Sebagai rakyat Malaysia, dah tentu korang pernah mendengar Tarian Kuda Kepang yang terkenal dengan cerita-cerita mistik. Ramai sebenarnya yang tak tahu, kuda kepang dikenali dengan pelbagai nama seperti jaran kepang, kuda lumping, jathilan dan ebeg. Bagi orang Jawa ‘jaran’ ialah kuda manakala ‘kepang’ merujuk kepada anyaman. Bagi masyarakat Jawa panggilan bagi kuda kepang yang popular ialah jaran kepang kerana pertunjukan yang dipersembahkan ialah menggunakan anyaman kuda.
Kuda kepang berasal dari Jawa, pernah digunakan untuk tujuan pemujaan
Kuda kepang dibuat dengan menggunakan buluh yang dianyam. Pada awalnya kuda kepang menggunakan pandan yang dianyam tapi kini dah ada yang diperbuat daripada papan lapis atau kulit lembu. Ianya biasa berwarna kitam dengan bulu berwarna kuning. Namun pengubahsuaian telah berlaku apabila terdapat juga kuda yang dibalut dengan baldu bagi menampakkan kuda semakin menarik. Kebiasaanya hiasan seperti ni adalah bagi tujuan persembahan di peringkat yang tinggi.
Pada zaman dahulu, persembahan kuda kepang dimainkan dalam upacara pemujaan. Ada yang percaya kuda kepang dimainkan – bertujuan untuk orang yang masih hidup menjalinkan hubungan dengan roh orang telah mati. Selain tu, diorang percaya kuda kepang dimainkan bertujuan untuk membersihkan desa daripada gangguan roh-roh jahat, penyakit dan malapetaka.
Kuda kepang adalah merupakan sejenis tarian pahlawan berkuda yang berasal daripada Jawa. Telah berlakunya penyebaran kesenian ini meluas serata wilayah di Nusantara. Penyebarannya diteruskan lagi setelah dibawa masuk oleh masyarakat Jawa yang berhijrah ke Malaysia dan kekal sehingga sekarang. Permainan ni sangat popular khususnya di negeri Johor. Tidak banyak pengubahsuian yang dilakukan walaupun setelah berkurun lama seni kuda kepang ini wujud.
Masyarakat Jawa ni masih tidak lepas daripada kepercayaan unsur ghaib sehinggakan banyak upacara tertentu dilakukan dan salah satu daripadanya ialah persembahan kuda kepang. Dalam kehidupan msyarakat Jawa diorang telah melakukan percampuran antara nilai agama dan juga masih mengekalkan kepercayaan nenek moyang. Tapi takdelah semua, cuma masih ada sebilangan yang macam tu.
Apa yang buat kami lebih terperanjat, ada pendapat mengatakan tarian kuda kepang ini telah dicipta oleh Wali Sembilan sebagai tarikan dalam usaha diorang menyebarkan syiar Islam di Tanah Jawa. Peristiwa peperangan yang dilalui Rasullullah saw dan para sahabat disampaikan dalam bentuk tarian. Menarik benda ni kalau dikaji dengan lebih mendalam. Kami takde duit nak korek sampai ke Tanah Jawa.
Bagi yang nak tahu macam mana Kuda Kepang dimainkan, hah…ini caranya
Kuda kepang biasanya dipersembahkan kat tempat terbuka atau di atas pentas yang besar. Sebelum tarian tu bermula, Tok Bomoh akan membakar kemenyan dan baca jampi untuk berikan tenaga kepada kuda-kuda. Dia akan gunakan telur mentah, bunga, rumput, dan air untuk persembahan.
Diketui oleh seorang “danyang” yang akan terus memecut untuk menentukan rentak tarian, setiap penari akan naik ke atas kuda masing-masing. Apabila muzik mula bergema, penari-penari yang dipimpin oleh “danyang” tu masuk ke gelanggang. Rentak muzik bermula dengan perlahan dan agak membosankan. Setiap penari akan menunggang dan memacu kuda menurut pola yang ditentukan oleh rentak dan irama lagu itu.
Ketika muzik jadi lebih pantas, kuda-kuda akan menderap dengan lebih laju. Penari-penari akan melakukan pergerakan yang aneh dan luar biasa seperti bersilat melompat-lompat setinggi enam kaki dan sebagainya. Semasa penari dalam keadaan sedemikian, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan bertambah rancak. Kononnya jika alunan muzik tidak rancak, penari-penari akan akan menerkam atau menendang pemain muzik seakan-akan kuda yang sedang berang.
Penari-penari menari selama dua jam sehingga mengalami keadaan terpukau dengan kehebatan pergerakan-pergerakan diorang. Ketika mabuk, diorang kekadang akan bermimpi menunggang kuda yang benar sambil menari-nari dengan iringan muzik. Disebabkan itu, diorang mencuba mengejar muzik itu. Keadaan ini dipanggil “naik syeikh”. Mesti selalu dengarkan? Jika keadaan bertambah liar dan tidak dapat dikawal, tok bomoh akan arahkan pengawal-pengawal yang ditempatkan di setiap sudut gelanggang untuk menangkap dan merebahkan diorang ke tanah, dan seterusnya tok bomoh akan membaca jampi untuk memulihkan diorang.
Tapi, sebenarnya ada je Tarian Kuda Kepang yang tak amalkan unsur khurafat
Dengan tujuh peserta menari mengikut rentak muzik, menghayunkan patung kuda ke kiri dan ke kanan seperti sedang menunggangnya, disulami dengan libasan cemeti ke tanah, ia sudah cukup untuk menjadikan penonton khayal menyaksikannya. Benda ni amat berbeza dengan persembahan kuda kepang tradisi dengan tarian yang sudah diubah demi memenuhi kehendak untuk mengeluarkan kebudayaan popular masyarakat Jawa itu daripada terus diselubungi unsur khurafat dan syirik.
Dengan membuang terus amalan pemujaan dan kerasukan, kuda kepang kini dipersembahkan seperti tarian lain, hanya kesenian yang menjadi tunjang budayanya. Persembahan ni jadi makin indah, bukan lagi mendebarkan. Kumpulan Warisan Seni Sri Johor yang ditubuhkan pada awal tahun 1970-an oleh Allahyarham Sabtu Hamid adalah antara persatuan yang pernah dipanggil Jabatan Agama Islam Johor bagi membincangkan kenapa kuda kepang tradisi perlu diharamkan.
Kumpulan ni aktif di sekitar Felda Penggeli, di bawah pimpinan Mohd Yazid Sabtu. Diorang akur dengan hujah dan fatwa yang mengkelaskan persembahan dengan elemen mabuk dan pemujaan adalah haram. Dah tentu warga Johor sukar nak tinggalkan kuda kepang yang sudah sebati dengan diorang terutama bagi masyarakat Jawa kerana ia bukan seni baharu, malah di kawasan Parit Yaani, kuda kepang sudah dipersembahkan sejak era 1940-an.
Malah, dalam satu kongres kebudayaan di Universiti Malaya pada tahun 1970, persembahan kuda kepang diiktiraf dan diangkat sebagai lambang kebudayaan negeri Johor. Seni budaya macam ni patutnya diteruskan untuk generasi akan datang. Cuba berita kami, budaya apa lagi korang nak kami tulis untuk minggu hadapan? Kalau cadangan korang diterima, nanti kami bagi hadiah!
Artikel ini banyak mengambil maklumat dari blog Kuda Kepang.