Hari ni kita cuti, ini sejarah Hari Buruh yang sepatutnya diketahui oleh semua pekerja

F1

Korang tahu tak sebenarnya hari ni adalah cuti umum – Hari Buruh. Oleh sebab kita tengah berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang tak sedar. Memandangkan hari ini adalah Hari Buruh, dan banyak isu berkaitan pekerjaan tengah berlaku; kami rasa artikel ni kami perlu terbitkan semula – bolehlah korang baca sambil lepak dekat rumah. Semua ini bermula apabila…

Pekerja dipaksa bekerja selama 12 jam sehingga 14 jam, bayangkanlah betapa penatnya mereka

Sambutan “May Day” ini telah bermula di Amerika Syarikat pada sekitar tahun 1880. Masa tu Amerika Syarikat sedang berada dalam zaman Gilded Age (1865-1900), merupakan satu zaman yang terkenal dengan amalan sistem ekonomi laissez faire yang mana pihak kerajaan tidak boleh campur tangan dalam ekonomi. Dengan amalan tersebut industri telah berkembang dengan pesat dan negara Amerika Syarikat telah menjadi kuasa ekonomi terbesar di dunia.

Via CCU

Pada masa tu peranan kerajaan pusat sangat lemah yang mana telah membolehkan pihak golongan kapitalis untuk menguasai ekonomi. Untuk menghasilkan keuntungan yang maksimum, para pekerja kilang telah dipaksa untuk bekerja dari 12 jam sehingga ke 14 jam malahan ada yang sampai 16 jam sehari. Dan tiada hari cuti diberikan.

Masa tu juga takda satu undang-undang pun yang mewajibkan kanak-kanak untuk bersekolah makanya pekerja kanak-kanak ataupun bawah umur pada masa tu adalah satu perkara biasa. Sadis tak?

Peristiwa Haymarket kemuncak antara kapitalis dan para pekerja

Para pekerja kilang yang telah sedar akan penindasan tersebut telah memperjuangkan idea bekerja selama 8 jam sahaja sehari (eight hours labour, eight hours recreation, eight hourst rest). Untuk memperjuangkan hak tersebut, mereka telah mogok dan berarak di jalanan yang kebiasaannya mereka akan dipukul dan ditembak oleh polis upahan kapitalis yang digelar sebagai “Pinkerton Guards”.

Via History.com

Kemuncak konflik antara pihak kapitalis dan para pekerja ialah pada Peristiwa Haymarket (Haymarket Affair) yang telah berlaku pada 3-4 Mei 1886. Semasa para pekerja berarak di Haymarket Square Chicago untuk menuntut tempoh masa bekerja selama 8 jam sehari, golongan anarkis telah meletupkan bom dan mengorbankan beberapa anggota polis serta orang awam pada masa itu.

Berikutan daripada peristiwa tersebut, ramai pemimpin kesatuan pekerja yang telah ditangkap dan dihukum bunuh.

Tarikh 1 Mei dipilih sebagai memperingati Peristiwa Haymarket

Pada tahun 1888, Pihak Persatuan Buruh Amerika (American Federation of Labour) telah memilih tarikh 1 Mei sebagai memperingati Peristiwa Haymarket. Pekerja kilang hanya akan bekerja selama 8 jam sahaja pada hari tersebut sebagai tanda protes.

Gabungan Sosialis Sedunia (Second International) telah menyambut tindakan tersebut dan pada tahun 1889, tarikh 1 Mei telah ditetapkan sebagai Hari Pekerja Antarabangsa (International Workers Day).

Nasib buruh di Amerika telah berubah setelah munculnya seorang presiden yang bernama Teddy Roosevelt (1901-1909). Roosevelt pada masa itu dengan beraninya telah menguatkuasakan waktu bekerja hanya 8 jam sehari sahaja untuk buruh wanita dan dia juga mengharamkan pekerja kanak-kanak serta mengenakan kawalan undang-undang kepada syarikat-syarikat besar (trust).

Roosevelt dipengaruhi oleh pemikiran progresif “New Liberalism” yang telah dibawa oleh para pemikir seperti Herbert Croly. Berbeza dengan “Old Liberalism” atau “Classical Liberalism” yang melarang pihak kerajaan campur tangan dalam urusan ekonomi. Para pendukung “New Liberalism” melihat kerajaan berperanan untuk menegakkan keadilan antara pihak kapitalis dan pihak pekerja.

Via Trbimg

Dia melihat ideologi liberal yang dogmatik hanya akan menghakis keyakinan orang ramai terhadap sistem politik demokrasi dan sistem ekonomi pasaran dan memberi ruang kepada gerakan kiri iaitu sosialis, komunis dan anarkis untuk menunggang isu-isu yang berkaitan dengan kebajikan para buruh.

Tun Dr. Ismail mengumumkan 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan cuti umum

Sambutan Hari Pekerja di Malaysia juga ada kaitan dengan paradigma dalam pemikiran pemimpin. Hari Pekerja tidak diiktiraf sehinggalah pada 20 Mei 1972, Tun Dr. Ismail telah mengumumkan 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan sebagai cuti umum.

Sebelum itu, idea sambutan Hari Pekerja telah ditentang dengan hebat kerana kerajaan mengamalkan sistem ekonomi laissez faire dan dikhuatiri 1 Mei akan menjadi tunggangan oleh pihak golongan kiri iaitu sosialis dan komunis.

Via FMT

Pengumuman Tun Dr. Ismail dibuat kerana pemikiran Tun Abdul Razak yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu berbeza dengan elit lama di era Tunku Abdul Rahman. Semasa Tun Razak belajar di London, beliau telah menghadiri sebuah kuliah Harold Laski di London School of Economics dan telah menyertai Persatuan Fabian (Fabian Society) dan juga Parti Buruh (Labour Party).

Pengalaman Tun Razak sedikit sebanyak telah mendedahkan dia kepada idea-idea sosialisme. Walaupun dia bukan seorang sosialis, namun idea sosialisme tentang keadilan sosial, kesamarataan dan hak buruh telah melekat pada dirinya dan mempengaruhi halatuju corak pemerintahannya. Maka tidak hairanlah kalau dia lebih akomodatif dengan tuntutan sambutan Hari Pekerja yang sering dikaitkan dengan gerakan kiri.

Via Tenor

Hah, korang semua tengok tak bertapa gigihnya perjuangan golongan buruh terdahulu untuk memperjuangkan hak mereka? Korang pun kena tahu hak korang tau sebagai pekerja dan dalam krisis pandemik COVID-19 ni, korang kena pastikan yang hak-hak korang masih lagi dijaga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *