Beberapa minggu lepas kecoh pasal penganjuran Malaysia Tattoo Expo 2019 kat Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 29 November hingga 1 Disember lepas. Acara ni menghimpunkan peserta dari 35 negara, dengan penganjuran pada 2015, 2016 dan 2017 sebelum ni diadakan kat Sabah.
Ada yang kata penganjuran program ni boleh menarik pelancong. Padahal, nak tarik pelancong ni banyak je tempat-tempat menarik untuk diorang lepak, setakat nak bertatu tak perlu ekspo pun diorang datang. Satu lagi isu bila ada penggunaan nama kementerian pada poster program tu.
Malah, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pun tak ketinggalan terkejut dengan laporan peragaan separuh bogel sempena ekspo tu. Dalam entri katakaun Twitter, baginda memuat naik kenyataan mempersoalkan tindakan penganjuran acara tu. “Allah akbar… apa nak jadi ni!” titah baginda dalam entri yang dimuat naik tu.
Kementerian Pelancongan kata nak siasat benda tu, sebab tak gambarkan wajah sebenar Malaysia
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammaddin Ketapi dah arahkan tindakan sewajarnya diambil ke atas penganjur. Dia nafikan kementerian luluskan program tu. Dia kata, acara tu dah melanggar tatasusila masyarakat sekali gus tak mempamerkan wajah sebenar Malaysia.
Di Malaysia, tatu secara etnik dan budaya sering dikaitkan dengan akar masyarakat Dayak, Dusun, Murut, Kayan dan Siam. Sebab tu ada yang marah dan terasa hati bila silap faham – diorang ingatkan bantahan terhadap penganjuran program tatu tu sebab menentang budaya dan adat diorang, yang dah diamalkan sejak sekian lamanya.
Tatu tu tak salah pun, yang salahnya bila sampai sekadar bercawat dan hampir-hampir masuk kategori tanpa seurat benang – bogel. Ini yang dipertikaikan banyak pihak, terutama netizen Malaysia ni amat sensitif dengan benda macam ni.
Ada yang sebut, program tu dibuat secara tertutup, jadi tu hak diorang nak pakai baju ke tak. Tapi, betul ke tertutup? Sebab yang sebarkan gambar, selain pengunjung dan peserta adalah penganjur program tu sendiri, dan dimuatnaik ke laman media sosial rasmi diorang sendiri. Malah, tak ditulis pun ‘disclaimer’ pada poster rasmi yang program tu adalah tertutup.
Bagi yang pertahankan acara ni kena faham, yang bangkang program ni sebab nak tekankan rasa hormat dan sensitiviti kaum serta agama lain. Ini kuncinya – hormat. Dalam Rukun Negara pun disebut dengan jelas – Kesopanan dan Kesusilaan.
Dulu-dulu kat Jepun, penjenayah akan dikenali melalui tatu…
Akar tatu kat Jepun ni bermula daripada ‘irezuma’, tatu tradisional Jepun yang muncul sejak ratusan tahun lepas dan dulunya dijadikan sebagai seni. Pada tahun 1720, Kerajaan Jepun memutuskan untuk tak lagi menghukum pesalah jenayah dengan memotong hidung atau telinga, tapi mencacah tatu kat tangan atau dahi diorang, supaya dikenali sebagai seorang penjenayah.
Pada Kurun Ke-19, ketika Jepun mengalami pelbagai perubahan, muncul geng-geng samseng Yakuza. ‘The Japan Times’ cuba meredakan isu ni dengan menyatakan bahawa lebih kurang 50,000 orang telah meninggalkan Yakuza sejak 2011. Sebelum ni, pelancong yang bertatu tak dibenarkan untuk mandi di kolam air panas (onsen) oleh pemilik premis kat Jepun, sampai agensi pelancongan Jepun terpaksa meminta para pemilik untuk melonggarkan sikit peraturan diorang.
Pada tahun 2018, Kementerian Sukan kat Jepun mengeluarkan saranan kepada pemain-pemain yang menyertai Piala Dunia Ragbi 2019 untuk menutup atau melindungi tatu kat badan diorang supaya menghormati budaya tempatan. Tatu merupakan satu taboo kat Jepun, sebab kebanyakan kumpulan penjenayah Yakuza atau kongsi gelap kat sana memang guna tatu sebagai identiti diorang.
Lebih 200 negara akan diwakili oleh 11,000 atlet yang bertanding kat sana. Dengan lebih 400,000 orang peminat ragbi akan memenuhi bumi Tokyo selama 6 minggu, secara logiknya mestilah penganjur akan utamakan keuntungan. Tapi, kerana hormat dan sensitiviti, pihak penganjur tetap berikan arahan kepada pasukan bertanding dan peminat yang nak datang ke sana.
Kat Jepun, seorang daripada 200 orang mempunyai tatu, manakala kat United Kingdom pulak, seorang daripada 3 orang ada dakwat yang dicacah kat badan diorang. Untuk negara di Lautan Pasifik dan New Zealand, tatu Maori pada lengan gambarkan hirarki serta status pahlawan kat sana sejak 2,000 tahun lepas. Tapi, pasukan-pasukan dari sana tetap hormat budaya kat Jepun.
Mengetahui sensitiviti setempat penting untuk jaga keharmonian…
Isu penganjuran tatu ni cumalah salah satu contoh – bagaimana penganjur yang tak faham atau pura-pura tak faham dengan kepentingan menjaga sensitiviti setempat. Sebab tu kami pun selalu tulis – jangan buat benda yang tak wajar, kemudian apabila dapat kecaman – rasa diri teraniaya. Kalau betul nak buat sesuatu yang di luar norma masyarakat Malaysia, analisis yang rapi perlu dilakukan, supaya apa jua masalah yang dihadapi dapat diatasi.