Malaysia jadi juara obesiti, ini 5 tips untuk hidup lebih sihat…

S1
Malaysia jadi juara obesiti, ini 5 tips untuk hidup lebih sihat…

Bila korang sakit, masa tu lah korang baru nak sedar kesihatan ni tak boleh dijual beli. Lagi-lagi pada masa kini, risiko nak dapat penyakit tu lebih tinggi. Gaya hidup kita sekarang tentukan macam mana kesihatan kita esok hari. Ertinya kalau tak jaga apa korang makan hari ni, esok baru korang rasa sakitnya macam mana.

Tambah lagi dengan kemudahan yang dah tersedia, macam Grabfood dan Foodpanda tu… memang susah nak jaga, tapi tak mustahil. Jadi, kami senaraikan lima cara korang boleh tingkatkan kesihatan korang supaya boleh hidup lebih lama dan lebih baik.

Via Giphy

1. Kena amalkan diet yang baik, bukan nak telan pil diet pula

Bila orang fikirkan perkataan ‘diet’, mesti korang bayangkan tujuan diet tu mesti nak kurus kan? Haa… sebenarnya idea diet ni takdelah sesempit macam yang dibayangkan. Diet ni secara asasnya adalah makanan dan minuman yang korang selalu telan. World Health Organization (WHO) cadangkan makanan terbaik adalah yang kurang garam, gula dan trans-lemak. Maksudnya, kena kurangkan makanan ringan dan makanan yang diproses.

Via Giphy

Selain tu, jumlah makanan tu mestilah diambil dalam kuantiti sederhana. Healthline kata ada dua cara korang boleh kawal kuantiti, iaitu guna piring yang lebih kecil dan pisahkan bahagian jenis makanan tu. Amalan pinggan ‘suku-suku-separuh’ yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ni dah cukup mudah untuk korang faham. Ni barulah namanya ‘jaga makan’. Makan keropok sepanjang hari tak termasuk ye. Bila ‘jaga makan’, barulah terbukti senang nak kurus…

2. Kena selalu bersenam, ada banyak cara untuk pelbagai keadaan

Macam ‘diet’ jugak, orang selalu bayangkan bersenam ni mesti kena berlari, jogging ataupun perlu kena pergi gim. Kalau orang sibuk dan selalu takde masa, memang susahlah nak cari masa kalau bersenam tu perlu ke gim, kan? Nerd Fitness sampai senaraikan 40 aktiviti yang boleh korang buat sebagai aktiviti bersenam. Kalau korang tak suka aktiviti lari atau daki bukit, boleh je korang cuba benda lain pula.

Kata Nerd Fitness, dua kunci utama nak bakar kalori ni adalah micromovements dan senaman yang buat korang rasa seronok buat. Micromovements ni adalah jenis gerakan yang korang tak sedar pun korang buat tapi sebenarnya boleh bakar kalori lebih. Contohnya, berdiri sambil buat kerja kat komputer ataupun menari-nari kecil waktu dengar lagu seronok… tu gerak-gerak kecil je tapi tetap bakar kalori. KKM pula cadangkan cuba buat 10,000 langkah sehari, jadi korang boleh jadi kreatif dalam usaha nak capai 10,000 langkah sehari tu.

10,000 langkah tu macam korang jalan 7-8 km. Via Giphy

3. BMI sendiri kena ambil tahu walaupun tak tahu kira…

Tak pandai kira bukan alasan korang sengaja tak nak ambil tau pun pasal BMI korang. Hasil timbangan korang tu pun tak boleh dianggap sebagai ukuran terbaik sebab ia tak bagitau korang pasal total body fat.

Selain tu, mestilah orang yang lebih tinggi akan lebih berat dari orang yang miliki ketinggian sederhana. Jadi BMI, atau Body Mass Index ni lebih baik dari penimbang berat biasa. Kalau nak tau, korang boleh je cuba guna kalkulator percuma kat Calculator.my dan padankan sendiri risiko kesihatan dengan hasil BMI korang.

Lama dah Malaysia ni di tangga ‘negara paling gemuk’ kat Asia, dan nampaknya takde pun makin kurang. Dr. Dzulkefly Ahmad merangkap Menteri Kesihatan Malaysia kata;

“Statistik yang diperoleh melalui Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2015 menunjukkan bahawa Malaysia telah menjadi sebuah negara obes, di mana seorang dalam dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Ini sekaligus menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara paling gemuk di Asia, dengan jangkaan populasi yang berlebihan berat badan sebanyak 33 peratus dan obesiti sebanyak 18 peratus”- Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian pada 23 April 2019

Mungkin kita kena berhenti guna frasa “gemuk itu tandanya gembira”, bila statistik sebegini keluar sehingga dikatakan oleh Bloomberg pula bahawa masyarakat Asia Tenggara ni ada masalah kegemukan.

Populasi Lebih Berat Badan Obesiti
Info yang digunakan adalah pada statistik WHO pada 2011. Kalau ikut sekarang, Malaysia dah 51 peratus. Via Thailand Business News.

4. Hentikanlah merokok, “setiap sedutan membawa padah”!

Dah macam-macam kita buat selama ni, dari kempen, denda… hinggalah ke regulasi perundangan yang lebih tegas terhadap para perokok kat tempat terbuka khususnya restoran. Ketika ramai yang terima penguatkuasaan larangan merokok kat tempat makan terbuka, ada pulak yang takut hak merokok mereka terhakis sebab dah tak boleh merokok waktu lepak lagi. Ni buatkan ada yang cabar larangan merokok tu pada awal tahun ni, dan akhirnya kalah pada Oktober.

Via Giphy

Kalau nak kita kumpulkan kajian-kajian saintifik pasal betapa bahayanya merokok, beratus-ratus kajian dah dilaksanakan. Jelas sekali merokok dan kini mencakupi vaping ni akan meningkatkan risiko kesihatan pada diri sendiri dan orang sekeliling. Bahkan dari 1955, dah dinyatakan bahawa merokok tu difatwakan haram. Nak hidup lama, kenalah berhenti tambah risiko bahaya korang dengan rokok serta vape. 

Vape Bahaya Kkm
Vape pun bahaya lah, korang. Via KKM

5. Cabar minda supaya otak tak jadi ‘beku’

Bukan kami je kata, Harvard Medical School pun kata benda yang sama. Pernah tak bila korang memandu, tup tup dah sampai? Korang tak perasan banyak mana pun masa memandu, tau-tau dah tiba kat destinasi. Sebenarnya tu adalah fungsi minda korang yang dah masuk mod autopilot, iaitu bila otak korang dah hafal sangat rutin korang. Sebab tu ada orang boleh rasa orang dia macam beku je, atau hidup dia terasa bosan sungguh.

Jadi untuk tak rasa beku minda tu, korang kena buat benda baharu. Psychology Today nasihatkan supaya korang luaskan zon selesa korang. Mungkin korang tak pernah pakai baju hijau pergi ke pejabat, jadi korang bolehlah cuba esok. Ataupun pergi melancong ke tempat yang korang tak pernah pergi dan tinggal lama sikit supaya dapat belajar budaya masyarakatnya. Bila korang selalu belajar benda baru, minda korang jadi terbuka dan ‘selalu muda‘. Takdelah beku macam ‘katak di bawah tempurung’, betul tak?

Via Giphy

Gaya hidup sihat kena mula dari motivasi dan kemampuan diri

Kami dah senaraikan lima perubahan yang boleh korang renungi dan cuba amalkan seharian. Ingat ye… bila nak buat perubahan gaya hidup ni, mestilah kena tengok kemampuan diri dulu. Ada orang berkemampuan dari segi masa dan kewangan nak ke gim, manakala ada pula boleh nak beli mesin bersenam kat rumah. Gaya hidup ni terpulang pada macam mana korang nak jalani hari-hari korang secara sihat dan lebih baik.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top