Bukan setakat KELANTAN, di negara maju pun ada isu penindasan orang asli

S1

Bila kita sembang tentang negara maju, pastinya yang terlintas dalam kepala kita beberapa nama negara maju yang kita tahu. Selain faktor perkembangan teknologi yang canggih dan terkini, mentaliti dan sikap rakyat negara maju selalu dipuji. Contohnya, macam Jepun. Sebut saja Jepun kita akan teringat pada sikap rajin dan pembersih rakyat negara tu.

Siti Kassim
Siti Kassim vs tokey balak – via MalaysiaKini

Tapi, negara-negara maju ini bukanlah sempurna. Kalau di Malaysia, isu orang asli di Kelantan memang menjadi bualan hangat, lagi-lagi selepas peguam Siti Kassim terlibat dalam kes ni. Rupa-rupanya, bukan Kelantan je yang ada isu berkait dengan orang asli ini. Negara-negara maju macam Jepun, Amerika Syarikat dan Australia juga sama!

1. Jepun mendiskriminasikan suku Ainu, sampai hari ini identiti mereka kian pupus…

Ramai yang menyangka negara Jepun hanya terdiri daripada satu jenis kaum saja. Itu tak tepat. Seperti juga negara-negara lain, di Jepun juga terdapat suku orang Asli seperti suku Ainu. Jepun yang kita lihat pada hari ini ialah hasil daripada perubahan yang dilakukan pada zaman Maharaja Meiji.

Meiji
Maharaja Meiji, Jepun – via Wikipedia

Kalau orang cakap orang Jepun sangat menepati masa, memang ya, tapi bukan sejak azali diorang bersikap sedemikian. Pada era Meiji inilah proses pemodenan Jepun begitu rancak berjalan. Apatah lagi selepas Perang Dunia Kedua, Jepun bersungguh-sungguh nak bangkit memajukan negara mereka.

Ainu2
Suku Ainu pada zaman dahulu – via Curiosity.com

Malangnya, proses pemodenan Jepun ini telah memaksa suku Ainu berasimilasi dengan kaum dominan di Jepun dan mereka kehilangan tanah adat mereka sendiri. Ini semua berlaku kerana kerajaan Jepun menganggap suku orang Asli ini tidak bertamadun dan Akta Perlindungan Orang Asli Hokkaido telah dipinda. Kenapa akta ini dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi?

Kerana melalui akta inilah, orang Ainu dipaksa melupakan bahasa mereka sendiri, diwajibkan bertutur dalam bahasa Jepun dan meninggalkan segala adat resam mereka. Mereka juga mesti mengamalkan budaya Jepun, sekiranya enggan, mereka akan disisihkan. Sudahlah identiti mereka cuba dihapuskan oleh kerajaan, mereka juga kehilangan pekerjaan tradisi seperti berburu dan menangkap ikan kerana kerajaan Jepun memaksa mereka bercucuk tanam sebagai petani.

Ainu
Antara pakaian tradisi suku Ainu di Jepun – via whitewolfpack.com

Walaupun Jepun dah hapuskan akta zalim ini pada 1999, tapi luka lama yang dah membarah dalam masyarakat orang Asli ini sukar untuk disembuhkan. Kesannya, bahasa suku Ainu boleh dikatakan hampir pupus sebab bilangan orang yang boleh bertutur dalam bahasa ini boleh dibilang dengan jari saja. Penghapusan akta itu tidak bermakna Jepun iktiraf kedudukan orang asli.

Hanya pada awal tahun 2019, baru Jepun nak iktiraf suku Ainu. Bayangkan, lebih 20 tahun!

2. Orang Asli Amerika, dari sejarah berdarah sehingga pengusiran zaman moden…

Kalau Jepun diskriminasi suku Ainu, Amerika Syarikat pulak ada sejarah panjang dengan suku-suku orang aslinya. Ibarat susu dibalas tuba, itulah apa yang berlaku dalam sejak kedatangan kaum Eropah ke benua Amerika. Dahulu, masa orang Eropah baru masuk Amerika, suku orang Asli sambut baik kedatangan mereka dan siap tak kacau langsung kalau mereka nak teroka tanah di Amerika. Tapi apa yang kaum pendatang dari Eropah buat selepas itu?

Carl Lumholtz: <i>tarahumara Woman Being Weighed</i>, Barranca De San Carlos (sinforosa), Chihuahua, 1892; From <i>among Unknown Tribes: Rediscovering The Photographs Of Explorer Carl Lumholtz</i>. The Book Includes Essays By Bill Broyles, Ann Christine E
Perempuan dari suku orang Asli yang ditawan dalam sejarah Amerika – via nybooks.com

Mereka jadi tamak. Bukan setakat melobi sumber bumi dari Amerika, mereka tawan orang Asli seperti Red Indian dan jadikan mereka hamba! Kemudian terjadilah beberapa siri peperangan antara orang asli dengan pendatang Eropah ini. Tak cukup dengan perang guna senjata api, senjata biologi juga turut digunakan untuk hapuskan orang Asli di Amerika Syarikat.

Red Idian 2
Kononnya orang putih nak berdamai dengan orang Asli – via History.com

Cara mereka gunakan senjata biologi ialah mereka konon-kononnya nak berdamailah dengan orang Asli. Tapi selepas sesi berdamai, mereka bagi hadiah selimut yang dah dijangkiti wabak cacar kepada orang Asli. Disebabkan serangan biologi juga, semakin ramai orang asli yang mati dan populasi mereka mulai berkurangan. Demikianlah, akhirnya orang Eropah berbondong-bondong pindah ke benua Amerika.

Itu cerita sejarah mereka. Tapi pada era memasuki zaman moden (abad ke 18-19), orang Asli yang masih ada tak lagi dibunuh secara fizikal, tapi mereka menerima nasib yang sama dengan suku Ainu di Jepun, iaitu proses asimilasi. Tak cukup dengan asimilasi, mereka juga dipindahkan ke wilayah terpencil oleh kerajaan Amerika pada waktu itu. Di wilayah-wilayah ini pula, kehidupan orang asli taklah bertambah baik pun, malah mereka turut menderita dek kemiskinan pula.

Red Indian3
Akta Penyusunan Semula Red Indian 1934 diluluskan dengan disaksikan oleh wakil orang Asli Amerika – via History.com

Hari ini, mungkin Amerika kelihatan ‘sedikit baik’ berbanding Jepun terhadap orang Asli mereka kerana pengiktirafan orang Asli di Amerika berlaku lebih awal berbanding Jepun. Tapi sejarah penderitaan orang asli di Amerika tidak pernah terpadam.

3. ‘Stolen Generation’, anak-anak Orang Asli Australia yang ‘diculik’ demi sebuah asimilasi

Apa yang Amerika lakukan pada orang asli mereka, itulah juga yang dilakukan oleh Australia. Cuma caranya sedikit berbeza. Ya, mereka juga cuba melakukan pembersihan etnik (genocide) seperti Amerika dengan menyebarkan penyakit dan merampas tanah adat, tapi ada satu lagi yang mereka lakukan…

Stolen Gen2
‘Stolen Generation’ yang dipisahkan dari ibu bapa kandung mereka. Mereka dididik untuk tujuan asimilasi dengan warga kulit putih Australia – via abc.com

Sampai ke pertengahan abad ke-20 pun, masih ada orang Asli di Australia yang tak dapat kerakyatan  Australia padahal mereka telah hidup sejak sebelum kedatangan penjajah Inggeris lagi! Bukan sahaja tidak mengiktiraf kerakyatan orang asli, mereka turut menangkap anak-anak orang Asli yang baru lahir dan dibesarkan oleh keluarga berbangsa Eropah.

Tujuannya adalah untuk asimilasikan anak-anak ini. Padahal, ramai dari anak-anak ini akhirnya menjadi buruh kasar dan pekerja domestik di tanah tumpah darah mereka sendiri. Generasi yang ditangkap oleh kerajaan Australia ini digelar sebagai ‘The Stolen Generation‘.

Aus
PM Australia minta maaf pada ‘Stolen Generation’ – via YouTube NowThis World

Seperti juga Obama, PM Australia Kevin Rudd pernah minta maaf sebab kerajaan ‘culik’ anak-anak orang Asli ini. Tapi, biarpun perkataan maaf itu besar ertinya, adakah ia cukup? Cukupkah sekadar maaf tanpa polisi dan pengiktirafan hak orang Asli? Cukupkah maaf kalau sifat rasis dan diskriminasi masih wujud dalam diri setiap warga kulit putih Australia?

Apa dosa Orang Asli? Kenapa diorang ni selalu ditindas?

Penindasan demi penindasan. Pengusiran, penghapusan identiti dan jati diri malah pembunuhan tiap orang asli dalam sejarah ini buat kita tertanya… apa dosa orang Asli? Ia bukan saja berlaku di Kelantan, hatta di negara maju juga. Walaupun kita melihat setiap negara yang disebutkan di sini telah meminta maaf pada orang Asli mereka, tapi ia takkan mampu memulihkan kerosakan yang telah berlaku sejak puluhan malah ratusan tahun lamanya…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *