Idea wujudkan pilihan raya pecat sebagai mekanisme kawal wakil rakyat, ikut jejak beberapa negara

Pada September tahun lepas, Azalina Othman Said (BN-Pengerang) cuba bentangkan RUU Persendirian, yang turut memperincikan mekanisme ‘pilihan raya pecat’. Benda ni dahpun wujud di Taiwan, Amerika Syarikat, UK dan Jepun. Dalam pilihan raya pecat, pengundi boleh pecat ahli parlimen melalui referendum sebelum tempoh penggal tamat.

Contohnya di UK, sorang ahli parlimen di Peterborough berjaya disingkirkan selepas 27.6% pengundi tandatangan petisyen di bawah Akta Pecat Ahli Parlimen 2015. Seterusnya, berlakulah pilihan raya kecil bagi membolehkan ahli parlimen baru diadakan susulan pemecatan wakil rakyat tersebut.

fiona onasanya
Fiona Onasanya dipecat menerusi referendum akibat terpalit dengan jenayah.. -Via BBC

Selain tu di UK jugak, undang-undang tadi membenarkan hanya 10% daripada pengundi menandatangani petisyen untuk cetuskan pemecatan. Petisyen kemudiannya hanya boleh dimulakan oleh pegawai majlis tempatan. Dalam soal ni, kita perlu teliti dari sudut teknikal pulak.

Bak kata sorang ahli parlimen;

“Apakah ambang yang sepatutnya untuk Malaysia? Kadar keluar mengundi kita agak tinggi. Jika terlalu rendah, ia terbuka untuk disalahgunakan,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Nilai ambang, atau dalam bahasa Inggerisnya, threshold ni penting kerana ia menentukan kesahihan keputusan tersebut. Nilai ambang ni perlulah bergantung kepada kadar populasi pengundi berdaftar dalam satu-satu kawasan, maka boleh jadi untuk satu kawasan kecil, diorang ada nilai ambang tersendiri bagi membolehkan seseorang wakil rakyat tu dipecat.

lompat parti
Via Soscili

Taiwan pulak membenarkan pemecatan menerusi inisiatif popular. Persetujuan hanya 1% daripada pengundi diperlukan untuk memulakan petisyen bagi memecat ahli legislatif Yuan. Seterusnya, hanya 10% lagi diperlukan untuk membawa petisyen tersebut ke undi rasmi. Jadi apabila undian diadakan, sekurang-kurangnya 25% daripada pengundi perlu turun mengundi agar pemecatan tu menjadi sah.

Di Singapura, sistem diorang lebih ringkas. Perkara 46(2)(b) perlembagaan Singapura menetapkan bahawa kerusi ahli parlimen menjadi kosong jika orang itu berhenti menjadi ahli atau dipecat atau meletakkan jawatan daripada parti politik yang mana orang itu bertanding dalam pilihan raya. Ringkasnya, bila wakil rakyat tu letak jawatan… dia turut letak jawatan menjadi wakil rakyat di kawasannya.

anti hopping
Via The Star

Kedua-dua terma ni amat menarik dan perlu kita fahami sebagai pengundi di Malaysia. Sekiranya ia berjaya diluluskan, tentunya ia akan mengubah dinamik politik di Malaysia sebab para pengundi akhirnya diberi lebih banyak kuasa untuk mengekang tekad dan nafsu politik sesetengah wakil rakyat untuk suka hati lompat parti, serta diharap mampu menstabilkan kerajaan di masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *