Kenapa Sabahan risau tentang Pas Sementara Sabah? Kami cuba rungkai…

Project Ic

Baru-baru ni kerajaan nak perkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS), tapi benda ni dapat tentangan kuat dari beberapa pihak. Mereka risau kalau-kalau ni adalah satu cara baharu kerajaan nak masukkan lebih ramai orang asing kat Sabah, sekali gus nak jadikan deposit undi sama macam apa yang kerajaan negeri dahulu buat.

Jadi kami terpanggil nak kupas isu ni sebab bagi orang Sabah, hal ni memang penting kerana melibatkan status kewarganegaraan dan hak Bumiputera di Sabah. Sama penting jugak dengan isu orang jual beli kad pengenalan kepada orang luar.

Via Giphy

Projek IC diakui mungkin wujud, beri kad pengenalan untuk tambah pengundi…

Dah lama sebenarnya isu Projek IC ni disuarakan oleh rakyat Sabah, dan banyak pula yang menyalahkan pentadbiran zaman pertama Mahathir dulu kerana dilihat ‘membuka’ Sabah kepada orang asing. Namun begitu, isu pemberian kad pengenalan yang berlaku di negeri tersebut tak semudah yang disangka.

Project Ic
Via FMT

Menurut kajian Wan Shawaluddin dan Md Shaffie (2008), pemberian kad pengenalan ni dilihat punyai kaitan rapat dengan lanskap politik negeri dan demografi pengundi ketika itu. Pada 1960-an, Tun Mustapha menyedari bahawa untuk kuatkan sokongan terhadap partinya iaitu United Sabah National Organisation (USNO), dia perlu benarkan ramai pelarian dari Selatan Filipina untuk memasuki Sabah.

Ye, kat Sabah ni banyak lagi parti-parti kecil selain dari parti-parti politik nasional seperti UMNO, PKR dan DAP. Prof Emeritus Sabihah Osman, seorang pakar sejarah Borneo melihat bahawa ketika tu, USNO merupakan lawan kepada UNKO (Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu). USNO sokong gagasan Malaysia manakala UNKO masih skeptikal dengan gagasan tersebut kerana khuatir akan membawa “Melayu Malaya” menjadi lebih berkuasa ke atas bumiputera Sabah.

Reaksi Sabah Unko Usno
UNKO dan USNO akhirnya bersatu cerita ke arah Perjanjian Malaysia. -Via SlidePlayer

Akhirnya kuasa politik USNO jadi lebih kukuh hasil dari kebanjiran lebih ramai pendatang tanpa izin yang beragama Islam (dari selatan Filipina) dan rentetan tu, kemasukan Bugis dari Sulawesi turut ‘mencanak’ lepas kekalahan USNO di tangan BERJAYA (Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah) pada 1980-an. Lebih mengejutkan, kajian Wan Shawaluddin dan Md. Shaffie buktikan bahawa pendatang asing ni diberi dokumen rasmi untuk membenarkan mereka mengundi.

“…Misalnya, apabila pihak berkuasa merobohkan koloni pendatang di Sabah pada tahun 2002, ramai pendatang telah merungut malah mengugut untuk tidak mengundi BN lagi kerana langsung tidak melakukan sesuatu sewaktu perobohan koloni dilakukan…” – Wan Shawaluddin & Md Shaffie, PTI dan PRU ke-12, halaman 134

Via Giphy

Ditambah lagi dengan khabar angin seolah-olah wujudnya suatu projek besar (Projek IC) nak tambah lebih ramai pengundi dalam kalangan pendatang asing ni, hanya buatkan isu ni jadi lebih sensitif di hati masyarakat tempatan. Susulan dari tekanan masyarakat sendiri, bekas perdana menteri Najib Razak tubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk siasat kewujudannya.

Kalau korang nak baca penuh laporan tu pun boleh jugak, tapi apa yang kami dapat lihat adalah kemasukan pendatang asing ni turut dimudahkan oleh orang perseorangan dan gerakan sindiket yang jual kad pengenalan. Namun demikian, imej Sabah sebagai ‘syurga’ kepada pendatang asing dari negara jiran nampaknya dah lama, lagi-lagi dengan pemberian dokumen rasmi sebagai tukaran persetujuan nak mengundi.

Perkenal Pas Sementara Sabah (PSS) sebagai langkah pertama…

Selain dari program Back For Good, Kementerian Dalam Negeri (KDN) cadangkan pemberian dokumen baharu untuk gantikan tiga dokumen untuk warga asing di Sabah iaitu Kad Burung-Burung, Sijil Banci dan IM13. Selain dari IM13, nampaknya tak ramai jugak tau pasal Kad Burung-Burung dan Sijil Banci tu.

Imm13 Sabah
IM13 diberikan kepada mereka yang lari dari pergolakan Selatan Filipina. Via bakalpeguam.blogspot.com

Datuk Wilfred Tangau yang merangkap Timbalan Ketua Menteri pun tak tau pasal Kad Burung-burung dan Sijil Banci ni. Katanya;

“Kami ingin dengar penjelasan Jabatan Imigresen tentang status dan kesahihan dokumen Kad Burung-Burung dan Sijil Banci, yang telah dikeluarkan oleh kerajaan terdahulu. Ini adalah soalan yang ramai inginkan jawapannya,”- Datuk Wilfred Tangau, seperti yang dilaporkan oleh Daily Express pada 13 September 2019.

Infografik Pss
Via Sabah Post

PSS ni turut dilengkapi dengan sistem biometrik, gambar dan cap jari, bukannya sekadar sistem pendaftaran nama yang alah kadar je. Lagipun dah banyak kes penjualan ketiga-tiga dokumen ni dari individu tak bertanggungjawab dan sindiket haram. Pada tahun 2012, ‘Operasi Tanduk’ telah dilaksanakan dan telah berjaya bongkar penjualan Sijil Banci yang sebenarnya dah diberhentikan pengeluaran sejak 1996.

Sijil Banci Jual Sindiket
Contoh sijil banci, tak canggih seperti PSS nanti. -Via Borneo Post

“Ia mengakibatkan nampak seolah-olah terlalu ramai pemegang dokumen ini di negeri ini sedangkan di dalam rekod Data Jabatan Imigresen, Majlis Kelamatan Negara dan Jabatan Hal-Ehwal Negeri Sabah setelah digabung, terdapat 136,055 orang yang aktif memiliki tiga dokumen itu”- Datuk Mohd Azis Jamman, Timbalan Menteri Dalam Negeri, seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada 17 Disember 2019

Orang bantah PSS sebab takut pendatang asing jadi orang Sabah?

Perlaksanaan PSS ni pun timbulkan pelbagai reaksi dari segenap masyarakat. Ada yang setuju dengan cadangan perlaksanaan PSS ni sebab bila satu dokumen je, ia memudahkan kita nak kawal para pendatang asing terutamanya yang curi-curi masuk dari sempadan Sabah.

Terdapat beberapa pihak rasa cadangan ni perlu diperhalusi terlebih dahulu sebab sebahagian masyarakat masih kabur sejauh mana kedudukan pemegang PSS ni. Menurut kenyataan dari Armada Bersatu Sabah;

“ARMADA BERSATU Sabah melihat respon negatif ini berpunca daripada pengumuman tersebut dibuat tanpa wujudnya sesi libat urus (engagement) yang menyeluruh di kalangan rakyat, dan tanpa sebaran maklumat yang mencukupi… Dalam isu imigresen dan pendaftaran yang amat sensitif bagi warga Sabah, seharusnya pelbagai siri sesi libat urus dilaksanakan di kalangan rakyat sebelum sebarang keputusan dibuat. ”- Encik Mohd Isquzawan Israq Arsit, seperti yang dilaporkan oleh BorneoNews.Net pada 14 November 2019

Via Giphy

Andaian rakyat harus diperjelas, jangan biarkan rakyat bimbang…

Oleh sebab cadangan PSS dikatakan akan dilaksanakan pada Jun 2020, kami rasa masih banyak ruang untuk bina kefahaman masyarakat mengenai hal ni. Seperti yang kami dah kupas bagaimana ia boleh jadi isu sensitif bagi masyarakat Sabah, idea PSS ni dah baik sebenarnya. Namun begitu, persepsi rakyat ni buatkan ramai andaikan ni hanya memberi kepentingan kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat semata-mata.

Dalam pandangan kami pula, perlaksanaan PSS ni boleh disempurnakan lagi agar dapat menyelesaikan isu berkaitan kewarganegaraan lain seperti masalah anak-anak tanpa negara (stateless) dan untuk etnik Bajau Laut yang masih amalkan budaya tinggal di lepa (perahu). Bukan semua orang yang takde dokumen tu adalah orang asing tanpa izin…

Warga tanpa negara (stateless) ni suatu kelompok masyarakat terpinggir yang dinafikan haknya oleh kerajaan negeri dan Persekutuan. Sebahagian besar dari mereka pun tak diterima oleh negara lain kerana mereka ni pun takde dokumen kewarganegaraan sah kat negara yang mereka dihantar. Seperti panggilan yang diberikan pada mereka; tanpa negara – takde negara nakkan mereka.

Belum campur lagi dengan mereka yang tertipu oleh sindiket dek janji-janji manis nak tolong dapatkan kerja di Sabah. Kami dah tulis pasal isu ni dimana wujud juga kelompok mereka yang ditinggalkan sehelai sepinggang oleh sindiket yang tamak hingga takde duit dan dokumen sah nak pulang semula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *