Badan penyelidikan ini kata Warisan akan menang, ini ringkasan analisa mereka

F1
Badan penyelidikan ini kata Warisan akan menang, ini ringkasan analisa mereka

Salah satu entiti yang penting dalam pilihan raya adalah badan-badan penyelidikan yang melakukan ramalan awal dengan cara melakukan kajian dengan turun sendiri ke lapangan untuk bertanya para pengundi. Walaupun ramalan dan pemerhatian yang dilakukan mereka tak semestinya tepat, tapi ia sedikit sebanyak ia akan memberi gambaran tentang apa yang berlaku dalam kalangan pengundi.

Ilham Centre merupakan di antara badan penyelidikan yang sering melakukan kajian di lapangan. Seperti badan-badan penyelidikan yang lain, ada masanya peluru diorang kena, dan pada masa-masa tertentu, tembakan diorang tersasar. Untuk Pilihan Raya Negeri Sabah 2020 ni, diorang dah mula “menembak”. Mari kami cerita tentang ramalan dari Ilham Centre ni.

Ilham Centre kata Warisan tengah berada di kerusi menang, cuma ruang masih terbuka

Semalam Ilham Centre kata Parti Warisan Sabah (Warisan) Plus ketika ini mendahului Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kerana mempunyai 23 kerusi selamat boleh dimenangi. Sementara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang turut dianggotai parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pula didakwa mempunyai 19 kerusi selamat.

https://www.youtube.com/watch?v=paT6D5ONj6A

Selebihnya iaitu sebanyak 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jadi rebutan semua pihak termasuk calon Bebas dan parti-parti lain.

“Kerusi dalam kategori 50-50 ini merupakan penentu kepada mana-mana pihak untuk mencukupkan jumlah majoriti mudah sebanyak 37 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu. Daripada 31 kerusi kategori 50-50 ini, terdapat 14 bilangan kerusi yang cenderung kepada Warisan Plus berbanding lima kerusi yang cenderung kepada GRS manakala 12 kerusi yang betul-betul sengit sehingga tidak dapat ditelah,” – Laporan Ilham Centre, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Selain tu, Ilham kata, PRN masih lagi jadi medan terbuka bagi GRS dan Warisan Plus sehinggalah peti pengundian tamat esok. Ilham Centre yang lakukan tinjauan melalui pasukan penyelidikannya yang bermula seminggu sebelum hari penamaan calon iaitu 8 September sehingga 24 September lalu turut menyifatkan PRN ini paling sukar dan mencabar untuk membuat bacaan dan prediksi.

“Sengitnya pertembungan ini umpama 73 pilihan raya kecil yang berlangsung serentak di seluruh Sabah kerana perbezaan pola pengundian di setiap DUN. Sukar untuk memilih sesuatu angkubah dan konseptual untuk digeneralisasikan bagi keseluruhan DUN di sini. Setiap DUN mempunyai angkubah dan konseptual yang tersendiri,” – Laporan Ilham Centre, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Shafie Apdal mohon maaf sebab rakyat Sabah kena mengundi, tapi ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan

Pergolakan politik yang berlaku di Sabah yang babitkan perebutan kuasa bagi ambil alih kerajaan yang dipimpin oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terpaksa dibubarkan. Shafie Apdal kata, melalui pembubaran DUN tu, ia membolehkan sistem demokrasi dapat dilaksanakan dan rakyat boleh tentukan siapa kerajaan yang memiliki kuasa selepas pilihan raya.

“Saya sedar dan tahu pada hari ini kita berhadapan dengan pilihan raya ke-16 di Sabah dan dalam kesempatan ini saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Sabah kerana berdepan pilihan raya dalam keadaan Covid-19. Keadaan ini juga memungkinkan kita berkempen bahkan juga mendampingi pengundi yang ada di setiap kawasan DUN dalam keadaan Covid-19 dan kemungkinan kita terjangkit dengan penyakit ini,” – Shafie Apdal, melalui Facebooknya

Dia kata pilihan raya yang diadakan dilihat cukup penting untuk pastikan rakyat ada kerajaan dan wakil rakyat yang bermaruah, martabat, berintegriti bagi berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Dia jugak mintak rakyat Sabah tunaikan tanggungjawab selaku pemilih yang ada hak dalam perlembagaan Malaysia bagi membolehkan kita memilih siapa perlu menjadi wakil rakyat dan kerajaan di Sabah.

Selamat mengundi rakyat Sabah! Pastikan keselamatan menjadi keutamaan

Kakitangan awam yang mengundi di Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak, yang disytiharkan zon merah akibat pandemik COVID-19, kena jalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas mengundi.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai kata semua Ketua Organisasi perlu keluarkan arahan tu kepada kakitangan di bawah jagaan diorang.

“Dalam masa sama, Ketua Organisasi hendaklah juga mengeluarkan surat arahan bekerja dari rumah kepada kakitangan berkenaan mulai 27 Sept ini,” – Rosmadi, seperti yang dilaporkan BERNAMA

Dia kata kegagalan mematuhi SOP dan peraturan serta arahan yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan tatatertib menurut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah 2008. Esok seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa layak mengundi melibatkan 2,540 saluran mengundi di 741 pusat mengundi.

Capture
Selamat mengundi! Via Berita Harian

Kami di ORANGKATA ucapkan selamat mengundi kepada semua rakyat Sabah yang bakal mengundi hari ini! Pastikan korang patuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya! Selamat mengundi, pastikan korang mengundi calon yang betul-betul korang rasakan layak untuk menerima undi anda!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top