Kalau kita ni tengah bosan, biasanya kita akan pergi tidur. Berbeza pulak dengan ceritanya dengan Tun Mahathir yang masih lagi nak main game politik Malaysia, walaupun sudah berada di usia yang lanjut. Macam yang kami pernah kata, usia lanjut bukan bermakna tak bagus, cuma ia menunjukkan dia masih lagi tak putus asa dalam agenda politiknya. Apa agenda politik yang tersemat dalam hati Tun Mahathir? Itu korang kena tanya dia sendirilah.
Apa yang kami pasti dia tak nak Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri Malaysia, itu je, selebihnya kami memang takde idea. Siapa sangka dalam tempoh singkat macam ni dia berjaya tubuhkan dua parti “Melayu” – BERSATU dan parti yang belum ada nama lagi. Mungkin dia akan beri nama BERDUA, dengan moto berdua dengan mu adalah lebih baik. Okay, kami gurau je, jangan nak triggered.
Parti baharu ini adalah parti “Melayu”, Mukhriz Presiden, Tun M akan jadi Pengerusi
Semalam Tun Mahathir Mohamad umumkan yang dia akan menubuhkan parti baharu yang berasaskan kepada perjuangan Melayu. Katanya, ia berbeza dengan parti Melayu dan Pribumi lain yang dikatakan dah gadai maruah bangsa, agama dan hala tuju perjuangan kepada golongan yang gilakan kuasa.
“Di dalam kegilaan mahu kekal berkuasa, perjuangan mereka adalah untuk menjaga kepentingan elit demi memastikan sokongan tidak hilang dan dapat kekal berkuasa. Parti ini akan bersifat inklusif dan moderat dan akan memperlihatkan kepada bangsa-bangsa lain bahawa orang Melayu adalah bangsa yang tidak khianat, berpegang pada janji dan tidak menolak kerjasama yang ikhlas dan berprinsip. Dengan ini kami juga akan pastikan yang rakyat Malaysia dari kaum-kaum yang lain juga akan mendapat pembelaan dan layanan yang sewajarnya,” – Mahathir, seperti yang dilaporkan oleh AWANI
Dia turut kata parti baru tu tak akan terikat dengan mana-mana parti campuran Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN). Nampaknya dia agak serius untuk jadi blok ketiga di Parlimen. Cuma, kalau difikir secara logik – kalau parti baru ni bercadang nak jadi kerajaan, pada akhirnya dia kena buat gabungan dengan PH atau PN. Dalam sidang media tu, diorang kata asas perjuangan parti baru ni adalah menghapuskan rasuah dan kleptokrasi. Setiap ahli yang bakal berdaftar diwajibkan berpegang prinsip itu.
Kata Dr Mahathir, parti baru tu akan letakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim 29 Ogos ini. Parti ini tak akan letakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kerana hubungan diorang dengan Warisan. Menurut Tun Mahathir dalam sidang media tu, pada masa ini diorang tak akan buat sebarang keputusan lagi namun diorang kata ada perhubungan baik dengan Warisan dan diorang akan serahkan semuanya kepada Warisan. Ketika ditanya siapakah presiden parti baru tu, Tun Mahathir jelaskan ia akan dijawat Mukhriz dan dia akan jadi pengerusi parti.
Bagi Menteri Luar kita, kewujudan banyak parti politik akan tunjukkan negara kita tak stabil
Menurut menteri yang baru kantoi hisap vape dekat Dewan Rakyat, Datuk Seri Hishammuddin; mereka yang ghairah wujudkan parti politik baru perlu memikirkan masa depan negara. Tindakan Tun Mahathir wujudkan parti baru dikatakan hanya akan mengeruhkan kestabilan politik negara. Ahli Parlimen Sembrong tu kata segala tindak tanduk yang dia sifatkan sebagai berkepentingan peribadi tu akhirnya akan dinilai oleh generasi akan datang.
“Kalau kita terus bercakaran, wujud pelbagai parti ia hanya akan mengeruhkan keadaan dan mewujudkan satu keadaan yang tidak stabil kepada negara kita dan ia akan membawa kesan ke rantau kita. Ini diperhatikan oleh negara lain di ASEAN… penting untuk semua pihak bertanggungjawab kerana apa yang kita lakukan hari ini akan memberi kesan kepada generasi anak cucu cicit kita.
Selain melihat bahawa kepimpinan hari ini tidak hanya dibelenggu pertimbangan peribadi dan puak-puak tertentu, kita mesti letak kepentingan negara dan juga rakan-rakan serantau sebagai keutamaan. Ini dapat disedarkan kepada mereka yang ghairah sekarang ini yang nak mewujudkan parti baharu,” – Hishammuddin, seperti yang dilaporkan Awani
Dia kata macam tu ketika diminta ulas keputusan Mahathir untuk menubuhkan parti baru yang berasaskan kepada perjuangan Melayu. Kami tak rasa kewujudan banyak parti politik sebagai lambang negara tu tak stabil, cuma apa yang bermasalah di negara kita ni – wujud parti yang hanya memperjuangkan nasib bangsa-bangsa tertentu, dalam kes ni; kewujudan terlalu banyak parti berasaskan perjuangan Melayu.
Selain dari isu parti mengikut bangsa, kita juga akan berhadapan dengan masalah kalau ada parti yang menjual parti mereka dengan istilah “progresif” tapi hanya mengutamakan isu untuk kaum-kaum tertentu saja. Kalau kita melihat negara-negara maju, banyak je parti-parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya. Cuma parti-parti ni jaranglah yang berasaskan kaum, selalunya berasaskan ideologi atau perjuangan agenda tertentu. Kalau diuruskan dengan baik, kepelbagaian parti politik boleh jadi rahmat untuk Malaysia.
Cuma ramai juga yang tertanya-tanya semalam, ke mana pergi Syed Saddiq?!
Ketika Tun Mahathir umumkan parti baru ni semalam, satu kelibat takde, iaitu Syed Saddiq. Macam kita tahu, Syed Saddiq adalah di antara MP yang kena pecat dari BERSATU. Oleh sebab tu, macam pelik pulak kalau dia takde dalam gabungan parti politik ni. Kami rasa mesti diorang dah rancang sesuatu untuk mengejutkan orang ramai. Kami percaya, di mana ada Tun Mahathir, di situlah ada Syed Saddiq, kan? Sama-sama kita nantikan apa yang akan berlaku.