Beberapa tahun selepas Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (1836-1914) terpaksa menandatangani perjanjian pada tahun 1888 – untuk minta British berikan perlindungan kepada Pahang seperti mana perlindungan yang diberikan ke atas Perak, Selangor dan Sungai Ujong, Negeri Sembilan.

Mat Kelubi pengikut setia Bahaman, Tok Gajah serta anaknya Mat Kilau

John P. Rodger dilantik sebagai Residen Inggeris pertama di Pahang dan dari sini bermulalah campur tangan Inggeris secara langsung dalam hal-hal pentadbiran, politik dan ekonomi negeri Pahang. Di Perak pada tahun 1875, seorang Residen Inggeris, J.W.W.  Birch telah mati dibunuh.

Selepas 13 tahun peristiwa pembunuhan di Pasir Salak, Perak, cengkaman Inggeris semakin kuat di Tanah Melayu. Sultan Ahmad tidak mampu lagi menolak walaupun para pembesar Pahang seperti Datuk Bahaman, Maharaja Perba Jelai (Tok Raja), Datuk Orang Kaya Chenor dan Imam Perang Indera Gajah (Tok Gajah) meminta baginda menolak permintaan Inggeris dan bersedia berperang dengan Inggeris.

Via KOSMO

Dalam gerakan menentang Inggeris, Mat Kelubi atau Mamat Kelubi ialah seorang pengikut setia Bahaman, Tok Gajah serta anaknya Mat Kilau.

Kesetiaan Mat Kelubi bermula semasa Bahaman, Orang Kaya Semantan, dilantik oleh Sultan Ahmad sebagai Orang Besar Daerah dengan kuasa pentadbiran di Sungai Semantan, Temerloh hingga ke Jeram, Bentong. Bahaman telah melantik Mat Kelubi sebagai panglimanya sendiri.

Dengan pelantikan tu, Mat Kelubi bertanggungjawab sebagai ‘Kapit’ (pengawal peribadi) kepada Bahaman. Nama sebenar Mat Kelubi ialah Awang Ahmad dan dia merupakan anak saudara Tok Gajah. Maksudnya Mat Kelubi ialah sepupu Mat Kilau, seorang pahlawan terkenal Pahang yang dilahirkan pada tahun 1865, terlibat dalam gerakan menentang Inggeris dan menyembunyikan identitinya sehingga tahun 1969 pada usia 104 tahun.

Dato’ Bahaman. Via Seni Beladiri

Pada awal pergolakan di Pahang setelah kedatangan Inggeris, Mat Kelubi hampir membunuh seorang pegawai Inggeris yang terlibat dalam satu pergaduhan dengan Bahaman pada Oktober 1891 ekoran  keengganan Bahaman membenarkan Inggeris membuka lombong bijih di Semantan. Tapi tindakan tu dilarang oleh Bahaman yang tidak mahu persengketaan berlarutan.