Lelaki dipenjara 584 tahun, bukti Melayu boleh khianati bangsa sendiri…

S1

Beberapa bulan lepas kami ada bawakan pandangan YB Nik Nazmi berkenaan pensejarahan hubungan dagang yang beri keuntungan kepada umat Islam, hari ni kami nak bawakan satu lagi pandangannya berkaitan isu boikot barangan non-Muslim ni. Kali ni dia ulas tentang realiti ‘ekonomi’ orang Melayu di Malaysia. Benda-benda ni macam ni selalunya tak akan disentuh oleh ahli politik lain, sebabnya ia berkemungkinan akan menyebabkan sokongan merosot.

Semalam kami dapat contoh yang praktikal untuk tunjukkan apa sebenarnya yang kami maksudkan dengan Melayu dikhianati oleh Melayu. Kes pecah amanah adalah di antara penyebab mengapa masyarakat Melayu masih berada dalam kemunduran…

Kes seorang ‘Melayu’ yang rembat duit orang untuk kepentingan diri, akhirnya dipenjara 584 tahun…

Semalam bekas pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) dihukum penjara selama 584 tahun dan dikenakan 146 sebatan selepas mengaku bersalah kat Mahkamah Sesyen Melaka terhadap 146 pertuduhan babitkan kes pecah amanah dana biasiswa pelajar sekolah berjumlah lebih RM2.4 juta.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin jatuhkan hukuman tu terhadap Mohd Hanafi Ismail, 31 tahun, sebaik je dia buat pengakuan selepas jurubahasa bacakan semua pertuduhan dan fakta kes terhadapnya yang ambil masa kira-kira dua jam. Dia dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun dari tarikh jatuh hukum bagi setiap pertuduhan dan kesemua hukuman itu berjalan serentak dan satu sebatan bagi setiap 146 pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, lelaki tu ketika bertugas sebagai pembantu tadbir dan ada penguasaan harta iaitu peruntukan biasiswa pelajar sekolah terbabit lakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta berkenaan apabila dia dengan curang menyalahgunakannya.

Rembat
Tertuduh. Via Metro

Kesalahan tu dilakukan secara berperingkat antara 23 Januari 2017 hingga 21 Disember tahun lalu, membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM2.404 juta. Perbuatan tu dilakukan tertuduh di Unit Kewangan TAPEM di Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh.

Dia didakwa lakukan kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh diwakili peguam Emirul Sarifudin Nor Azmi.

S1
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian dah tak berguna. Via Sinar Harian

Dalam prosiding tu, pihak pendakwaan turut memohon mahkamah kenakan hukuman sewajarnya dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan jumlah direkodkan tinggi, yang sepatutnya disalurkan kepada pelajar golongan asnaf lebih layak.

Irwan turut nyatakan bahawa tiada sebarang baki daripada akaun itu dapat dipulangkan atau berjaya dirampas oleh SPRM. Ini adalah contoh paling baik dan terbaru tentang kes Melayu khianati Melayu. Selain tu…

DEB sepatutnya wujud selama 20 tahun je, jurang pendapatan dalam masyarakat Melayu melebar…

Antara punca kempen Buy Muslim Product First (BMF) adalah kerana kedudukan ekonomi masyarakat Melayu, disemarak pulak dengan kebimbangan kedudukan Islam dan Melayu selepas PRU14. Tetapi adakah kempen semacam ini adalah penyelesaian sebenar?

Masalah ekonomi orang Melayu bukan benda baru. Dasar laissez-faire atau ekonomi pasaran bebas Kerajaan Perikatan gagal selesaikan kedudukan ni selepas Merdeka jadi antara punca tercetusnya tragedi 13 Mei 1969. Selepas tu diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru, yang bermatlamat untuk basmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Via The New Malaysian Post

Pada peringkat awal, DEB libatkan pelaburan besar dalam pendidikan dengan peluang biasiswa yang meluas, termasuk ke luar negara serta pembinaan MRSM dan sekolah berasrama penuh. Benda ni jadi tunjang kepada kelahiran kelas menengah Melayu.

Tetapi DEB hanya patut bertahan selama dua puluh tahun, bermakna tarikh luputnya adalah pada tahun 1990. Namun bukan sahaja DEB bertahan, tetapi jurang antara Melayu kaya dan miskin juga bertambah.

7.4 juta pemegang unit ASB ada saiz unit di bawah RM5,000…

Jika dahulu sebarang dasar pro-Melayu atau Bumiputera akan beri manfaat kepada kelompok Melayu yang sebahagian besarnya ketinggalan dari aspek ekonomi, tapi hari ni dasar semacam ini  hanya menguntungkan elit Melayu dengan peluang pendidikan dan ekonomi mereka yang lebih baik berbanding kelompok miskin bandar, kakitangan rendah kerajaan, peneroka FELDA atau nelayan.

Sebahagiannya, sebagaimana yang YB Nik Nazmi utarakan dalam bukunya; Mendepani Zaman, adalah kerana kejayaan DEB sendiri dalam melahirkan kelas menengah Melayu.

Jika kita lihat pada statistik pelaburan ASB, yang hanya boleh dicarum oleh masyarakat Bumiputera. 76.92 peratus, atau 7.4 juta pemegang unit mempunyai saiz unit bawah RM5,000 mengikut Laporan Tahunan ASB 2018. Hanya 0.24 peratus mempunyai saiz pegangan RM500,001 ke atas. 9.15 peratus pemegang unit melanggan 81.83 peratus jumlah unit atau lebih RM127.5 bilion! 7.4 juta pemegang unit terkecil hanya mempunyai simpanan RM4.1 bilion atau sekadar 2.65 peratus jumlah unit.

Via AmazingNara

Antara ukuran jurang ekonomi ialah pekali Gini – 0 melambangkan kesaksamaan maksima di mana semua individu dapat pendapatan yang sama manakala 1 adalah ketidaksamaan maksima di mana seorang individu mendapat semua pendapatan dan yang lain tidak ada apa-apa pendapatan. Wujud penambahbaikan jurang antara kaya dan miskin di Malaysia secara keseluruhan dari 1970 (0.513) hingga 2016 (0.399). Tetapi pekali Gini akaun ASB adalah 0.84!

Cuba bayangkan; separuh wang simpanan Tabung Haji dikuasai 1.3% pencarum…

Macam tu jugak dengan statistik simpanan Tabung Haji. Fungsi utama Tabung Haji sebagaimana gagasan Profesor Diraja Ungku Aziz adalah untuk tabungan masyarakat Islam tunaikan ibadah haji, bukan sebagai pelaburan umum. Tapi 50% daripada jumlah simpanan Tabung Haji dicarum oleh 1.3 peratus pencarum sahaja. Ada individu yang mencarum RM190 juta!

Hamba Allah ini pada 2017, ketika Tabung Haji sebenarnya tidak boleh memberikan hibah mengikut Akta Tabung Haji kerana liabiliti melebihi aset, menerima hibah sebanyak lebih RM8 juta pada kadar hibah 4.5 peratus!

Th
Tabung Haji. Via The Star

Statistik-statistik ini menunjukkan sungguhpun DEB melahirkan kelas menengah Melayu, tapi jurang kaya-miskin Melayu juga makin melebar dan ini merupakan cabaran terbesar ekonomi hari ini. Kita gemar fokus jurang antara kaum, tetapi tidak melihat jurang sesama kaum itu sendiri.

Mengapa benda ni berlaku? Ini kerana model ekonomi negara masih dalam kerangka lama, iaitu model eksport dengan kadar upah yang rendah. Model ini biasa digunakan untuk ekonomi yang baru menapak hendak bersaing, tapi untuk kekal kompetitif mereka tingkatkan produktiviti dan kadar upah, dengan menambah nilai dalam ekonomi mereka.

Via NR

Ini transisi yang dilalui Korea Selatan, Taiwan dan Singapura – ekonomi-ekonomi yang suatu ketika dahulu berada pada tahap sama dengan Malaysia pada awal kemerdekaan.

Sebaliknya, kadar gaji dan upah di Malaysia dikekalkan rendah begitu lama, dan kita dapat bertahan sebahagiannya kerana dasar terbuka di dalam mengambil pekerja-pekerja asing. Namun pekerja-pekerja Malaysia – majoriti besar orang Melayu – menjadi mangsa apabila jurang pendapatan kaya-miskin semakin melebar.

Isu Tabung Haji, lebih RM549 juta kerugian disembunyikan, RM533 juta pulak keuntungan palsu…

Pada masa yang sama kita tak boleh lupa bagaimana ekonomi kita jadi mangsa rasuah dan salahguna kuasa yang bermaharajalela. Semua orang tahu skandal 1MDB yang libatkan wang pembayar cukai termasuk ramai masyarakat Melayu. Adakah kita masih ingat kenyataan Najib pada 2009 daripada RM54 bilion saham yang diperuntukkan ke tangan Bumiputera, hanya RM2 bilion yang tinggal?

Skandal-skandal seperti YAPEIM dan Tabung Haji memberi gambaran seolah-olah tiada yang sakral atau suci bagi mereka yang terpalit dengan skandal ini. Ini termasuk dakwaan penyalahgunaan dana YAPEIM (yang melibatkan potongan gaji ramai orang Melayu biasa) untuk Menteri ke luar negara, membeli barangan golf, pembayaran guaman Najib menggunakan dana untuk anak yatim dan lain-lain lagi.

Malah, pengurusan tertinggi YAPEIM dari kalangan orang politik UMNO melantik keluarga mereka menjadi kakitangan dengan gaji mencecah RM80,000 sebulan.

Situasi Tabung Haji lagi serius. Lebih RM549 juta kerugian disembunyikan manakala RM533 juta pula keuntungan palsu daripada penjualan saham Bank Islam kepada broker-broker tertentu yang kemudian dibeli semula oleh Tabung Haji. Sehingga 30 September 2018, RM436 juta dividen anak syarikat direkodkan Tabung Haji, tetapi tidak dibayar kepada Tabung Haji. Antara puncanya adalah penyelewengan anak syarikat mereka, TH Heavy Engineering.

Hmmm…apa nak jadilah. Via Giphy

Pelaburan ASB hanya beri keuntungan yang banyak pada elit Melayu, kerajaan perlu fikirkan sesuatu…

PAS, yang beri sokongan kepada kempen boikot ini, pernah membuat kunjungan kepada pengurusan 1MDB dan Tabung Haji, dan berikan kenyataan mereka puas hati dengan alasan pengurusan kedua-dua syarikat ini. Parti Melayu Islam pembangkang yang sepatutnya memainkan peranan sebagai pihak semak dan imbang, tapi mereka pulak beri sokongan pada syarikat ni. Kami pun tak boleh brain.

Via TITM

Untuk bergerak ke hadapan, kita ada pilihan. Adakah hanya ingin dibuai sentimen atau menyelesaikan isu sebenar kemelut ekonomi orang Melayu? Jangan kerana asyik bergaduh isu emosi, negara seperti Vietnam memintas kita dari aspek ekonomi dan Malaysia terus-menerus terpinggir kerana model ekonomi yang ketinggalan mahupun penyelewengan termasuk di dalam institusi yang menggunakan nama Islam.

Kita perlu membebaskan kelas 20 peratus teratas Melayu (T20) untuk bersaing dengan kaum-kaum lain sementara memberi sokongan kepada golongan miskin bandar, kaum tani dan pekerja bawahan yang majoriti besarnya orang Melayu dan Bumiputera. Golongan T20 Melayu tidak lagi patut mengambil banyak faedah untuk golongan pertengahan dan bawahan kaum mereka sendiri.

Via Etiqa

Kerajaan perlu fikirkan sama ada akaun-akaun ASB yang lebih daripada had pelaburan RM200,000 boleh melabur semula dividen atau hanya utamakan akaun-akaun dibawah nilai itu yang merupakan majoriti yang besar. Kini, pelaburan dihadkan pada RM200,000, tetapi akaun masih boleh memungut dividen yang dilaburkan di atas nilai tu, yang hanya memanfaatkan elit Melayu yang sangat kecil.

Tabung Haji juga wajar dihadkan sebagai simpanan haji pada kadar muassasah, bukan tabung pelaburan umum. Pada 2019 kos haji muassasah adalah RM22,900 dan subsidi Tabung Haji adalah RM12,920. Maka mereka yang menunaikan ibadah haji hanya perlu menabung RM9,980.

Cadangan yang macam ni mungkin akan cetuskan kontroversi

Kami yakin cadangan yang macam ni akan timbulkan kontroversi. Tapi jika kita tak bersedia berdepan dengan isu-isu ini secara jujur, lebih gemar membakar emosi untuk keuntungan politik jangka masa pendek, orang Melayu dan Islam biasa (baca: majoriti besar di antara kita yang berdebat di media sosial dan kedai mamak) akan terus ketinggalan.

Artikel ini ditulis oleh YB Nik Nazmi yang merupakan ahli Parlimen Setiawangsa. Laporan lelaki dipenjara pula diterbitkan oleh Harian Metro. Sebahagian daripada tulisan asal disunting oleh pasukan editorial ORANGKATA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *