Umat Islam di India terancam, semuanya gara-gara parti politik ni…

Umat Islam di India terancam, semuanya gara-gara parti politik ni…

Tahun 1947 merupakan tahun gelap buat pencinta keamanan dunia, apabila Mahatma Gandhi, tokoh dari India yang kekal dikenang hingga hari ini di seluruh dunia, mati dibunuh. Dia menjadi korban kepada pihak pelampau yang menganggap agama lain selain Hindu adalah musuh. Pembunuhnya, Nathuram Godse, seorang ekstremis Hindu, mendakwa bahawa Gandhi telah mengkhianati penganut Hindu, apabila melakukan rundingan berkenaan kemerdekaan India dan penubuhan Pakistan. Sementara itu, pada bulan Mei 2019, calon Parlimen India daripada parti Bharatiya Janata Party (BJP), dengan bangga mendakwa bahawa Nathuram adalah seorang patriot.

Via CBZ

Selepas tersebarnya berita kemenangan Narendra Modi dan BJP, pembikin filem dan pelakon, Aparna Sen menyatakan rasa terkejutnya, apabila rakyat India seolah-olah lupa dengan rusuhan di Gujarat dan pencetus kepada rusuhan itu, yang enggan memanggil tentera untuk campurtangan, sehinggalah 24 jam ia berlaku, dan ribuan umat Islam terbunuh.

Dia juga menyebut tentang siri pembunuhan membabitkan individu seperti Kulbargi, Govind Pansare, Gauri Lankesh dan suara yang menyeru penyuburan sifat kesederhanaan di India. Semuanya menjadi seolah-olah berita picisan, apabila Perdana Menteri tidak langsung menyentuh tentang perkara ini. Rabindranath Thakur dan Sharat Chandra kini diangkat sebagai pejuang nasionalis di India, tatkala nama Akbar dipadam daripada buku sejarah,

Walaupun secara terang anti-Islam, untuk meraih undi, BJP kata perlukan sokongan umat Islam

Baru beberapa hari diisytihar menang, Modi membuat satu kenyataan yang janggal – partinya, BJP memerlukan sokongan daripada minoriti terbesar di India, iaitu umat Islam. Modi menuduh bahawa parti pembangkang menipu golongan minoriti sewaktu berkempen, apabila gagal memberi penekanan terhadap isu kesihatan dan pendidikan. Beliau mendakwa bahawa golongan minoriti dipijak dan dikesampingkan, selain dieksploitasi serta dimomokkan dengan bahaya yang tak wujud.

Terdahulu, partinya menang besar dalam kempen-kempen jahat yang mensasarkan umat Islam. Kempen-kempen BJP menyaksikan mereka menghasut masyarakat Hindu berkenaan ancaman daripada orang Islam, malah menyeru agar kuil dibina di kawasan runtuhan masjid, serta kempen mengubah peraturan kewarganegaraan membabitkan umat Islam. Ramai penduduk Hindu percaya sebuah masjid yang dirobohkan pada 1992 di utara Ayodhya, dibina atas tapak sama di mana Tuhan Ram dilahirkan.

Masjid Babri yang dirosakkan pada tahun 1992. Via AKM

Mereka menunjukkan bukti kewujudan kuil, sebelum masjid itu dibina pada 1528. Pemusnahan masjid itu oleh pengganas Hindu membawa kepada rusuhan yang mengorbankan 2,000 orang di seluruh negara. Daripada 303 orang ahli parlimen BJP, tiada seorang pun yang beragama Islam. Kemenangan BJP juga membawa kepada semakin terpinggirnya suara Islam di India dengan perwakilannya dalam institusi demokrasi di negara tersebut, semakin berkurang.

Salah-seorang pemimpin Islam yang berpengaruh di India, Asaduddin Owaisi, tidak langsung berasa kagum dengan ucapan Modi itu. Presiden All India Majlis-e-Ittehadul Muslimeen (AIMIM) itu menegaskan bahawa ramai orang awam beragama Islam diserang, oleh mereka yang sedang sibuk meraikan kemenangan Modi. Owaisi menegaskan bahawa jika benar Modi mengambil berat tentang umat Islam, dia sewajarnya menyeru agar penyokongnya berhenti menyerang umat Islam.

Asaduddin Owaisi. Via Hollywood

Sekurang-kurangnya 5 insiden jenayah kebencian dilaporkan seminggu selepas kemenangan BJP. Di negeri Madhya Pradesh, 3 orang Islam termasuk seorang wanita, dipukul dengan teruk hanya kerana disyaki membawa daging lembu. Di Gurugram, Delhi, seorang Muslim diserang dan dipaksa memuji dewa Hindu. Sejak Modi memerintah 5 tahun lepas, sekurang-kurang 44 orang dilaporkan dibunuh kerana dituduh membawa daging lembu, menurut Human Rights Watch.

BJP parti politik yang bersikap ekstrem terhadap kaum minoriti

Presiden BJP, Amit Shah merujuk pendatang Bangladesh sebagai pemusnah serta perisik ketika kempen pilihan raya.  Umat Islam merangkumi 14 peratus daripada 1.3 bilion penduduk India, namun hanya 22 orang beragama Islam dipilih selaku ahli Parlimen, daripada 543 orang yang menduduki Lok Sabha. Tahun ini menyaksikan jumlah terendah perwakilan Muslim di Lok Sabha dalam tempoh lima dekad, berbanding 9.6 peratus pada 1980. Pada 2017, BJP tidak langsung meletakkan calon Muslim di Uttar Pradesh, yang mempunyai 40 juta umat Islam.

Pada bulan Januari 2018, Menteri Hal Ehwal Masyarakat Minoriti mereka, Abbas Naqvi mengumumkan kerajaan India memansuhkan subsidi jemaah haji secara berperingkat yang selama ini diberikan. Namun, tiada pemotongan peruntukan subsidi pada aktiviti-aktiviti penganut agama lain dilakukan. Pada Februari 2018, pemimpin BJP bernama Vinay Katiyar mendakwa bahawa Taj Mahal yang dibina pada Kurun ke-17 oleh Raja Mughal, Shah Jahan untuk isterinya, Mumtaz Mahal di Agra, didirikan di atas tapak kuil Hindu, dan mahu ia ditukar kepada kuil. Taj Mahal juga telah dikeluarkan daripada senarai tempat pelancongan di Uttar Pradesh.

Via Travel India

Keputusan pilihan raya ini dilihat sebagai langkah untuk menjayakan agenda pihak pelampau untuk mewujudkan negara Hindu India, sedangkan Perlembagaan negara itu menyatakan dengan jelas, ia adalah negara sekular. Polarisasi agama dilihat sebagai kunci utama kejayaan BJP. Hal ini kali terakhir dilihat ketika pemisahan India dan Pakistan pada 1947. Lebih sejuta orang terkorban dan 17 juta orang kehilangan tempat tinggal sewaktu pemisahan dua negara itu.

Modi, seorang pimpinan pelampau Hindu yang dikaitkan dengan pembunuhan beramai-ramai orang Islam di Gujarat itu, menggunakan APCO Worldwide untuk membaiki imejnya. Dalam satu kunjungan kerajaan India ke Tel Aviv, Israel pada Julai 2017, rombongan Narendra Modi disambut oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden kepada komuniti ajaran Ahmadiah/Qadiani di Israel. Modi secara terbuka mengiktiraf ajaran ini sebahagian daripada Islam, meskipun ditentang ramai pihak.

Modi. Via BBC

Ajaran Ahmadiah/Qadiani adalah ajaran yang sesat. Dr. Muhammad Iqbal, ilmuan Islam yang juga berasal dari India mengingatkan: “Sesungguhnya Qadianisme (Ahmadiyyah) adalah gerakan penentang Nabi Muhammad SAW, dan pakatan penentang Islam dan agama yang terpisah, dari agama Islam, bahawa Qadianisme adalah umat yang berdiri sendiri, dan bukan bahagian daripada umat Islam.” Di Malaysia, keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang digazetkan pada 1992 serta pindaan pada 2000 menyatakan bahawa ajaran Ahmadiah bukan lagi sebahagian daripada Islam.

Nampaknya semakin banyak pemimpin fasis yang diangkat untuk menerajui negara

Fasisme, semakin bercambah di negara besar yang serba bergolak ini. Umat Islam di India kini khuatir mereka menjadi sasaran pihak pelampau Hindu. Daripada Brexit sehinggalah kejayaan Trump, dunia menyaksikan kebangkitan puak fasis yang mendakwa diri mereka selaku pejuang, patriot dan nasionalis tulen. Jika Modi dan BJP bersungguh-sungguh mahu India menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, mereka seharusnya sedar bahawa menjadi sebuah kuasa besar juga menuntut kepada nilai toleransi serta demokrasi yang subur. Negara maju tidak akan wujud hanya bersandarkan ekonomi yang mengangkat agama tertentu, tatkala meminggirkan masyarakat minoriti yang tidak berdosa.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top