Filem Musang Berjanggut, kritik sosial P. Ramlee yang tajam

Filem Musang Berjanggut, kritik sosial P. Ramlee yang tajam

“Wahai org muda, sediakan payung sebelum hujan dan siapkan perahu sebelom bah…
Payung dah ku sediakan perahu pun dah ku siapkan… hanya menunggu hujan di langit…”

Filem “Musang Berjanggut” merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Singapura pada tahun 1 Ogos 1959 oleh Runme Shaw. Filem ini diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna, dan diarahkan oleh Tan Sri P. Ramlee (Allahyarham). Naskah ini antaranya dibintangi oleh P. Ramlee sendiri sebagai Tun Nila Utama; Saadiah (Puspawangi); Ahmad Nisfu sebagai Sultan Alam Shah Bana; Habsah Buang sebagai Tuanku Permaisuri; Udo Omar sebagai Datok Bendahara dan ramai lagi pelakon lainnya.

Siapa boleh lupa babak Puspawangi membawa Tun Nila ke rumahnya?

Karya ini secara ringkasnya, mengisahkan seorang raja yang mempunyai seorang anak angkat dari kalangan rakyat jelata iaitu Tun Nila Utama. Tun Nila tidak mahu hanya sekadar menerima entah sesiapa sebagai suri hidupnya. Sebaliknya, beliau mengembara untuk mencari cinta sejatinya. Terdapat ramai wanita yang ditemuinya, namun tidak ada yang berjaya menjawab teka-teki dan helahnya, melainkan Puspawangi yang cantik, berani dan pintar.

Ini adalah kali ketiga P. Ramlee mengambil Sa’adiah berlakon dalam filem arahannya. Menariknya, babak di mana P. Ramlee dibawa oleh Sa’adiah ke rumahnya yang terletak jauh dari pantai diilhamkan oleh P. Ramlee dari salah-satu babak dari filem “Madhumati” – sebuah filem percintaan antara seorang pelukis (Dilip Kumar) dengan hantu (Vyjayantimala).

Filem ini diterbitkan di India pada 1958. Musang Berjanggut juga adalah filem kedua Momo (penyanyi terkenal ketika itu) berlakon di bawah filem arahan P. Ramlee selepas “Pendekar Bujang Lapok”. Musang Berjanggut juga merupakan filem pertama Raden Sadiro berlakon di bawah arahan P. Ramlee.

Hanya 3 buah lagu terdapat dalam filem ini iaitu “Joget Pura Cendana”; “Nenek-nenek Si Bongkok Tiga” dan “Jangan Adik Angan-Angan”. Adegan nyanyian “Nenek-nenek Si Bongkok Tiga” dilihat seakan-akan sama dengan babak yang terdapat dalam filem Shaw Brothers Hong Kong berjudul “The Kingdom and The Beauty” yang dibintangi oleh Lin Dai. Lagu “Jangan Adik Angan-Angan” telah memenangi ‘Lagu Sukaramai’ anjuran Majalah Gelanggang Singapura pada 1960. Untuk filem ini, P. Ramlee merakamkan lagu tersebut dengan Rahmah Rahmat. Namun, Datuk Sharifah Aini (Allahyarhamah) turut merakamkan satu lagi versi pada tahun 1970an dengan M. Sani.

P. Ramlee selalu mendidik masyarakat melalui karya-karyanya

Ramlee mendidik masyarakat menerusi karyanya dengan cara tersendiri. Beliau menekankan kepentingan untuk kita tidak hanya menilai seseorang itu dari luarannya. Puspa Wangi, yang datang dari luar dan cuba memperbaiki Pura Cendana, pastinya dianggap sebagai ejen asing kalau dilihat konteks hari ini. Sedangkan, pembelot serta pengkhianat sebenar boleh saja muncul dalam kalangan kita sendiri, penduduk tempatan. Puspa adalah potret wanita Melayu yang teguh mempertahankan prinsip, jati diri dan maruahnya.

Tanpa berselindung, Musang Berjanggut mencela mereka yang menunggang agama dengan mendakwa sebagai golongan yang wara’ dan alim, tetapi senyap dan buta kepada penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Contoh jelas ini dapat dilihat pada Datok Nikah Kahwin. Inilah cara P. Ramlee mengajar masyarakat untuk tidak percaya kepada mereka yang nampak ‘mulia’ hanya dari sisi luar. Penilaian hendaklah meliputi – wataknya, ilmunya, kemampuannya, ketokohannya, dan sumbangannya.

Amboi! Via FB

Rakyat dalam Musang Berjanggut juga dilihat kurang berperanan dan suara mereka tidak didengari. Justeru, P. Ramlee secara tidak langsung menekankan peranan besar yang seharusnya dimainkan oleh semua pihak bagi membentuk sebuah kerajaan dengan tatakelola yang cemerlang, yang menolak pemimpin yang bobrok dan menyalahgunakan kuasa. Kita dapat bagaimana ramai pemimpin atasan yang terlalu terpesona dengan kejelitaan Puspa Wangi (isteri Raja Muda Tun Nila Utama), dan sedaya-upaya memikat wanita tersebut.

Ramai percaya bahawa P. Ramlee melebarkan sindirannya khusus buat para politikus dan agamawan yang berlagak mulia dan pandai, bilamana memegang kuasa di tangan. Jadi, cuba perhati dan kaji di sekeliling kita, siapa sebenarnya musang berjanggut? Siapa pula tikus dan patung dalam kalangan kita? Kepada rakyat, filem ini menyeru kita untuk bersiap siaga memainkan peranan dan tanggungjawab bagi mengangkat pemimpin yang bersih, benar dan adil. Ia adalah peringatan jelas kepada para pimpinan serta bakal pemimpin – untuk mengekalkan kewibawaan dalam menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat.

Peranan rakyat amat penting untuk mengimbangi pemimpin

Rakyat perlu memberi tekanan kepada semua ahli politik agar tiada dalam kalangan mereka yang memanfaatkan tempoh memegang jawatan hanya untuk menjaga poket dan perut mereka sendiri. Rakyat perlu memberi isyarat kepada mereka bahawa sesiapa pun yang mahu memimpin agar mematuhi undang-undang, tidak melangggar tata susila, menerapkan nilai murni, menjaga adab dan berakhlak mulia. Sesiapapun yang memimpin, kita mengharapkan mereka terdiri daripada mereka yang memiliki kualiti kepimpinan yang tinggi dan berwibawa.

Perkara ini dinyatakan oleh Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1440H/2018M yang juga mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bahawa:

“Yang menjadi kendala besar pembangunan bangsa dan negara bukan masalah kewangan, tetapi kualiti kepimpinan. Masalah inilah yang diserlahkan oleh Prof Syed Hussein Al-Atas ketika membicarakan isu kendala-kendala pembangunan (obstacles todevelopment). Menurut Al-Atas, kendala terbesar proses pembangunan adalahketidakmampuan para penguasa yang disebutnya sebagai undeveloped ruling group. Mereka adalah para penguasa yang tidak memiliki kualiti yang diperlukan untuk membangun, iaitu: kewibawaan etika (ethical integrity), kemampuan berfikir (thinking capacity), dan stamina berfikir dan bekerja untuk pembangunan (stamina for development thinking and development work).”

Kepudaran idealisme dan peranan pemimpin perlu diperkasakan

Gejala kepudaran idealisme kepimpinan ini sangat berbahaya kerana membabitkan cendekiawn, ilmuwan serta pimpinan yang akhirnya merosakkan masyarakat. Kita mahukan agamawan dan pemimpin yang aktif memperjuangkan nasib rakyat bawahan dan bukan sekadar yang berbangga dengan status gelaran mereka semata-mata, dan tidak peka dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Inilah gerakan melawan pembodohan yang seharusnya diperjuangkan oleh semua pihak, dan P. Ramlee sudah mengajar kita tentang usaha pencerdasan masyarakat ini sejak 6 dekad yang lalu.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print