займ срочно

Isu larangan merokok? Zaman 1950-an rokok pernah dianggap ubat

Isu larangan merokok? Zaman 1950-an rokok pernah dianggap ubat

Cuba bayangkan Neelofa duduk di sebelah anda masa nak merokok, lepas tu dia kata – abang, janganlah merokok nanti tak sempat kita nak kahwin. Rasa-rasanya kalian nak merokok tak? Kami cakap macam ni sebab ada orang cadangkan Neelofa jadi duta anti-rokok. Biasalah, kalau nak pengaruhi abang-abang, kena tampilkan artis hangat semasa. Gilakan? Nak suruh orang sihat pun kena guna cara marketing jual ubat kuat.

Orang Malaysia memang suka benda-benda drama ni, tak kiralah apa jenis drama. Bak kata lagu May – hidup bagaikan pentas operaaaaaaaaaa. Lebih kurang macam drama juga.

Bagi sesetengah orang, beza tahun 2019 dan 2018 adalah keupayaan untuk meletakkan sebatang rokok dicelah jari ketika bersembang dengan rakan-rakan di mamak, atau mana-mana kedai makan . Benda ni dah jadi topik hangat kat internet, siap ada seorang uncle tular sebab merokok jauh dari kedai makan.

Menteri puji uncle. Via MalaysiaDateLine

Kami cubalah jadi cikgu disiplin yang cuba beritahu anak muridnya tentang rokok. Ini yang kami dapat senaraikan…

1. Merokok bukan budaya kita

Kami perlu maklumkan lebih awal, rokok bukan berasal dari tanah melayu.

 

Dari sebelum Malaysia terbentuk, masyarakat serata dunia dah mula hisap macam-macam, sama ada kanabis (ganja) di Timur Tengah, opium di China, atau tembakau di Eropah. Hubungan perdagangan ratusan tahun dahulu juga membuka ruang kepada pengenalan bahan toksik kimia yang pelbagai ini ke tanah melayu.

Menurut perokok, merokok di tempat awam seperti restoran dan sebagainya sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia, malah Tunku Abdul Rahman juga seorang perokok tegar.

“Jika Bapa Kemerdekaan bebas merokok kami juga punyai hak yang sama!”

Yang tidak dinyatakan di sini adalah Tunku Abdul Rahman, seperti konteks zaman itu juga mengakui bahawa dia seorang peminum arak. Pada masa itu, amalan seperti itu bukanlah taboo seperti sekarang, dan pemahaman dari sudut kesihatan tidak sama. Jika Tunku sendiri pertahankan amalan itu pada masa sekarang pasti dia tidak akan survive politik moden tanahair.

Apa barang hisap satu rokok? Tak cool. Via Giphy

Malaysia ini kaya dengan budaya, jadi adakah kita benar-benar mahu menegakkan satu budaya yang negatif seperti merokok, setaraf budaya sopan santun, berbudi bahasa dan gotong royong yang selama ini menjadi asas masyarakat?

2. Rokok, mempercepatkan proses berjumpa dengan tanah

Satu perkara yang tak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak –  rokok merupakan amalan yang tidak sihat.

Mengikut kajian, sejak lima dekad yang lalu penggiat industri tembakau telah membuatkan rokok lebih mudah ketagih, dan lebih bahaya untuk pengguna.

Selain meningkatkan jumlah nikotin dalam rokok untuk menggalakkan ketagihan, syarikat tembakau juga membuat “inovasi” lain ke atas rokok seperti menambah perasa, gula dan ammonia untuk meningkatkan ketagihan dan membolehkan nikotin sampai ke otak dengan lebih pantas.

Imej via Youtube

Penapis udara dan menthol juga digunakan agar perokok menghisap lebih banyak dan carcinogens sampai ke paru-paru secara lebih mendalam tetapi pada masa yang sama tidak menyakitkan tekak.

Menurut World Health Organisation (WHO), lebih tujuh juta manusia meninggal dunia setiap tahun akibat merokok atau menghidu asap rokok (satu kematian bagi setiap enam saat). Jumlah ini akan terus meningkat terutama di negara-negara mundur dan yang sedang membangun seperti Malaysia. Penyakit yang berkait termasuklah kanser, serangan jantung, strok dan penyakit paru-paru.

“Waiter! Saya order paru-paru well done, bukan hitam legam hangus.”

3. Ada NGO yang rasa dah cukup power untuk saman Menteri

Apa yang mengejutkan dalam isu ini adalah wujudnya NGO Pertahankan Hak Perokok (ini serius) yang telah menyaman Menteri dan Kerajaan atas langkah larangan merokok di restoran seluruh negara.

Antara perkara yang dibangkitkan:

“Rakyat Malaysia yang merokok akan secara konstruktifnya diketepikan dan/atau didiskriminasikan daripada berkunjung dan/atau menikmati kemudahan premis makan dan menghabiskan masa mereka di sana kerana larangan tersebut,” – Wakil NGO Pertahan Perokok

See you in court! Via KiniTV 

 

“Larangan itu tidak munasabah dan tidak adil kerana kerajaan sendiri tidak mengharamkan kegiatan itu dan mengutip cukai yang tinggi hasil jualan rokok,” – Wakil NGO Pertahan Perokok

Kenyataan ni agak berat sebab ia bukanlah satu halangan agar perokok tidak langsung boleh keluar rumah. Ramai juga orang yang melepak di kedai mamak tanpa menghembus ‘batang kanser’ dan masih mampu senyum tertawa di kedai makan.

Pengorbanan warga perokok yang menyumbang kepada ekonomi negara dengan menghabiskan ribuan wang setahun walaupun menjejas kesihatan adalah dihargai. Tetapi ini tidak bermakna perokok bebas melakukan apa sahaja dan di mana sahaja dengan wang yang digadai itu.

Via Giphy

Mereka yang membayar cukai jalan, dan yang membeli kereta mewah mahupun murah, masih perlu mematuhi undang-undang jalanraya. Sama juga kilang yang merembes bahan toksik masih perlu membuang sisa toksik dengan berhemah dan cara yang betul walaupun di premis sendiri.

“Saya kan bayar cukai jalan, salah ke saya nak langgar tiang lampu trafik ni?”

4. Ambil masa 50 tahun untuk buang perangai tak elok ni

Dahulunya rokok pernah disyorkan oleh doktor sebagai ubat. Tetapi sejak beberapa kajian dilakukan pada tahun 1950-an dan 1960-an, pakar kesihatan mula mengesahkan rokok menjejaskan kesihatan.

Namun dengan adanya lobi kuat syarikat tembakau, pensisihan amalan merokok ini tidaklah serta merta. Jika anda hidup pada zaman 1960-an hingga ke 1990-an, pasti anda pernah lihat iklan rokok di televisyen, syarikat rokok menaja rancangan tv dan bola sepak tanah air, malah merokok juga dibenarkan bukan sahaja di restoran, tetapi juga di dalam panggung wayang, kapal terbang dan di dalam kuburan.

Ingat lagi? Via Blues

Kesedaran tentang bahaya rokok ni menyebabkan kerajaan mengambil langkah membendung amalan merokok  dengan mengetatkan undang-undang dan mengenakan cukai yang lebih tinggi.

Larangan merokok di Malaysia ini berperingkat, bermula dengan panggung wayang pada tahun 60an, kemudian di kapal terbang, taman awam dan terkini di restoran (dengarnya tak lama lagi kedai dobi juga kawasan larangan). Sekarang kerajaan bagi chance lagi dengan menetapkan tempoh enam bulan sebelum denda dikuatkuasakan.

“Atuk ingat zaman atuk dulu lantai kat panggung sepah dengan puntung rokok dan kuaci,”

Apa yang dilakukan di Malaysia ini tidaklah drastik, malah memberi masa yang cukup lama (lebih 50 tahun + 6 bulan!) supaya objektif menambahbaik kesihatan masyarakat dan membendung amalan merokok itu tercapai secara berperingkat. Bukanlah seperti di Singapura atau Australia yang mengenakan hukuman dan denda yang berat kepada perokok serta merta dan kini menjadi contoh kepada negara-negara lain.

5. Orang Malaysia memang kaki lepak

Ada juga yang bangkitkan permasalahan lain seperti gangguan terhadap perniagaan restoran dan sebagainya. Perkara ini selain tidak berasas, ia juga hanya membuktikan bahawa rakyat Malaysia perlu berusaha lebih untuk mengeratkan hubungan sihat sesama sendiri.

Jika rokok itu menjadi penentu kepada masa terluang yang memuaskan, jadi selama ini rakyat Malaysia ada masalah yang lebih mandalam.

“Social smoker? Apa tu? Kami anti-social smoker,”

Panduan social smoker. Via Goodbye

Rakyat Malaysia memang suka melepak dan makan, ini merupakan budaya kita. Jadi peniaga restoran perlu menjadi lebih kreatif untuk menarik pelanggan jika larangan merokok membantutkan perniagaan. Apa yang pasti, udara di restoran lebih nyaman, makanan juga tidak dicemari asap dan semua pelanggan boleh menikmati makanan dengan lebih baik.

Jika perlu sangat merokok, rokok di kawasan yang dibenarkan. Rokok itu sendiri bukanlah diharamkan (walaupun ada fatwa bahawa rokok itu haram), tetapi ia perlu diamalkan secara berhemah mengambil kira faktor kesihatan awam.

Pada masa ini larangan ini tidaklah menyeluruh dan kerajaan juga masih boleh memperbaiki penguatkuasaan, mungkin dengan menyediakan kawasan khas bagi perokok. Tapi apa yang pasti, kita mahukan masyarakat yang sihat dan kuat, serta boleh berhubung dengan baik tanpa ‘batang kancer’ menjadi penghadang.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top