Utusan hentikan operasi, nasib 800 pekerja bergantung pada pemilik baru

U8

Semalam Lembaga Pengarah Utusan Melayu Berhad (Utusan) ambik keputusan untuk menutup operasi syarikat tu. Dalam satu memo dalaman yang diedarkan kepada staf utusan, pengerusi eksekutifnya Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir kata Lembaga Pengarah Utusan telah luluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation).

U1
Via Awani

Langkah tu terpaksa diambil oleh kerana Lembaga Pengarah berpendapat bahawa syarikat tu tak lagi solven untuk teruskan perniagaan.

“Oleh yang demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuat kuasa pada Rabu, 9 Oktober 2019. Sehubungan dengan itu, tarikh akhir bekerja telah ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019 manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019,” – Memo dalaman untuk pekerja Utusan, seperti yang dilaporkan Astro Awani

Katanya diorang dah buat segala yang termampu, tapi hutang terlalu banyak

Syarikat tu sebelum ni dah buat segala yang terdaya bagi menyelamatkan penerbitan akhbar yang tertua di negara ini, namun kesemuanya menemui jalan buntu.

“Syarikat telah berusaha dengan menjual aset-aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai yang mencukupi. Namun edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo yang semakin menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan yang gagal dicapai menyebabkan aliran tunai Utusan semakin tenat,” – Abd Aziz, seperti yang dilaporkan UTUSAN

U2
Abd Aziz. Via MalaysiaKini

Bukan setakat gaji pekerja gagal dibayar ikut masa, malah hutang pun tak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak. Syarikat tu dah berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang-pemiutang.

Abd Aziz kata lembaga pengarah takde jalan lain melainkan menutup terus operasi dan meletakkan tumpuan kepada usaha menyelesaikan hutang.

Mohd Amar berseloroh, kata harap peminat Utusan akan beli Harakah lepas ni…

Susulan penutupan operasi akhbar Utusan Malaysia, Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah turut menyatakan rasa simpati dan sedih terhadap nasib yang menimpa kakitangan syarikat itu.

“Ya saya simpati, cuma kita harap peminat Utusan beli Harakah lepas ini,” katanya dengan nada berseloroh ketika ditemui wartawan MalaysiaKini

U3
Via MalaysiaKini

Satu lagi akhbar terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Kosmo! turut ditimpa nasib yang sama. Sementara tu, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan kata; Utusan Malaysia ada sejarah panjang yang mewakili suara orang Melayu.

Dia pun rasa simpati dan sedih apabila terpaksa Utusan ditutup operasinya, tapi nak komen banyak pun dia tak boleh disebabkan benda ni benda perniagaan. Ditanya kemungkinan Harakah akan luaskan liputannya kepada lebih umum, Mohd Amar kata lidah rasmi PAS tu akan cuba pelbagaikan laporan berita.

Harakah. Via MalaysiaKini

Menurutnya Harakah memang akhbar parti. Memang diorang cuba pelbagaikan berita tapi lesen diorang hanya untuk warga parti. Tujuan utama lebih kepada aktiviti parti.

Utusan akan terus hidup, tapi macam mana rupanya bergantung pada pemilik baru

Dalam kegelapan, mungkin ada sedikit harapan. Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd Abdul Aziz Sheikh Fadzir kata Utusan Malaysia akan terus “hidup” memandangkan firma yang dikaitkan dengan jutawan Syed Mokhtar Albukhary tu merancang untuk lancarkan sebuah penerbitan baru dengan menggunakan lesen percetakannya.

U5
Via MalaysiaKini

Firma Aurora Mulia Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Syed Mokhtar, telah memperolehi kepentingan pegangan 70 peratus dalam Dilof Sdn Bhd, syarikat induk yang pegang lesen percetakan Utusan. Tapi, pengambilalihan Syed Mokhtar adalah khusus untuk lesen Utusan dan bukannya mengambilalih kumpulan Utusan Melayu Bhd secara keseluruhan.

Utusan telah mulakan pembubaran secara sukarela selepas tak dapat bayar hutang, serta bayar gaji pekerjanya selama beberapa bulan.

“Utusan akan terus hidup. Kami membubarkan syarikat induk tetapi pemilikan lesen percetakan (telah) diperolehi oleh Aurora Mulia dan mereka akan melancarkan penerbitan (baru) dalam masa terdekat,” kata Abdul Aziz seperti yang dilaporkan oleh The Edge Markets.

U7
Via MalaysiaKini

Tak jelas sama ada penerbitan baru di bawah Syed Mokhtar akan gunakan nama Utusan atau tak. Nasib lebih 800 pekerja Utusan masih tak diketahui. Abdul Aziz dalam laporan tu ditanya sama ada penerbitan baru akan bawa mereka bersama tapi dia kata benda ni terserah kepada pemilik baru tu. Berikutan pengambilalihan tu, Dilof dinamakan semula sebagai Media Mulia Sdn Bhd.

Nasib pengamal media yang tersepit, moga mereka dipermudahkan mencari pekerjaan baru…

Sektor media terutamanya bahagian pencetakan ni dah semakin sempit; tak kiralah industri akhbar atau buku, kedua-duanya semakin merudum. Dalam erti kata lain, tentu mencabar untuk pengamal media yang kehilangan kat Utusan nak cari kerja dalam sektor yang sama. Mereka tersepit akibat ‘pemilik dahulu’ yang menentukan ‘editorial direction’ yang akhirnya memakan diri. Apabila kalah besar, Utusan dibawa bersama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *