Isu Ketua Menteri Sabah yang memeningkan, ini yang berlaku selepas PRN Sabah

F1
Isu Ketua Menteri Sabah yang memeningkan, ini yang berlaku selepas PRN Sabah

Baru-baru ni, Sabah dah selesai memilih kerajaan negeri yang baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Kalau korang masih tertanya-tanya kenapa pulak ada pilihan raya, kami dah jelaskan secara ringkas dulu. Kali ni, kami nak kongsi ‘perjalanan’ Sabah lepas PRN ni lepas beberapa hari tergantung tanpa Ketua Menteri yang baharu.

Sabah tolak Warisan, kerajaan baharu terbentuk di tangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)

Melihatkan keputusan PRN Sabah, pemegang kerusi terbanyak dalam data SPR adalah Warisan plus iaitu sebanyak 29 kerusi. Namun begitu, dalam PRN ni, banyak kerjasama politik yang dicipta agar dapat mengekalkan sokongan bersama parti tempatan di Sabah. Antara gabungan kerjasama ni adalah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Calon Bebas (GCB).

Malaysiakini Result
Via Malaysiakini

Namun dalam lanskap PRN Sabah ni, ternyata gabungan Warisan Plus dan GRS lebih mendominasi ruang perbincangan politik khususnya kat media. Perkara ni pun terpapar jugak bila dah mula hari pembuangan undi dan detik kiraan undi dimana GRS mempunyai kelebihan 1 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Sengit jugak sebenarnya ‘perselisihan’ undi antara kedua-dua gabungan ni, tapi seperti yang kita lihat sekarang.. GRS dah menang dalam pilihan raya. Banyak jugak kami baca analisis-analisis politik dari ramai pemerhati dan apa yang kami dapat simpulkan, Warisan ni masih lagi popular tetapi GRS lebih efektif dari segi strategi kempen.

Sabah Jalan
Via Astro Awani

Dengan keputusan ni jugak, ramai orang Sabah sedang melihat 2 calon utama dari 2 parti berakarkan Semenanjung Malaysia iaitu Hajiji Mohd. Noor dan Bung Mokhtar. Kedua-dua tokoh ni memang popular di mata orang Sabah, terutamanya Bung Mokhtar yang terlihat agak lantang dan sedikit kasar tutur katanya.

Walaupun dengan 2 calon utama dari GRS ni, sehari lepas tamatnya PRN, masih lagi belum ada tanda mahupun pengumuman dari TYT Sabah iaitu Tun Juhar mengenai siapakah yang bakal dipilih menjadi Ketua Menteri. Ni meresahkan ramai orang, terutamanya yang inginkan kestabilan kerajaan negeri untuk bersama-sama menumpukan semula kebajikan anak negeri ditambah lagi dengan ancaman kluster-kluster baharu di Sabah.

Kluster Ld
Kluster Benteng yang jadi kluster pertama sejak beberapa bulan Sabah ‘tenang’.. -Via Portal Bencana NADMA

Wujud banyak teori sementara rakyat tunggu keputusan siapa Ketua Menteri Sabah seterusnya

Lepas tamatnya pengumuman rasmi dari SPR yang mengesahkan keputusan undi, banyak jugak perkara menarik yang berlaku sepanjang tempoh 2 hari yang sunyi ni. Kesunyian ni membuatkan rakyat pun tertunggu-tunggu untuk melihat wajah baharu Ketua Menteri Sabah yang dipilih oleh Tun Juhar selaku TYT Sabah.

Kesunyian ni tak bermakna rakyat Sabah khususnya senyap ternanti-nanti. Banyak teori yang dikemukakan demi menjawab mengapa Tun Juhar mengambil masa yang lama untuk menentukan Ketua Menteri yang baharu. Pada 27 September lalu, semua ketua parti dalam GRS bermesyuarat sebelum menghadap Tuan yang Dipertua Negeri.

Ni termasuklah calon-calon yang dinamakan oleh kedua-dua parti utama dalam GRS, Hajiji Md Noor selaku Ketua Bersatu Sabah dan Bung Mokhtar selaku Ketua UMNO Sabah jugak akan turut menghadap Tun Juhar. Tentunya kami pun tak begitu pasti mengenai butiran perjumpaan ni, tapi suasana ni menunjukkan Ketua Menteri mungkin akan diketahui keesokkan harinya.

Lepas perjumpaan tersebut, Bung Mokhtar hanya menyatakan kepada media bahawa TYT Sabah meminta masa untuk mempertimbangkan calon Ketua Menteri. Dalam tempoh tu jugak, Tun Juhar dikatakan mahu berjumpa dengan bekas Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal sebelum buat keputusan. Mungkin nak berlaku adil kot, nak tanya sama ada Shafie Apdal ada majoriti atau tak.

Ada jugak ura-ura yang menyatakan bahawa PBS nak sertai Warisan, tetapi tu jugak dinafikan oleh PBS sendiri dan menyatakan bahawa mereka ada prinsip dan terus setia di bawah GRS. Tambah lagi, isu teknikal turut menjadi perbahasan seharian rakyat. Antaranya adalah klausa yang menegaskan calon dari parti majoriti je akan dilantik.

Ikut nombor, GRS memang cecah jumlah majoriti iaitu 38 kerusi. Tetapi GRS tak berdaftar sebagai pertubuhan sebab mereka cuma gabungan parti je, maka ia tak dikira sebagai “parti majoriti”. Warisan Plus dikatakan mempunyai undi majoriti, iaitu sebanyak 29 kerusi. Dalam sistem SPR sendiri pun, undi PN dan BN yang cecah berbelas tu masih dikira secara berasingan.

Akan tetapi, sekadar baca 1 klausa je tak cukup. Mana-mana parti yang disokong lebih 2/3 ADUN masih boleh membentuk kerajaan negeri, maka secara tak langsung, GRS masih boleh bentuk kerajaan negeri.

Timbul dakwaan TYT Sabah ditekan untuk pilih Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah, dikatakan oleh Menteri Dalam Negeri

Ada jugak timbul dakwaan bahawa pelantikan Ketua Menteri Sabah ni yang sepatutnya dalam bidang kuasa TYT Sabah telah ‘diganggu’ oleh Menteri Dalam Negeri iaitu Hamzah Zainuddin. Mengikut sebuah hantaran yang tular kat Facebook, dikatakan bahawa pada mulanya Tun Juhar Mahiruddin dah pilih Bung Mokhtar, iaitu calon Ketua Menteri dari BN.

Hajiji Bung
Dari kiri: Hajiji dan Bung Mokhtar

Namun begitu, Hamzah Zainuddin dikatakan telah menggunakan kuasanya untuk menekan Tun Juhar untuk menerima calon Bersatu, iaitu Hajiji Mohd. Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu. Selain tu, Hamzah jugak dikatakan memaksa ADUN PN yang lain untuk menerima keputusan tersebut.

Kami tak dapat mengesahkan maklumat ni, namun perkara ni sebenarnya boleh terjadi jugak. Sebelum PRN Sabah ni, Hamzah Zainuddin pun memang ada komen pasal politik Sabah iaitu ketika Musa Aman datang membawa khabar bahawa dia ada sokongan majoriti dulu. Hamzah jugak ada datang menghadap Tun Juhar. Malah, Hamzah kata Tun Juhar ni adalah kawan lama sejak 1990-an lagi.

“Biar saya jujur dengan anda, Tun Juhar adalah kawan saya sejak 1990-an. Tiada salahnya untuk saya melawatnya dan dalam pertemuan kami, kami membincangkan masa depan Sabah. Tetapi butiran perbincangan kami, biarlah antara kami berdua. Saya tahu apa yang kami bincangkan dan dia tahu apa yang saya sudah beritahu padanya”- seperti yang dilaporkan Borneo Today pada 8 Ogos 2020

Juhar Hamzah
Dari kiri: Tun Juhar dan Hamzah Zainuddin Via FMT

Namun apa yang lebih penting di sebalik kemelut politik ni adalah penumpuan semula terhadap pembangunan negeri dan negara. Negeri Sabah melalui pelbagai ujian, daripada isu tuntutan Filipina ke atas Sabah kemudiannya berita percubaan pencerobohan, kemudiannya beberapa insiden gempa bumi kecil sepanjang tahun ni serta bantuan kerajaan negeri yang dijanji-janjikan dikatakan tak sampai. Berpolitik biarlah untuk menuju kemajuan, bukan semata-mata untuk kuasa.

Setakat ni, nama Hajiji Mohd Noor telahpun dilaporkan sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu menggantikan Shafie Apdal. Majlis angkat sumpah akan dijadualkan bakal dilaksanakan pada 29 September 2020.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top