Kedah bertukar kerajaan, Mukhriz beranggapan Najib jadi watak utama kejatuhannya

F1

Semalam Datuk Seri Mukhriz Mahathir umumkan letak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah. Peletakan jawatan tu membawa kepada pembubaran pentadbiran kerajaan negeri yang disertai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) Kedah dari kerajaan Pakatan Harapan dan Bersatu.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tu kata, dia dimaklumkan dah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kedah.

“Pagi ini saya telah sembah maklum kepada Tuanku Sultan bahawa atas sebab saya telah kehilangan kepercayaan majoriti dalam kalangan ADUN, maka dengan ini saya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman berkuatkuasa serta merta. Saya doakan mudah-mudahan Allah terus mengekalkan keamanan dan memakmurkan negeri dan rakyat Kedah dengan penuh keberkatan, keredhaan dan kerahmatan hendaknya,” – Mukhriz melalui sidang medianya, seperti yang dilaporkan AWANI

Sebelum ni, 23 ADUN Kedah telah membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) iaitu 15 dari Pas, 4 dari Bersatu, 2 dari Barisan Nasional (UMNO) dan 2 Bebas.

Selain meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah, Mukhriz turut lepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang telah disandangnya sejak 2018. Pada Jumaat lepas, semua 36 ADUN di Kedah telah menghadap Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berhubung kedudukan terkini kerajaan negeri Kedah.

F12
Sidang medianya beberapa hari lepas. Via PAN

Ia selepas tindakan 2 ADUN PKR yang mengumumkan letak jawatan dan bergelar ADUN Bebas, sekali gus kerajaan Pakatan Harapan campur Bersatu Kedah hilang sokongan majoriti.

Muhammad Sanusi dilantik sebagai MB Kedah yang baru setelah Sultan Kedah adakan perjumpaan

Semalam, Muhammad Sanusi Md Nor dinamakan sebagai Menteri Besar Kedah ke-14. Perkara tu diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim pada satu sidang media di Wisma Darul Aman.

Lanjutan dari peletakan jawatan tu, Tuanku Sultan Kedah perkenankan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri sebagai menteri besar baru. Ini kerana, dia pada hemat baginda telah dapat sokongan majoriti ADUN mengikut peruntukan di bawah Perkara 35 dan 37(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah.

Dia turut maklumkan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dah adakan perjumpaan dengan semua ADUN pada 15 Mei lalu dan dapati Mukhriz dah takde kepercayaan majoriti ADUN.

“Baginda telah berkenan menerima peletakan jawatan Mukhriz sebagai menteri besar serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada hari ini selaras dengan Perkara 37(6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah,” – Ammar, seperti yang dilaporkan AWANI

Bagi Mukhriz, Najib dah jadi watak utama kejatuhan dirinya, walaupun arahan dari orang lain

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa jadi dalang di sebalik tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Kedah selain menyebabkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir hilang jawatan sebagai Menteri Besar buat kali kedua.

Menurut Mukhriz, sekalipun arahan untuk jatuhkan dirinya sebagai Menteri Besar datang dari Perdana Menteri, namun, Najib dikatakan adalah sosok di belakang plot tu.

“Walaupun arahan untuk menjatuhkan saya di Kedah datang daripada Presiden Bersatu melalui (Datuk Seri) Hamzah Zainuddin (Setiausaha Agung Bersatu), tetapi protagonis sebenar masih orang yang sama dengan dulu iaitu Najib Razak.

Tujuannya tidak lain tidak bukan semata-mata membebaskan dirinya daripada pertuduhan pecah amanah 1MDB, SRC International dan banyak lagi skandal mega yang mencemar nama baik Malaysia di persada dunia. Lihat saja apa sudah jadi pada kes pengubahan haram pada anak Rosmah Mansor iaitu Riza Aziz yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pendakwaan jenayah itu,” – Mukhriz, seperti yang dilaporkan AWANI

F12
Shhhh…Via KYM

Lepas tu ada khabar angin yang kata, selepas Kedah, ada lagi negeri yang dijangka akan lakukan pertukaran pentadbiran untuk bentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN). Membayangkan kemungkinan tu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa kata, apa yang berlaku di Kedah merupakan proses memantapkan politik supaya semua kerajaan negeri dapat bekerja dalam satu pasukan.

“Ia adalah sebahagian matlamat PN untuk kukuhkan politik dan tidak berhenti setakat Kedah sahaja, mungkin ada satu dua negeri nak ikut (tukar kerajaan) Kedah kita alu-alukan tukar kerajaan kepada PN. Kerajaan PN yang sudah terbentuk macam (di) Perak, Johor, Melaka adalah masa bekerja… untuk Kedah masuk fasa baharu, MB (Menteri Besar) baharu akan disokong. Parti yang tak tukar lagi, kena bersiap untuk kita tukar budaya kerja,” – Annuar, seperti yang dilaporkan Awani

Menteri Wilayah Persekutuan tu turut kata Mukhriz Mahathir dah jalankan tugas dan khidmat selama 23 bulan, tapi kaedah yang digunakannya tak berjaya untuk pertahankan kerajaan Pakatan Harapan Kedah.

Sejarah akan mengingati penggal kali ni dengan penuh “katak” yang bersedia melompat ke sana dan ke mari

Ia amat buruk untuk amalan demokrasi kita apabila mandat yang diberikan ketika pilihan raya boleh beralih dengan sekelip mata. Kalau macam ini cara kita berpolitik, nampaknya negara kita tidak akan bergerak lebih maju ke hadapan, lebih-lebih lagi dalam aspek kematangan politik. Selepas ini perniagaan yang paling beruntung adalah menjual orang – menjual Ahli Parlimen dan ADUN yang rakus kuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *