Masalah sakit mental, selalunya dikatakan kurang tawakal pada tuhan

Masalah kesihatan mental dalam kalangan orang Malaysia dikatakan semakin menjadi-jadi. Kalau tengok dekat sosial media, macam setiap hari ada je kes yang melibatkan pesakit mental. Apa yang lebih menyedihkan, dah beberapa kejadian bunuh diri dicatatkan akibat masalah depresi yang tak dikendalikan dengan betul. Sebabnya masyarakat kita masih kurang terdedah dengan masalah mental ni. Selalu ada orang cakap benda ni sebab lemah iman, atau kurang sujud kepada tuhan. Sebelum ini ORANGKATA dah tulis artikel dan buat video pasal sakit mental.

Sebenarnya ada pesakit mental yang boleh dikecualikan daripada berpuasa

Kami dah jelaskan ketika ramai duk kata sakit mental disebabkan hantu atau lemah iman sampai hari ni, dari zaman al Razi (854 – 934 Masihi) dan Ibnu Sina (980 – 1037 Masihi) lagi sarjana-sarjana perubatan Islam jelaskan sakit mental ni macam penyakit lain juga. Ada satu poster yang duk viral,poster dalam bahasa Inggeris tu minta supaya orang lebih prihatin dengan pesakit-pesakit mental Muslim.
Sebab ada pesakit mental (macam murung, dan lain-lain lagi) yang disuruh banyakkan solat dan doa semata-mata. Kalau patah kaki kita solat dan doa saja atau gi doktor? Islam ajar kita ikhtiar sebelum tawakalkan? Ada juga bila dah jumpa doktor psikiatri yang rawat sakit mental, bergantung pada ubat secara tetap seumur hidup dan tak boleh puasa. Maka mereka dibolehkan membayar fidyah. Benda ni tak ramai yang tahu, sebab ramai yang pandang ringan dengan kesihatan mental.
Via Berita Harian
Ada yang ada masalah pemakanan seperti anorexia (ketakutan menjadi terlalu berat) atau bulimia (makan berlebihan diikuti memuntahkan makanan). Mesti Ramadan hari tu amat mencabar bagi diorang. Ada pakar yang kata sebab mereka sakit dan mengelakkan kerosakan pada diri mereka, maka mereka juga boleh dikecualikan dari berpuasa sebagaimana diajar al Quran. Dan jika tak puasa maka mereka kena bayar fidyah.
Kalau tak diawasi, ada yang berkemungkinan cederakan diri sendiri. Via Tenor

Macam mana nak pergi masjid, kalau nak bersosial pun rasa takut?

Orang yang murung atau depresi pun kadang-kadang sangat susah nak keluar dari katil. Jadi nak solat apatah lagi solat di masjid sangatlah susah. Keluarga dan kawan-kawan kena pujuk dengan hikmah dan prihatin, jangan cepat menghukum.
Kalau yang bipolar – di mana mood mereka naik (mania) dan turun (murung) dari hari ke hari, ada yang kata iman mereka turun naik, tak istiqamah. Bila mood mania senang je beramal bila murung susah gila. Tapi bila dah jadi pesakit bipolar, memang lah tu ciri-cirinya.
Nampaknya benda ni memang makin serius. Via B-Side
Ada jugak yang dilanda fobia sosial, takut nak berjumpa orang ramai. Jadi memang susahlah ke masjid. Kita jugak tahu dalam Islam diharamkan bunuh diri. Tapi banyak Muslim yang bergelut dengan sakit mental pun akan merasa tertekan bila mereka terfikir nak bunuh diri. Ini realiti. Mereka bukan orang yang sempurna tetapi diuji dengan penyakit. Jadi kenalah dekati dengan baik.
Pastikan kalau nampak pasangan ke, anak ke, mak bapak korang macam kena sakit mental – jangan bawak terus gi bomoh ke ustaz yang kata boleh keluarkan saka. Bawak dulu gi jumpa doktor psikiatri di hospital kerajaan. Dapat je surat dari mana-mana klinik kerajaan. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Setiap muslim yang terkena musibah penyakit atau yang lainnya, pasti akan hapuskan kesalahannya, sebagaimana pohon menggugurkan daun-daunnya”

Anggaplah masalah kesihatan dihadapi sebagai penghapus dosa

Jadi kepada pesakit mental Muslim, anggaplah penyakit ini sebagai ujian untuk hapuskan dosa. Bagi keluarga dan kawan-kawan, jangan cepat menghukum dan fahamlah mereka tu tengah sakit. Kita sepatutnya tak jadi umat yang hanya tahu menghukum orang lain. Apa yang kita patut buat adalah cuba memahami keadaan seseorang dan memberikan bantuan jika ada dalam kalangan ahli masyarakat yang memerlukan. Barulah Islam tu dilihat sebagai agama yang membawa rahmat, bukan kaki judge.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *