Pelajar malas nak hadir kelas tambahan? Kelab bola sepak lokal ini ada solusinya

F1

Pada Sabtu lepas kami diundang menghadiri majlis pelancaran jersi baharu Setiawanga Rangers FC (SRFC). Kami ni hidup dengan mudah, kalau ada makan-makan free, kami datang. Cuma kali ini kami bukan datang setakat nak habiskan makanan yang ada, kami datang sebab ORANGKATA adalah sebahagian daripada penaja bersama SRFC ni. Kami pun sebenarnya gembira apabila lihat jersi baharu kelab bola sepak lokal ni ada logo kami.

Gila apa tak bangga, cuba bayangkan kalau tempat korang bekerja ada logo kat mana-mana jersi pasukan bola sepak? Mestilah rasa teruja.

Setiawangsa Rangers FC lancarkan jersi baru, berjaya tarik beberapa penaja

Setiawangsa Rangers FC (SRFC) lancarkan jersi baru, dan berjaya menarik perhatian beberapa penaja seperti CRSC Group, Amaxmall, AirAsia, Sunway Avilla, Skyworld, Sri Ternak Food Mart, Shortea Barbershop dan Voltagehub. Paling penting, kami pun ada sekali ye. Penaung SRFC merangkap Ahli Parlimen Setiawangsa, YB Nik Nazmi Nik Ahmad kata berbangga dengan pencapaian kelab tu apabila sudah dikenali dan digeruni kawan dan lawan walaupun baru dua tahun ditubuhkan.

Kusai 1601120410
Para penaja Setiawangsa Rangers FC. Via Berita Harian

“Saya percaya kesediaan penaja menaja kelab ini hasil beberapa siri kejayaan sebelum ini selain misi dan visi yang disusun dalam usaha menyemarakkan program pembangunan bola sepak di akar umbi. Saya gembira kerana kami kini sudah mempunyai 250 pemain dari umur bawah lapan tahun selain menubuhkan skuad padang dan futsal wanita yang mendapat sambutan menggalakkan bulan lalu,” – Nik Nazmi, seperti yang dilaporkan Berita Harian

Bagi Presiden SRFC, Khushairi Aizad Jamalludin yang merupakan bekas pemain Selangor dan Kelab Bolasepak AirAsia AllStar ucapkan terima kasih kerana sokongan penaja dan harap mereka terus beri sokongan. Dia berharap kelab itu akan terus berkembang maju berdasarkan perancangan yang sudah dirangka termasuk pada tahun 2022 apabila mereka nak menyertai Liga AirAsia KL Junior, Liga Bolasepak Kuala Lumpur dan Liga M4.

Pasukan ini ada program yang baik untuk bantu beri motivasi supaya pelajar datang ke kelas tambahan

Kepentingan sukan dalam pembinaan sahsiah kanak-kanak merupakan perkara yang sepatutnya diketahui oleh ibu bapa. Melalui sukan, kanak-kanak boleh belajar tentang kesungguhan, bekerja secara berpasukan, disiplin dan berinteraksi dengan para pemain lain. Sukan juga mampu membina keyakinan diri dan disiplin pada kanak-kanak.

Apabila telah jatuh, harus bangun semula. Via Giphy

Satu benda lagi yang selalu orang kata kebaikan sukan adalah untuk membantu kemahiran motar halus dan motor kasar. Motor halus; kebolehan kanak-kanak gunakan anggota badan untuk buat pergerakan. Pergerakan ini libatkan otot-otot kecil pada tangan, jari tangan, kaki, jari kaki, bibir dan lidah. Kemahiran motor kasar pulak ialah kemahiran pergerakan yang babitkan sendi-sendi besar iaitu sendi di bahagian atas badan dan sendi di bahagian bawah badan.

Salah satu benda yang menarik perhatian kami ketika majlis pelancaran ini adalah; kaedah pasukan SRFC menjadikan bola sepak sebagai ‘motivasi’ untuk pelajar pergi ke kelas tambahan. Kita ada masalah dengan sistem pendidikan kita; pembelajaran terlihat sebagai bebanan, ia sepatutnya menjadi hal yang menyeronokkan. Sehingga kita tak dapat selesaikan masalah ini, pelajar perlukan ‘motivasi’.

F5740f4c D6c6 4277 90a9 64e9fb48c8d4
Comel je budak-budak ni. Via Bebas News

Apa salah satu motivasi yang besar? Main bola sepak atau bersukan lah. Pelajar tidak kira lelaki atau perempuan; rata-rata berminat melakukan aktiviti di luar kelas, dan sukan merupakan hal yang majoriti dilakukan oleh pelajar di luar kelas. SRFC minta pelajar datang kelas tambahan pada sebelah pagi, barulah mereka boleh bermain bola sepak pada petang. Ia efektif dan patut dicontohi.

Kelab bola sepak lokal seperti ini sepatutnya tumbuh dengan lebih banyak, ia milik rakyat

Sekarang ni, rakyat tak punya banyak perkara. Kelab bola sepak lokal seperti SRFC merupakan sesuatu yang boleh dimiliki bersama ‘rakyat’. Pembangunan kelab dan persatuan sukan di peringkat lokal harus diberi lebih banyak perhatian. Seperti yang telah dibuktikan oleh SRFC, diorang bukan setakat kelab bola sepak, tapi turut menjalankan program-program kemasyarakatan dengan impak yang besar.

Sekali lagi, kami berbangga menjadi sebahagian dari keluarga kecil Setiawangsa Rangers FC, semoga kerjasama ini akan membantu memberi impak kepada masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *