Selepas Pilihan Raya Umum 14 (PRU14), macam-macam drama politik yang berlaku di Malaysia. Dari pergaduhan dalaman parti, acara lompat-melompat parti dan pejabat SPRM diserbu ahli politik seperti mereka sedang ada rumah terbuka. Baru-baru ni Anwar Ibrahim minta kerajaan tumpu ekonomi, bukan asyik buat drama politik je.
Kalau difikir secara logik, bagus jugalah ada pimpinan tertinggi dari Pakatan Harapan yang sedar tentang benda ni.
Orang dah bosanlah, macam tengok filem yang berulang-ulang. Rakyat nak rasa kesan ekonomi dan kos sara hidup menurun – lebih-lebih lagi mereka dah tukar kerajaan. Kalau nak tengok drama, baik bukak TV. So, hari ni kami akan jadi macai Anwar Ibrahim – sebab setakat ni, dia ja cakap gunakan akal tentang penolakan rakyat terhadap drama politik.
PAS dikatakan berbohong bila mereka kata ada konspirasi nak jatuhkan Dr Mahathir?
Ada juga khabar yang katakan – ada komplot nak jatuhkan Perdana Menteri, Dr Mahathir. Apabila benda ni ditanya kepada Anwar Ibrahim, dia menegaskan itu hanya usaha PAS untuk alihkan pandangan dari isu sogokan RM90 juta dari UMNO. Kata Anwar, ini bukan pelik kerana PAS menghalalkan bohong, ada artikel yang kami tulis berkaitan benda ni.
Anwar kemudian menulis tweet yang mana mengatakan apabila dia jumpa rakyat di bawah, isu yang jadi tumpuan adalah kos sara hidup dan governans, bukan permainan politik. Rakyat di bawah, katanya, mahu orang politik yang membaiki ekonomi dan keadaan negara, bukan menghabiskan masa bermain politik.
Whenever I talk to people on the ground, the issues are cost of living & governance. Few care abt political intrigue when they have to tighten their belts.
The man (& woman) on street would much prefer that politicians focus on improving the economy & the state of the nation. https://t.co/dItTvGm9ma
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) February 19, 2019
Rasanya majoriti rakyat setuju dengan sentimen ini. Isu lompat parti, sailang menyailang nak jadi PM – itu sangat jauh dari rakyat yang membuat perubahan pada 9 Mei 2018 nak tengok Malaysia yang lebih baik.
Anwar sebenarnya boleh je ambil jalan mudah sebelum ni, bukan tukar kerajaan. Dia kena penjara 1999-2004, bebas pun boleh jadi pensyarah di luar negara atau dengan badan-badan dunia. Lagipun selepas 2004 dia bersyarah di universiti terkenal Oxford dan Georgetown. Tapi dia main peranan dulu hingga Pakatan Rakyat menang besar 2008 dan 2013.
Sekali lagi kena masuk jel. Kali ni, nak tukar kerajaan dia sanggup kerjasama dengan musuh lama Dr Mahathir. Akhirnya sejarah tercipta.
Ramai menteri masih mentah, dan tak nak belajar
Tapi nampaknya ada menteri-menteri tak belajar cerita panjang nak tukar kerajaan ni. Tipu rakyat isu ijazah, nak kukuhkan kuasa macam main chess. Rakyat boleh tengok Game of Thrones lah. Dan semua orang politik kena ingat, rakyat Malaysia sekarang dah tak takut nak tukar kerajaan! Jangan ingat korang boleh hidup dengan lompat-melompat lah.
Orang politik je duk pikir politik 25 jam sehari. Orang biasa sikit-sikit je. Nak cari duit untuk family, nak pastikan sekolah anak-anak ok, kalau sakit boleh dapat rawatan baik di hospital. Akhirnya nak tengok masa depan anak-anak lagi elok dari hidup mereka. Itu memang lumrah. Balik rumah tengok Netflix dan baca OrangKata.my je.
Sebab tu lah isu ekonomi ni yang paling bagi kesan kat rakyat. Sebab tu, selain 1MDB, isu Najib dulu ialah GST. Kerajaan PH dah mansuh GST tapi ekonomi masih mencabar. Buat pertama kali Malaysia ada Menteri Ekonomi, dengan Azmin Ali, tapi dia pun tak banyak cakap – lebih banyak atur cara nak sailang Anwar. Alih-alih, PM buat pulak Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
Sebelum ni Anwar pernah sindir dah, kata kalaulah orang tu fokus untuk tumbuhkan ekonomi, bukan main politik.
Sebelum dikata jadi macai Anwar, PKR pun ada drama jugak
Kami perasan ja, Azmin Ali lain sikit perangai dia sejak akhir-akhir ni. Lepas pemilihan PKR yang kecoh tu dah settle, Anwar jadi Presiden dan Azmin kekal Timbalan Presiden lepas kalahkan Rafizi, masih tak habis-habis juga drama dengan Anwar.
Kami tengok Menteri lain pun ada yang bermasalah dan perlu tingkatkan prestasi, tapi isu yang paling dekat dengan rakyat sekarang ni ialah ekonomi sebab macam kami cakap tadi, harga barang tak turun, gaji mendatar, hala tuju pun tak jelas.
Azmin ni Menteri penting kot, dan semua orang tau dia bercita-cita nak jadi Perdana Menteri, jadi kami harap dia mulalah membawa kesejahteraan ekonomi pada rakyat, sebab macam yang kami tulis awal-awal tadi, orang Malaysia tak ambil port pun pasal drama-drama politik ni. Buktikan boleh buat kerja dulu lepas tu rakyat boleh nilai sendiri kemampuan.
Wahai ahli politik kembalilah buat kerja, kalau nak jadi pelakon drama, tukarlah kerjaya.