Ada kajian kata Mahathir dah tak popular dalam kalangan rakyat, PH digesa cari strategi baru

F1

Sejak minggu lepas, kita dihiburkan dengan cerita Pakatan Harapan Plus yang nak letakkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri diorang. Kami pun sebenarnya tak tahu kalau diorang ni dah ada cukup ahli Parlimen untuk bentuk kerajaan atau tak. Dia macam ni lah, ada team boleh tu belum menang lagi, tapi dah siap bergaduh siapa yang nak angkat piala kemenangan. Apa-apa pun, cadangan tu ditolak oleh PKR, sebab diorang kata – Anwar Ibrahim adalah calon perdana menteri yang dah dipersetujui melalui mesyuarat Pakatan Harapan.

Keadaan ni sedikit sebanyak sebabkan “ribut” berlaku dalam kalangan penyokong PH. Ada yang setuju nak beri peluang kepada Mahathir untuk jadi PM sekali lagi, dan ada pulak yang nak Anwar diberi peluang – sebab Mahathir dah pun jadi PM sebanyak dua kali.

Oleh sebab PKR tak nak terima Mahathir sebagai calom PM, dia sedia nak tamatkan kerjasama dengan PKR

Semalam Mahathir kata dia dah sedia untuk tamatkan kerjasamanya dengan PKR kalau diorang masih tak setuju untuk calonkah dia sebagai perdana menteri. Dalam wawancara eksklusif dengan Sin Chew Daily, Mahathir kata dia akan berhenti bekerjasama dengan Anwar kalau diorang masih tak nak namanya dicalonkan sebagai perdana menteri. Katanya Mahathir masih nak cari jalan lain untuk jadi perdana menteri untuk kali ketiga.

Pening
Mahathir. Via MalayMail

Mahathir kata dia akan terus bekerjasama dengan DAP dan Amanah sebab kedua-dua parti politik ni menyokongnya untuk jadi perdana menteri sekali lagi.

“Saya tidak akan bekerjasama dengannya (Anwar) lagi kerana dia tidak mahu bekerjasama dengan saya. Saya perlu mencari cara lain untuk menjadi perdana menteri. Mungkin ada beberapa cara lain,” – Mahathir, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Malaysiakini lepas tu ada hubungi pembantu Mahathir untuk dapatkan penjelasan sebab dari ayat ni, nampaknya Mahathir macam dah merajuk dengan PKR. Pembantu Mahathir tu kata ia merupakan pilihan terakhir sekiranya Anwar dan PKR terus berkeras.

“Saya fikir saya akan berhenti (sekiranya tidak dicalonkan sebagai perdana menteri). Mereka telah lama berada dalam pembangkang. Sebelum saya bergabung dengan mereka, pada tahun 2008 dan 2013, mereka berusaha untuk menang tetapi mereka kalah. Mereka tidak boleh menang,” – Mahathir, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Ada kajian yang kata Mahathir tak lagi popular dalam kalangan rakyat, PH perlu cari strategi baru

Semalam ada kajian yang kata pencalonan Mahathir Mohamad sebagai PM kalau PH dapat ambil alih kerajaan, hanyalah sekadar satu strategi jangka pendek untuk gabungan politik tu. Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar kata, Pakatan Harapan harus ambik kira perihal populariti Mahathir semakin merosot. Sekiranya PH masih berpegang kepada formula yang sama, diorang mungkin akan menghadapi masalah sekiranya berlaku pilihan raya umum dalam masa terdekat ini.

“Persoalan untuk menghadapi PRU15, saya rasa, mempunyai angkubah yang berbeza, yang mana mungkin pada pengamatan kami di lapangan dalam tempoh sekarang ini ialah kemerosotan populariti Tun Dr Mahathir. Pada PRU yang lepas, kita mengakui dengan kehadiran beliau dan juga apa yang dikatakan kombinasi Pakatan Harapan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, berjaya mewujudkan lonjakan pengundi Melayu kepada gabungan itu.

Tetapi dalam menghadapi PRU15, bagi saya Pakatan Harapan Plus perlu mencari formula yang lain dan naratif yang lain untuk mereka menghadapi apa yang dikatakan mengukuhkan sokongan mereka di kawasan luar bandar dan bercampur, tetapi mengambil angka yang signifikan untuk mengekalkan kuasa,” – Mohamad Hisomuddin, seperti yang dilaporkan AWANI

Oleh sebab tu Pakatan Harapan perlu rangka formula yang baru kalau nak cabar populariti Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, hasil dari cara diorang kawal media dan menangani wabak COVID-19. Secara umumnya, Hisomuddin tengok Pakatan Harapan ni tengah berada dalam mod bertahan atau defensif, dan upperhand berada kat PN.

Malaysia's Prime Minister Designate And Former Interior Minister Muhyiddin Yassin Waves To Reporters Before His Inauguration As The 8th Prime Minister, Outside His Residence In Kuala Lumpur
Perikatan Nasional. Via MalayMail

Hisomuddin turut berpandangan, menamakan Mahathir sebagai Menteri Mentor dalam kabinet Pakatan Harapan adalah pilihan yang baik.

“Idea ini sebenarnya proses transisi kuasa daripada janji Pakatan Harapan dahulu yang mana selepas Tun Dr Mahathir akan menyerahkan kepada Datuk Sri Anwar. Jadi dalam proses mentor itu, yang dikatakan untuk memberikan panduan, dan bagi saya bimbingan yang diperlukan berdasarkan pengalaman yang dimiliki Dr Mahathir untuk menghadapi kerajaan menghadapi situasi pasca pandemik, bagi saya itu adalah kekangan yang cukup hebat,” – Mohamad Hisomuddin, seperti yang dilaporkan AWANI

Jika PRU15 berlaku, mungkinkah Pakatan Harapan akan diberikan mandat oleh rakyat?

Melihat situasi yang berlaku pada hari ini – PH konsisten kata nak dapatkan semula mandat rakyat yang dicuri daripada mereka. Seperti yang kami pernah kata dalam artikel-artikel kami sebelum ni, kami memang tak suka kerajaan bertukar tanpa melalui pilihan raya, ia seolah-olah mempermainkan undi rakyat. Cuma, melihat dari isu dalaman yang berlaku dalam PH, dan beberapa manifesto mereka yang sesetengahnya memang jelas-jelas dah diabaikan, kami agak pesimis diorang akan dapat jadi kerajaan sekali lagi.

Melainkan diorang datang dengan naratif baru dan tunjukkan yang mereka jauh lebih baik dari kerajaan yang ada hari ini, susah nak kata diorang akan diberikan semula mandat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *