Azmin kata audio Zahid sokong Anwar adalah betul. Ini respons dari Anwar

f1

Politik mempunyai permainannya yang tersendiri; terjun ke politik dengan teori-teori dari buku sains politik semata-mata adalah satu perkara yang naif. Pembelajaran politik dan ideologi mampu membantu seseorang itu menjadi ahli politik yang baik, tapi jika dia hanya bergantung pada ilmu-ilmu yang didapatkan melalui buku atau kelas, kemungkinan besar orang itu tak akan lama dalam politik.

728 X 90

Melihat dua tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat pelbagai strategi politik yang dihamparkan kepada kita. Ada banyak norma baharu politik di Malaysia, sesuatu yang belum pernah ditulis dalam mana-mana sejarah negara kita. Kali ini kami akan bercakap tentang audio Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi yang tular. Walaupun ia bukanlah taktik baharu, tapi menarik juga untuk kita bincangkan isu ini.

Menurut Azmin, dia cukup yakin audio Anwar-Zahid bukan palsu

Bagi Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dia yakin rakaman audio didakwa mirip suara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah audio yang betul. Katanya, pengkhianatan tu bukan sahaja kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi juga kepada komponen parti Pakatan Harapan (PH) kerana secara sulit jalinkan rundingan dan perbincangan dengan pihak lain.

perbelanjaan
Azmin Ali. Via MalayMail

Kalau kita dengar betul-betul ayat ni, sebenarnya ini juga yang dia lakukan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan dulu. Dia melakukan rundingan dengan pihak lain, walaupun dia ketika itu sedang berada dalam PKR dan PH. Cuma, benda macam ini memang selalu berlaku; ahli politik sengaja lupa tentang hal yang dia pernah lakukan.

“Saya sebagai pegawai telah berkhidmat dengan beliau (Anwar) sekian lama dan merupakan setiausaha sulit beliau yakin itu adalah rakaman sahih yang akan dibuktikan dalam penyiasatan itu,” – Azmin, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Dia menggesa supaya siasatan segera dijalankan berhubung rakaman audio terbabit. Azmin juga mintak siasatan dilakukan untuk membolehkan Azmin dan Zahid membela diri. Dia berpandangan, keputusan siasatan tu dapat buktikan kebenaran mengenai pelbagai spekulasi yang timbul.

“Saya kira ia (siasatan dijalankan) memberikan ruang kepada mana-mana pihak untuk membela diri mereka. Kita berharap kedua-dua individu ini jujur sekurang-kurangnya kepada ahli parti masing-masing,”- Azmin, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Anwar kata Azmin kalau bab-bab video dan audio ni memang pakar

Ketika Anwar ditanya tentang pandangannya berkaitan respons Azmin, dia menjawab ringkas di Majlis Pengumuman Kemasukan Tokoh Agamawan ke dalam PKR.

perbelanjaan
Anwar. Via Yahoo News

“Takpelah, itu pandangan dia. Berkenaan dengan video dan audio ini, dia memang pandai. Kenyataan saya ringkas tetapi maknanya mendalam,” – Anwar, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Hadir sama dalam majlis ini adalah Pengerusi PKR Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. Pada majlis yang sama, seramai 15 individu yang ada latar belakang agama diumumkan menyertai PKR; antaranya bekas Ketua Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah, Datuk Baharum Hasbullah.

Selain tu, tiga bekas ahli Pas iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Razali Hassan; bekas Ketua Pemuda Pas Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad dan bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Seremban, Mohd Rais Mustafa Kamal. Anwar percaya penyertaan kesemua individu berkenaan yang mempunyai pengalaman dan kebolehan dalam pelbagai disiplin dapat memberikan suntikan serta semangat baharu kepada PKR.

“Saya optimis dan percaya ia juga bakal mengisi dan menambah baik semangat memungkinkan islah serta membuktikan Keadilan (PKR) sebagai wadah untuk semua iaitu golongan profesional, seniman, agamawan dan lain-lain. Saya percaya penyertaan mereka ini bukan yang terakhir dan akan ada lagi menyertai PKR selepas ini,” – Anwar, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Ketua Polis Negara cadangkan Anwar dan Zahid buat laporan polis berhubung video itu

Bagi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador nasihatkan Anwar dan Zahid supaya buat laporan polis berhubung penyebaran audio perbualan telefon yang tular baru-baru ini. Abdul Hamid kata, kedua-dua pemimpin tu masih belum buat laporan polis berhubung dakwaan audio berkenaan yang didakwa fitnah. Katanya, polis akan lakukan siasatan sekiranya perkara tu menggugat keamanan orang ramai.

perbelanjaan
Abdul Hamid. Via MalayMail

“Laporan belum dibuat, jadi kita tunggu. Kalau betul beliau (Ahmad Zahid dan Anwar) difitnah, buatlah laporan demi kebaikan. Kita juga akan lihat daripada tempoh reaksi orang ramai terhadap audio tersebut. Sekiranya sampai satu tahap ia menimbulkan kebimbangan dan kegusaran semua, kita akan jalankan siasatan,” – Abdul Hamid, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Abdul Hamid berkata, sejak audio itu tular pada Rabu lalu, polis telah menerima tujuh laporan berhubung perkara tersebut. Dia kata, siasatan lanjut audio itu termasuk menganalisa suara salah seorang daripada mereka hanya akan dibuat selepas kertas siasatan dibuka. Cuma, kami pun tak pasti berapa lama masa siasatan akan diambil, memandangkan kita pernah ada kes-kes rakaman audio dan video sebelum ini; yang belum selesai sehingga kini.

Adakah korang rasa audio ni memang datang dari Zahid dan Anwar?

Sudah tentu setiap orang akan ada pandangan yang tersendiri berhubung dengan isu-isu politik macam ni. Kami pun ada beberapa kali dengar audio ini; dan kami rasa lebih elok kami biarkan polis yang lakukan siasatan. Cuma, agak pelik jugak Zahid memuji Anwar secara berlebihan dalam audio tu; ia buatkan kami rasa ragu. Itu pandangan kami, korang rasa macam mana? Adakah audio ini memang benar-benar datang dari kedua-dua tokoh politik ini?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *