Ringkasan PRN Sabah, ini cerita dari pembubaran DUN sampailah semalam

F1

Setelah DUN dibubarkan dan pilihan raya negeri dah diadakan dalam suasana pandemik yang melanda negeri Sabah, akhirnya kita dah dapat keputusannya. Namun kami tengok masih ramai yang tak faham sangat apa sebenarnya dah jadi kat Sabah ni, tup-tup ada pilihan raya pulak. Baca sampai habis, kami cuba mudahkan cerita politik Malaysia Timur hingga ke malam tadi.

Prn Sabah
Via Johorkini

Musa Aman dakwa dapat sokongan majoriti mudah, DUN Sabah dibubarkan atas permintaan Shafie Apdal

Lebih kurang dengan apa yang berlaku kat peringkat nasional sendiri, Perikatan Nasional pulak membentuk dan membina kerajaannya sendiri lepas mendakwa dah dapat majoriti daripada ahli parlimen. Nak tak nak, YDP Agong memutuskan bahawa Muhyiddin Yassin dipilih mengetuai negara lepas perletakan jawatan Tun Mahathir selaku Perdana Menteri yang dulunya menang di bawah Pakatan Harapan.

Susulan pertukaran kerajaan pusat, beberapa negeri pun akhirnya bertukar tangan jugak. Tapi sedikit berbeza dengan Sabah, mereka tak bubarkan DUN. Bila tiba dah masa kerajaan negeri Sabah ni mulai goyah apabila Musa Aman tiba-tiba dakwa ada sokongan majoriti, Shafie Apdal meminta Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, Tun Juhar untuk benarkan dia bubar DUN. Permintaan tu diluluskan, dan terbubarlah kerajaan negeri Sabah.

Shafie Musa
Dari kiri: Shafie Apdal, Musa Aman.. Via Astro Awani

Bila bubar dah, maka rakyat Sabah kena turun memilih undi calon wakil rakyat yang baharu. Kat sini, agak penting untuk korang faham bahawa dinamik politik kat Sabah ni lain sikit. Salah satu ‘kelainan’nya adalah… kat Sabah, banyak sangat parti tempatan Sabah dan kebanyakannya lebih suka bekerjasama dengan parti nasional lain macam UMNO-BN, PN-PPBM dan Warisan, parti bekas kerajaan negeri tu.

Kerjasama parti tempatan kukuhkan kuasa, tak menang jika enggan bersekutu dengan parti bumiputera

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Adat berpolitik jugak macam tu. Di tanah Sabah, semangat anak negerinya wujuda sehingga turut mampu mempengaruhi sokongan dan pola pengundian tu. Semua parti nasional mesti kena ada kerjasama dengan parti anak negeri. Untuk pilihan raya kali ni, beberapa yang korang boleh jumpa 3 koalisi parti yang utama:

Warisan Pn Lain Lain
Via Malaysiakini
  • Warisan Plus (dianggotai PKR, DAP, UPKO dan Amanah)
  • Perikatan Nasional (dianggotai BN, PN-PPBM, PBS)
  • Lain-lain (maksudnya, mereka nak bertanding sendiri tanpa kerjasama dengan parti nasional)

Yang menerima perhatian ramai dalam pilihan raya ni tentulah dua kerjasama utama ni iaitu Warisan Plus dan Perikatan Nasional sendiri. Memandangkan ada 73 kerusi, maknanya salah satu dari kerjasama parti ni kena menang sekurangnya 37 kerusi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Sabah Jalan
Via Astro Awani

Tetapi bukan senang ye nak ‘tumbangkan’ Warisan ni… percaturan politik ni membuktikan kesukaran nak tandingi Warisan, sehinggakan di bawah Perikatan Nasional sendiri, ada gabungan kuasa bersama parti tempatan lain lagi yang dinamakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). GRS ni adalah inisiatif Muhyiddin Yassin, dengan menyenaraikan beberapa parti tempatan yang berpengaruh seperti STAR dan SAPP.

Prestasi undian tunjukkan Warisan mendahului, tapi PN berjaya pintas dan menang majoriti mudah

Pada awal tempoh pengiraan undi dan keputusan tak rasmi dikeluarkan, Warisan Plus mendahului dengan kemenangan DAP di kerusi negeri di Luyang , seterusnya dikutip sedikit demi sedikit di beberapa kawasan yang boleh dikatakan ‘kubu kuat’ Warisan Plus seperti kawasan Semporna dan Penampang.

Namun PN berjaya pintas semula kejayaan awal Warisan tu dengan lebih banyak kawasan yang dimenangi oleh PBS dan UMNO-BN. Boleh dilihat dalam prestasi UPKO, parti tempatan yang bersama Warisan, semakin merudum di kawasan Kadazandusun Murut (KDM). Kami rasa ni ada kena mengena dengan serangan kempen isu pendatang tanpa izin yang banyak kali terpalit dengan Warisan.

Malaysiakini Result
Keputusan setakat jam 2 pagi, 27 September. Mungkinkah KM Sabah yang baharu dari BN?…Via Malaysiakini

Prestasi calon Bebas, dulunya dipanggil “katak-katak politik” ni pun menarik jugak untuk dilihat. Antara “katak” yang masih lagi menjadi pilihan pengundi adalah Masiung Banah, Adun Kuamut. Lepas keluar dari UPKO dan sokong Musa Aman hingga terbubarnya DUN Sabah, dia nafikan akan bertanding di bawah tiket PN lalu mendaftarkan dirinya sebagai calon Bebas di Kuamut. Dia menang sekali lagi pada PRN Sabah yang ke-16 ni.

Hanya dia je calon “katak” yang menang walaupun lepas bertanding sendiri. Yang lain kalah. Dalam PRN Sabah ni jugak, kita dapat saksikan kemunculan tokoh-tokoh lama seperti Pandikar Amin Mulia. Pernah jadi Speaker DUN Sabah, kemudian jadi Senator, ahli Parlimen dan Menteri di peringkat persekutuan; pengalamannya tampak meyakinkan para pengundi di Usukan sekaligus membawa nama USNO di persada politik negeri.

Pandikar Usno
Ni lah Tan Sri Datuk Sri Pandikar Amin Mulia.. Via FMT

USNO ni boleh kira parti veteran yang penting dalam sejarah politik negeri sebab ia jugak turut terlibat dalam pembentukan gagasan Malaysia serta membawa masuk UMNO ke dalam kancah politik Sabah. Sarawak misalnya, takde UMNO.

Pilihan raya dah habis, fokus bendung COVID-19 pulak

Sekarang ni lepas pilihan raya dah habis, jangan terus hanyut dibuai kemenangan. Sabah kini mencatatkan kes yang semakin bertambah hari demi hari; sehinggakan calon bertanding pun positif COVID-19, Ketua Penerangan UMNO pun positif COVID-19 lepas berkempen ke beberapa zon merah di Sabah. Kalau tak dibendung, ia mungkin boleh menular ke daerah lain.

Selain tu, kami nak ucapkan tahniah dan nak zahirkan harapan dengan wakil-wakil rakyat baharu ni agar terus bekerja demi rakyat dan mengerjakan mandat yang dah diberikan. Terus tunaikan keperluan rakyat, dan berhentilah jadi katak politik demi kepentingan peribadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *