Sebelum ni, kita dah biasa nampak lukisan komik satira Zunar pasal mantan Perdana Menteri Najib dengan isterinya. Zunar sampai kena tangkap pasal lukisan dia. Kali ni Zunar, atau nama penuhnya, Zulkiflee Anwar Haque dah keluarkan buku baharu.
Tak macam dulu, kali ni lebih kepada dokumentasi terhadap dirinya
Bila ditanya kenapa Zunar tak nak terbit dulu buku komik satira macam biasa, dia kata dia nak buat dokumentasi pasal dirinya. Dia nak ingat balik apa yang dah berlaku kat dirinya terutamanya sejak 10 tahun lalu. Buku ni, sambungnya lagi, bukan nak dijadikan semata-mata biografi atau sejarah – sebenarnya buku tu nak ceritakan kisahnya melawan regim kerajaan lalu pakai kartun.
Sejak 2009, Zunar dah biasa kena serbu oleh pihak berkuasa. Masa tahun 2010 dan 2011 pula, karya penerbitannya diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri. 3 tahun kemudiannya lagi teruk. Pada 2014, bukan saja dia disoal siasat oleh polis malah semua pembantunya ditahan dan pengurus laman webnya pun disoal siasat. Dalam tahun yang sama, pihak polis dah keluarkan arahan untuk pihak yang urus transaksi dalam talian ke Zunar.my agar dedahkan senarai nama pembeli karya Zunar.
Tahun 2015 pun bukan tahun yang bertuah untuk Zunar. Karyanya ‘Pirates of the Carry-BN’ ‘Conspiration to Imprison Anwar’ dan ‘ROS di Kangkong Land’ dirampas dari kilang pencetak serta diharamkan sekali lagi. Siap kena dakwa di bawah Akta Hasutan dengan hukuman 43 tahun penjara!
Zunar mintak Akta Hasutan dihapuskan, dan akan terus kritik kerajaan
30 Julai 2018 adalah tarikh bebasnya Zunar dari semua dakwaan dan sekatan ke atas dirinya dan karyanya. Sebagai kartunis dalam Malaysia Baharu, Robert Russel yang merangkap pengarah eksekutif Cartoonists Rights Network International berharap Zunar tetap ikut falsafah utamanya: “How Can I be Neutral, Even My Pen Has a Stand”.
Sejak dilepaskan dari sebarang dakwaan, Zunar dah awal-awal minta kerajaan baharu ni supaya mansuhkan Akta Hasutan dan buat banyak pembaharuan yang bermakna untuk negara. Dia akan terus jadi pengkritik tak kira siapapun yang memerintah. Anwar Ibrahim pun dah bagi ‘lampu hijau’ supaya Zunar terus jadi pemerhati kerajaan, siap minta para pemimpin Harapan supaya terus terbuka terima kritikan.
Setakat ni, Zunar dah selamat pamerkan 202 karya di Balai Seni Lukis Pulau Pinang bermula 7hb hingga 28 Mei lalu. Pameran terakhirnya di KOMTAR pada 2016 diakhiri dengan 20 karyanya terpaksa diturunkan lepas didesak Ketua UMNO Pulau Pinang masa tu, Rafizal Rahim.
Oleh sebab dah famous, ramai yang buat karya tiruan
Oleh sebab Zunar ni dah kira tokoh pengkritik tegar yang ‘power’, ada pulak kes pemalsuan karya-karyanya di Internet. Benda ni Zunar dah lapor kat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan diberikan amaran terbuka pada pesalah-pesalah ni. Jadi korang, terutamanya peminat karya Zunar kena semak dulu kalau lukisan tu betul-betul dari Zunar.
Kami pun harap Zunar terus maju jadi kartunis yang dah banyak berkarya untuk masyarakat. Jangan lupa dapatkan buku terbaharunya, ‘Fight Through Cartoons’ di gedung buku terpilih. Harganya cuma RM59 je. Nak lagi istimewa, terus beli dari laman web rasminya www.zunar.my/shop. Dah ada kat sana, banyak lagi produk menarik dari Zunar macam gelas, t-shirt dan banyak lagi!