“Hari-hari bagaikan berlari
Tiada sesaat berhenti
Aku yang masih berdiri
Tiada arah yang pasti”
– Wings (Belenggu Irama).
Sekarang sudah masuk tahun baru, 2019, dan kita masih bergelut dengan polemik pasukan mana yang berhak memiliki Akhyar Rashid, dan adakah pemain tersebut sebenarnya adalah ejen bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pasukan.
Ya, tatkala isu gaji tertunggak dan kekeringan dana dalam tabung persatuan terus menggugah persiapan menuju Liga Malaysia yang sudah mahu membuka tirainya musim ini, kita masih dibelenggu kontroversi akibat kelonggaran pada peraturan, yang sewajarnya perlu diperhalusi.
Gaduhlah macam mana pun, akhirnya FAM juga yang akan putuskan
Bagi mereka yang tak tahu; dinyatakan dalam Perenggan 3, Artikel 15A, Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FAM, FAM mempunyai kuasa akhir. Hal ni yang perlu diberikan perhatian sebenarnya, soal manipulasi peraturan sedia ada.
Percayalah, seserius mana sekalipun kita mahu membincangkan soal tuntutan bayaran, pampasan baki kontrak, mahupun klausa pelepasan, akhirnya yang menjadi sendi utama penghujahan masih lagi pada Perenggan 3, Artikel 15A tersebut.
Jadi kita perlu duduk semeja dan bincang bersungguh, bagaimana untuk kita pastikan semua pihak yang berkepentingan dalam Liga Malaysia, dapat bersuara agar Perenggan 3 tersebut dipinda, bagi mengelakkan manipulasi pada peraturan tersebut.
“Ya, Tuan-tuan. Secara undang-undang, sebenarnya JDT sudah mengikut saluran yang betul. Secara etika dan moral saja yang salah,”
Mana tidaknya, secara beradabnya, mestilah JDT perlu berunding terlebih dahulu dengan KFA, jika berminat memancing Akhyar. Akhyar pula, secara beradabnya, perlulah juga memaklumkan KFA, pasukan yang telah mengeluarkan banyak dana dalam proses pembangunan kerjaya bola sepaknya. Tetapi, adakah JDT dan Mat Yat bersalah dalam hal ini? Tidak Sazali, kalau menurut Perenggan 3 tersebut, mereka tidak bersalah.
Artikel 15A perlu dipinda untuk elakkan benda yang sama terjadi lagi
Artikel 15A tersebut memang perlu dipinda, memandangkan ia mempunyai kelompangan serta kelonggaran yang terdedah kepada manipulasi. Idea utamanya adalah supaya wujud situasi menang-menang, di mana kebajikan pemain, bekas pasukan serta kelab baharu terpelihara.
Sudah tentu kita mahukan keadilan buat para pemain dan pasukan dalam Liga-M. Jadi, tiada isu sekiranya semua pemegang taruh di dalam Liga-M diberikan ruang untuk memberikan pandangan mereka, dalam memastikan Artikel tersebut dapat dipinda dan diperbaiki, untuk kebaikan semua.
Asas untuk seseorang pemain menjadi ejen bebas juga perlulah jelas. Sebaik-baiknya, seseorang pemain perlu memastikan ada makluman dan persetujuan daripada pasukan yang sedang diwakilinya (berdasarkan kontrak sedia ada), sebelum membuat rundingan dengan pasukan yang lain. Ini semua juga adalah demi menggerakkan Liga-M ke arah profesionalisme, dalam erti kata yang sebenar.
Di balik setiap undang-undang, ada sebab kenapa ia digubal dan diusulkan. Di hadapan undang-undang itu pula, ada kesan dan akibat daripada perlaksanaannya. Apa yang kita khuatirkan, akan lebih banyak persatuan yang tidak mahu mengikat kontrak panjang bersama pemain.
Jadi, perlu ada pindaan terhadap Peraturan tersebut yang membolehkan keadilan tertegak buat pasukan lama, pasukan baharu serta pemain itu sendiri. Soal ‘salary cap’ – gaji minimum dan maksimum seseorang pemain juga wajar dikaji secara serius. Liga yang menarik dan ‘hidup’, adalah bila tidak hanya segelintir pasukan yang mendominasi sepanjang musim.
KFA akan lawan, siap wujudkan tabung untuk derma orang awam
KFA dalam satu kenyataan telah menyatakan bahawa mereka akan membawa perkara ini ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS). Tampak sukar, tetapi tidak salah untuk memperjuangkan hak dan keadilan, kan? Pastinya KFA sudah mengkaji secara bersungguh akan bukti serta hujahan yang sesuai, selain implikasi tindakan mereka itu.
Konsep melawan ini ada risikonya; iaitu menang atau kalah. Tapi jangan pernah takut walau sekali, walau seinci — kerana dalam perjuangan asasnya adalah keberanian bertindak. Atas nama kebenaran dan keadilan, keberanian ini perlu dizahirkan dengan jelas.
KFA perlu buktikan bahawa mereka serius untuk membawa kes ini ke CAS, memandangkan penyokong Hijau Kuning sudah memberikan isyarat bahawa mereka akan berdiri teguh bersama KFA. Kepada semua pihak – lawanlah dengan otak dan strategi yang rasional, kerana hanya kebijaksanaan dan kewaspadaan dapat menyelesaikan segala kemelut. Masa dan takdir akan menentukan.