Sudah hampir sebulan isu koronavirus ni menguji dunia, secara jujur – banyak benda kami belajar apabila melihat krisis kesihatan penyakit berjangkit ni. Dari krisis ni kita tahu uruskan penyakit berjangkit bukan ikut kepala kita je, tapi ada banyak pihak dan prosedur yang terlibat. Setakat ni, Malaysia berjaya menguruskan penyakit ni dengan baik.
Malaysia catatkan kes rakyat Malaysia pertama yang positif koronavirus…
Seorang lelaki berusia 41 tahun jadi rakyat Malaysia pertama positif koronavirus disahkan semalam. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kata, selain lelaki warga Selangor tu, ada satu lagi kes terbaru positif adalah lelaki warga emas berusia 63 tahun dari Wuhan, China. Dia kata, rakyat Malaysia yang dijangkiti koronavirus itu ada sejarah perjalanan ke Singapura pada 16 hingga 23 Januari lalu.
“Mangsa menghadiri mesyuarat yang turut dihadiri beberapa delegasi antarabangsa termasuk dari China. Selepas pulang ke Malaysia, mangsa mengalami batuk dan demam. Dia kemudiannya dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 2 Februari lalu dan hasil ujian yang dilakukan telah disahkan positif koronavirus semalam. Mangsa kini dalam keadaan stabil. Kita kini sedang bekerjasama dengan pihak kesihatan negara jiran tersebut untuk mengenal pasti ‘contact tracing’,” – Dr Dzulkefly, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Bagi kes yang libatkan lelaki dari Wuhan, Dr Dzulkefly kata, warga emas tu tiba di KLIA pada 18 Januari lalu dan mula alami demam ringan pada 23 Januari lalu. Dia dapatkan rawatan sebagai pesakit luar di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Kes telah dimaklumkan kepada KKM dan dia diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan (home surveillance) untuk tempoh 14 hari.
Tapi Pada 2 Februari, demamnya masih tak sembuh dan dia dimasukkan ke HKL untuk terima rawatan lanjut. Ujian makmal positif 2019-nCoV (koronavirus) telah dilakukan, dan pesakit ni berada dalam wad isolasi dan dalam keadaan stabil.
Setakat semalam, KKM laporkan takde pertambahan kes positif koronavirus di Malaysia dalam tempoh lebih tiga minggu. Semua kes positif sebelum ni babitkan warganegara China, masing-masing tiga kes disyaki (PUI) dan lima individu dalam kalangan kontak rapat.
Rakyat Malaysia yang ‘terkurung’ di China dibawa pulang ke Malaysia
Dalam cerita yang berlainan pulak, semalam pesawat khas bawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). Pesawat AirAsia yang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) tu digerakkan oleh kerajaan Malaysia.
Coronavirus : Pesawat Air Asia dari Wuhan, China mendarat di KLIA, 5.57 pagi ini. – [Video BERNAMA]#BH #coronavirus pic.twitter.com/TX95j0t3ec
— Berita Harian (@bharianmy) February 3, 2020
Sampai-sampai je kat Malaysia, penumpang dan kru pesawat AK8264 terus dibawa ke Unit Kecemasan Udara, KLIA untuk tapisan kesihatan. Pesawat tu bawa pulang 133 individu, 107 rakyat Malaysia yang berdepan perintah berkurung di Wilayah Hubei, 12 kru pesawat, 8 petugas misi HADR dan 6 pegawai Kedutaan Malaysia dari Beijing.
Pesawat tu turut bawa 500,000 sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China dalam operasi menangani penularan koronavirus (2019-nCoV). Semua penumpang terbabit akan melalui tapisan kesihatan mengikut pihak penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe, Wuhan, sebelum dibenarkan memasuki pesawat untuk berlepas balik ke Malaysia.
Jadi korang jangan takutlah – diorang dah jalani pemeriksaan kesihatan sebelum sampai ke Malaysia. Sampai kat Malaysia, periksa sekali lagi.
Seorang kanak-kanak yang positif koronavirus berjaya sembuh di Langkawi
Seorang kanak-kanak perempuan warga China di Langkawi yang sebelum ni positif coronavirus (2019-nCoV), didapati pulih dan bebas sepenuhnya daripada jangkitan. Ia adalah kes pertama untuk individu disahkan positif koronavirus yang pulih daripada jangkitan tu kat Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kata sampel klinikal terhadap kanak-kanak berusia empat tahun tu dirawat di wad isoloasi Hospital Sultanah Maliha. Dia kini didapati negatif daripada 2019-nCoV.
Sampel klinikal diambil sebanyak dua kali berturut-turut sejak kanak-kanak itu dikesan positif koronavirus pada 29 Januari lalu, sebelum disahkan negatif. Kini kanak-kanak tu yang sihat, dan dibenarkan pulang.
“Kes ni menunjukkan bahawa jangkitan 2019-nCoV boleh dirawat dan pesakit boleh kembali sembuh sepenuhnya, sebagaimana banyak lagi kes lain yang turut dilaporkan di negara China. Tanggapan ramai bahawa penyakit ini pastinya membawa maut kepada mereka yang menghidapnya adalah tidak tepat,” – Kenyataan KKM, dipetik dari Berita Harian
Ia adalah berita yang positif, warga Malaysia dah pulang, dan ada seorang yang sembuh dari koronavirus…
Kalau ikut bacaan kami, koronavirus berisiko tinggi kalau terkena warga emas atau bayi – sebab diorang ni ada ketahanan badan yang rendah. Apabila kanak-kanak yang kami cerita tadi tu dah sembuh, ia membuktikan seseorang boleh sembuh apabila terkena koronavirus ni. Macam biasa – korang sentiasa jaga kebersihan dan cepat-cepat pergi hospital kalau demam!