Nelayan diculik oleh Abu Sayyaf, Indonesia beri teguran kepada Malaysia?

F1
Nelayan diculik oleh Abu Sayyaf, Indonesia beri teguran kepada Malaysia?

Pertahanan negara bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh oleh rakyatnya sendiri, apatah lagi bila dah ditegur oleh negara lain. Isu penculikan Abu Sayyaf ni antara isu besar yang melibatkan banyak aspek, khususnya dari segi bidang kuasa tentera kita dan persempadanan maritim. Kalau korang tak pernah dengar kumpulan Abu Sayyaf, haa… teruskan baca artikel ni.

Philippines Indonesia Kidnapping Piracy
Tentera Abu Sayyaf yang mati ditembak oleh tentera Filipina sewaktu operasi selamatkan warga Indonesia yang diculik kat Mindanao. Via Arab News

Gerakan penculik, lanun bersenjata Abu Sayyaf, sayap militan IS di Asia Tenggara…

Sebelum ni, kami dah pernah tulis pasal gerakan militan IS kat Afrika dan bagaimana mereka boleh berkembang kat sana. Kali ni kami nak kupas isu gerakan militan IS ni kat negara kita sendiri iaitu gerakan Abu Sayyaf. Kalau korang nak tau, Abu Sayyaf ni tak sama dengan gerakan bersenjata yang pernah ceroboh Tanduo, Sabah dulu. Yang tu adalah gerakan bersenjata yang dakwa mereka ni “Tentera Diraja Sulu”, dan berjuang nak ‘tawan semula Sabah’.

Tentera Sulu
Mereka mendakwa mereka adalah pasukan Tentera Diraja Sulu. Via andakjauhar

Abu Sayyaf adalah gerakan militan besar, dan kerap culik para pelancong asing sebagai cara nak dapat duit dan perhatian. Amerika Syarikat pada 2001 dah isytiharkan Abu Sayyaf ni sebagai militan yang mempunyai hubungan langsung dengan gerakan militan Al-Qaeda, lagi-lagi apabila kebanyakan pelancong Barat yang diculik akan dibunuh dan dipenggal kepalanya.

Menurut ABC News, ketua Abu Sayyaf ni adalah rakan baik kepada Osama bin Laden ketika usaha halau Soviet Union dari tanah Afghanistan dulu pada 1980-an yang bernama Abdurajak Abubakar Janjalani. Nama “Abu Sayyaf” bermaksud ‘Bapa kepada Pedang’, dan untuk gerakan yang tertubuh dalam perang, nama tu memang sesuai. Lepas berakhirnya usaha mereka kat Afghanistan, Janjalani berpindah operasi ke Pulau Basilan yang terletak di selatan Filipina sekitar 1991.

Reward Bounty Abu Sayyaf America
Wow… sampai ada ganjaran. Mana John Wick ni? Via Reuters.

Kalau nak dikira, dah berpuluh tahun lamanya gerakan Abu Sayyaf ni beroperasi. Sehingga tahun 2000, sasaran mereka banyak tertumpu kat Filipina namun lepas kematian Janjalani pada 1998, Abu Sayyaf mengembangkan negara sasaran penculikan dan aktiviti perlanunan mereka ke Malaysia pulak.

Pihak berkuasa kita dah banyak sekat gerakan-gerakan pengganas yang ada kaitan dengan Abu Sayyaf ni. Pada 2018, kita dah tangkap lapan orang yang disyaki ada kaitan dengan Abu Sayyaf. Manakala pada awal tahun 2020 pula, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman mengesahkan bahawa pihak polis yakin gerakan pengganas kat Malaysia ni memang ada hubungan dengan Abu Sayyaf.

Jika korang perhatikan, Abu Sayyaf ni boleh digambarkan sebagai gerakan bersenjata yang besar dan digeruni oleh rakyat dari tiga negara sasaran iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Perairan Peta Maritim
Via BBC Indonesia

Pada tahun lalu, seorang nelayan Malaysia bernama Jari Abdullah telah diculik dan dijadikan tebusan telah ditembak mati oleh kumpulan Abu Sayyaf, manakala pada tahun 2015, seorang pelancong tempatan bernama Bernard Then dari Sarawak yang sedang makan angin di Sabah telah diculik dan dipenggal kepalanya oleh Abu Sayyaf. Lebih menyayat hati, kepalanya ditemui di tepi jalan oleh seorang krew pembersih jalan dalam sebuah bungkusan kain dengan tulisan ‘Bernard Then Ted Fen’. Dia adalah mangsa pertama dari Malaysia yang dipenggal kepalanya oleh gerakan militan Abu Sayyaf.

Bernard Then Muka Depan The Star
Satu lagi kejadian hitam dalam ingatan rakyat Malaysia. Via hype.my

Pertahanan kita ditegur sebagai ‘lemah’ oleh Indonesia, Mat Sabu bertemu Prabowo…

Awal tahun ni, lapan orang nelayan Indonesia yang bekerja di atas kapal Malaysia diculik ketika sedang menangkap ikan di perairan negara. Tiga daripadanya dilepaskan, manakala lima lagi dibawa ke wilayah Sulu. Susulan dari kes tersebut, ketiga-tiga negara bekerjasama untuk menyelamatkan tebusan-tebusan tersebut. Menurut laporan dari BBC Indonesia, para tebusan tersebut dilepaskan seorang demi seorang hasil dari langkah diplomasi pemimpin Indonesia dan Filipina kepada Abu Sayyaf.

Demonstrasi Rakyat Indonesia Depan Kedutaan Filipina
Demonstrasi rakyat Indonesia depan Kedutaan Filipina pada 2016. Via BBC Indonesia

Peristiwa tersebut membuatkan Indonesia menegur negara kita agar menggandakan usaha pengawalan keselamatan perairan, khususnya untuk para pemilik kapal-kapal ikan yang menggunakan krew nelayan dari Indonesia. Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi kata:

“Kami mohon pihak berkuasa di sana meningkatkan kawalan keselamatan di perairan Malaysia agar penculikan tidak berlaku lagi…Jika tidak, penculikan akan terus berlaku dan ini tidak boleh dibiarkan kerana sekiranya berlaku penculikan, mereka ini (para pemilik kapal) tidak mahu bertanggungjawab,” -Seperti yang dilaporkan oleh Benar News.org, pada 23 Januari 2020

Sanyo Digital Camera
Via Wikimedia Commons

Pengarah Perlindungan Warga Negara Indonesia (WNI) Kementerian Luar, Joedha Nugraha pulak meminta agar Malaysia terus mempertingkatkan rondaan pada sebelah malam serta mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar perintah tersebut.

“Kejadian terakhir berlaku pada kira-kira pukul 8 malam waktu tempatan dan pada masa itu adalah waktu perintah berkurung… Banyak pemilik kapal yang meminta untuk menangkap ikan di sana atau kapten kapalnya nekad untuk ke kawasan itu kerana terdapat banyak ikan walaupun dilarang”

Esscom Esszone
Esscom tetap bersedia mantapkan lagi kawalan. Via Mynewshub

BBC turut memetik pandangan dari Mufti Makarim, seorang penganalisis Institute for Defense Security and Peace Studies (IDSPS), yang mengatakan bahawa penguatkuasaan dan kawalan keselamatan maritim Malaysia masih boleh dianggap lemah. Teguran ni sebenarnya suatu yang harus kita terima dan bersedia memperbaikinya agar ancaman Abu Sayyaf ni dapat dineutralkan.

Pada 24 Januari lalu, Mohammad Sabu selaku Menteri Pertahanan Malaysia membuat kunjungan balas ke pejabat H. Prabowo Subianto dan mengambil kesempatan tersebut untuk membincangkan soal kerjasama pertahanan serantau termasuklah pasal ancaman Abu Sayyaf awal bulan itu. Perjumpaan tu turut kukuhkan lagi keyakinan kedua-dua negara dalam kerjasama memantapkan lagi pertahanan angkatan tentera darat menerusi latihan ketenteraan dalam Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) bersama Filipina.

Esscom akan teruskan kawalan keselamatan, kerjasama dengan negara jiran…

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah ditubuhkan pada 2013, rentetan dari peristiwa berdarah Tanduo di Sabah. Hasilnya, kawasan Pantai Timur Sabah dikategorikan sebagai ESSZONE, iaitu zon kawalan di bawah ESSCOM. Kalau korang selalu baca berita, korang boleh perhatikan bahawa selalunya Esscom keluar atau lanjutkan perintah berkurung kat Esszone ni.

Esszone Bernama Ogos
Salah satu contoh lanjutan perintah berkurung pada 2018. Via Utusan Borneo

Tu sebenarnya perintah berkurung untuk para nelayan dan juragan, bukanlah nak sekat pergerakan rakyat di sana macam orang China sekat pergerakan rakyat kat Wuhan lepas tersebarnya virus Wuhan tu. Ramai orang kat luar Sabah rasa takut nak melancong kat Sabah khususnya di bahagian Esszone kerana takut diculik. Esscom sebenarnya sentiasa peka dan berusaha sedaya upaya mengawal perairan tersebut, jadi korang tak perlulah risau.

Berkaitan dengan kejadian penculikan lima nelayan Indonesia tu, Esscom pun dah sahkan kejadian penculikan tersebut, dan pemantauan sentiasa dijalankan untuk memastikan keselamatan maritim kita sentiasa terjaga dari kegiatan penjenayah rentas sempadan. Walaupun teguran Indonesia tu kita terima, Angkatan Tentera Malaysia pun ada komen tersendiri:

“Adalah ditegaskan bahawa kesemua usaha-usaha kesepakatan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina untuk memperkukuhkan keselamatan kawasan maritim secara bersepadu di perairan Laut Sulu yang bermula sejak tahun 2016 telah dan sedang dilaksana oleh ATM- seperti yang dipetik dari Benarnews.org

Angkatan Tentera Malaysia
Angkatan Tentera Malaysia. Via Malaysiakini

Isu ancaman Abu Sayyaf ni kena ditangani oleh ketiga-tiga negara, khususnya Filipina kerana dikhuatiri kubu kuat Abu Sayyaf terletak di kawasan pulau-pulau kat selatan Filipina. Tambah lagi, ikut kisah mangsa culik Abu Sayyaf bernama Samsul Saguni, mereka ditahan oleh Abu Sayyaf dan dibawa ke kawasan hutan di Filipina. Setakat ni, H. Prabowo turut berkunjung ke Filipina untuk perbincangan lanjut mengenai kejadian tersebut.

Dari segi keselamatan, bajet untuk Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan dinaikkan dalam Belanjawan 2020. Menurut Sinar Harian:

“…peruntukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dinaikkan kepada RM16.9 bilion di bawah belanjawan 2020 berbanding RM15.6 bilion pada belanjawan terdahulu manakala buat Kementerian Pertahanan peruntukan RM15.6 bilion disediakan, berbanding RM13.9 bilion pada belanjawan sebelumnya…” – dipetik dalam Sinar Harian, pada 12 Oktober 2019

Airtimes Pertahanan
Via Airtimes

Kami harap lepas ni, kedua-dua Kementerian boleh memperbaiki strategi pertahanan yang terbaik untuk mengawal keselamatan negara dari luar dan dalam. Kami dah tulis pasal Pas Sementara Sabah (PSS) sebagai salah satu usaha Kementerian Dalam Negeri nak daftarkan pemegang dokumen rasmi kerajaan di Sabah namun dah dibatalkan awal bulan Januari lalu. Harapan kami ni besar jugak, lagi-lagi lepas lantikan Jeneral Affendi Buang sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baharu.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top