Seruan Melayu bersatu? Ahmad Boestamam mintak anak muda bersatu…

A1

Pada tahun 1946, ada seorang pemuda Melayu yang mengarang sebuah buku kecil yang mengundang kemarahan penjajah. Antara seruan buku tu adalah; “menyatukan pemuda (Melayu) yang insaf dalam satu barisan”, “memperkukuh perpaduan pemuda-pemuda Melayu seluruhnya”, dan mengajak “perpaduan bangsa Melayu”.

Walaupun buku tu tak sampai 30 muka surat, ia benar-benar dapat perhatian penjajah, bukan setakat buku tu diharamkan, malah pemuda Melayu tu turut ditangkap dan dipenjarakan.

Ahmad Boestamam, nama yang sepatutnya dikenali oleh seluruh rakyat Malaysia…

Pemuda itu namanya Abdullah Sani bin Raja Kechil atau lebih dikenali oleh kita sebagai Ahmad Boestamam. Umurnya masa itu hanya 26 tahun. Buku kecilnya, Testamen Politik Angkatan Pemuda Insaf, jadi semboyan besar perjuangan mencapai kemerdekaan jauh sebelum parti-parti politik lain.
Ketika kesatuan orang Melayu lantang dikumandangkan hari ni, ada baiknya kita memandang amanat pejuang kemerdekaan ni.

Aq
Ahmad Boestamam. Via Amnaj

Generasi kita tidaklah terlalu istimewa dalam perjuangan agama, bangsa dan tanah air jika dibandingkan dengan datuk nenek kita yang bermandi darah keringat – krisis yang dihadapi mereka jauh lebih genting, perpaduan yang digarapkan jauh lebih terdesak.

Ahmad Boestamam sedar sejak dari awal lagi bahawa di bumi bertuah ni, nasib rakyat pelbagai kaum akan terikat bersama. Dia menulis;

“Kita harus mengetahui bahawa kita pemuda-pemuda Malaya sama ada Melayu, China, India atau lainnya tidaklah ada perbezaan-nya… sebab tu kita ada mempunyai tujuan yang sama iaitu menghapuskan angkara-angkara yang menghimpit kita itu…”

Perpaduan satu kaum sahaja tak akan bawa perjuangan ke mana-mana. Merujuk kepada penyatuan bangsa Indonesia, dia kata; “Jika saudara-saudara kita di Indonesia telah menyedari perlunya ada perikatan pemuda-pemuda segala bangsa apalah kita pemuda-pemuda Melayu tidak sedar lagi?… Maka demikian-lah pula kita. Kita mahu berikat dan bekerja sama dengan pemuda-pemuda segala bangsa yang ada di Tanah Melayu ini…”

Politik yang merdeka dan keadilan sosial akan membawa negara lebih maju…

Dia jugak ada wawasan global iaitu kesatuan pemuda-pemuda Asia dan sedunia agar keamanan dan keadilan dan demokrasi dapat dijamin di dunia ini.

Ahmad Boestamam sedar bahawa faktor penyatuan tak boleh bersandar pada warna kulit semata-mata. Sebabnya ada kalangan “pemuda-pemuda daripada bangsa Melayu sendiri, daripada adik abang kita sendiri” yang bersifat “reactioneer (batu api dan jelatang masyarakat)” yang berfahaman “fascist” (perkauman), yang antikemerdekaan, yang bersama perasuah dan penindas; penyatuan pemuda insaf tidak boleh bercampur dengan golongan ini.

A1
Ahmad Boestamam. Via Orang Perak

Dalam buku kecilnya, Ahmad Boestamam gariskan asas perjuangan dan tuntutan pemuda insaf. Asas perjuangan mereka ialah politik yang merdeka, ekonomi yang adil dan keadilan sosial. Politik yang merdeka bermaksud demokrasi tulen, satu pemerintahan yang datangnya dari rakyat, dijalankan oleh rakyat menerusi kerajaan yang dibentuk oleh wakil-wakil rakyat, untuk faedah, kebajikan dan keselamatan rakyat.

Ekonomi yang adil pulak ialah susunan ekonomi teratur yang bukannya untuk faedah satu dua orang atau satu dua puak sahaja tapi untuk faedah bersama – untuk faedah orang ramai atau rakyat jelata.

A4
Via Twitter

Keadilan sosial bermaksud tiada lagi pembahagian tingkatan yang diadakan oleh manusia yang di antara satu sama lain bertentangan dalam faedah, hak kepentingan dan kewajipannya terhadap negara.

Beberapa tuntutan turut disenaraikan seperti penghapusan pengangguran, melindungi hak pekerja termasuk pekerja perempuan, hak petani, hak berpolitik yang saksama, kebebasan bersuara, pendidikan percuma, hak belajar dalam bahasa sendiri (bahasa ibunda), gaji berpatutan untuk para guru, kemudahan perubatan percuma dan sebagainya.

Tabik! Via Giphy

Apa yang paling penting dalam masyarakat yang majmuk adalah keadilan dan toleransi

Gagasan pemikiran yang dibawa oleh Ahmad Boestamam sebenarnya sesuai diamalkan di Malaysia. Cuma ia perlukan kesedaran dan pengorbanan daripada semua rakyat Malaysia. Sejak PRU14 berakhir, kita dapat tengok kebangkitan beberapa kumpulan atas nama ‘kaum’ semakin meningkat. Sekali-sekala diorang menggunakan bahan kempen yang boleh menggugat keharmonian negara.

Barangkali idea Ahmad Boestamam belum boleh dilaksanakan sepenuhnya, oleh sebab tu; penting untuk kita sama-sama memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia – keadilan sosial dan tolensi penting jika negara ini ingin bergerak lebih jauh ke hadapan.

 

Artikel ini diambil dan disunting daripada artikel yang bertajuk Penyatuan Melayu – seruan Ahmad Boestamam, tulisan Steven Sim. Artikel asal diterbitkan di MalaysiaKini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *