Akmal Rizal, legenda bola sepak Malaysia yang semakin dilupakan

Akmal Rizal, legenda bola sepak Malaysia yang semakin dilupakan

Apabila kita sebut tentang nama-nama legenda pemain bola sepak negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli adalah nama yang wajib ada dalam senarai tu. Akmal Rizal yang dilahirkan pada 12 Disember 1981, merupakan seorang pemain bola sepak Malaysia yang pernah berkelana ke Eropah. Beliau yang mesra dengan panggilan ‘Dek Man’ pernah mewakili pasukan bola sepak Pra-Olimpik Malaysia pada tahun 2000 dan 2004.

Pada tahun 1994, Akmal membantu skuad Kedah A menjuarai Piala FAM-MSSM-Milo B14 di Terengganu apabila menewaskan skuad Pulau Pinang A, 3-1. Selanjutnya, pada 1995, Akmal membantu Kedah mara ke perlawanan akhir Piala Nike B14 di Serdang, Selangor sebelum tewas kepada Negeri Sembilan.

Sebenarnya dari dulu pasukan muda bola sepak kita kalahkan team eropah

Pada tahun 1995, nama bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid ini mula mengharum apabila beliau membantu skuad B14 Malaysia di bawah kendalian Holger Obermann untuk menjuarai Kejohanan Nike U14 Asia Pacific Premier Cup di Stadium Institut Teknologi Mara, Shah Alam, termasuk menjaringkan hatrik ketika menewaskan Singapura, 6-0.

Via Astro Awani

Akmal telah dianugerahkan sebagai pemain terbaik kejohanan tersebut. Pada tahun 1995 juga, skuad B14 Malaysia telah menewaskan pasukan B14 Tahun Ajax Amsterdam, 5-4 di Amsterdam, Belanda. Waktu itu Ajax merupakan kelab gergasi Eropah dan mempunyai program pembangunan pemain terbaik.

Pada tahun 1996, Akmal Rizal menjadi salah seorang antara dua pemain yang dikekalkan dalam skuad B14 Malaysia bagi menghadapi Kejohanan Nike Premier Cup. Sebanyak empat pasukan menyertai kejohanan tersebut iaitu Korea Selatan, Jepun, Malaysia dan Indonesia di mana perlawanan dianjurkan di Stadium MINDEF, Kuala Lumpur.

Kita kalahkan Jepun 4-0, paling gila menang 12-0 lawan Korea Selatan

Pada 8 Mei 1996, Malaysia menang 12-0 ke atas Korea Selatan yang dibarisi oleh kebanyakan pemain yang berusia bawah 12 tahun. Akmal menjaringkan tujuh gol manakala Rudie Ramli menjaringkan lima gol. Dua hari kemudian Malaysia menang 4-0 sewaktu menentang Jepun. Rudie Ramlie menjaringkan hattrik manakala Akmal menjaringkan satu gol ke atas skuad B15 Jepun yang lebih berpengalaman. Indonesia pula menewaskan Korea Selatan, 5-1.

Tapi sayangnya pasukan remaja Malaysia gagal menempah tiket ke Manchester yang merupakan hadiah menjuarai kejohanan itu, apabila dikecewakan Indonesia 1-2 dalam perlawanan akhir pada 12 Mei 1996. Korea Selatan pula menang 2-1 ke atas Jepun. Indonesia yang menjadi juara Asia, layak bersama juara Zon Amerika Latin dan Amerika Utara untuk ke Europe Premier Cup Finals di Manchester, England.

Akmal Rizal
Gambar dari Chedinsphere

Sekali lagi, Akmal Rizal meraih anugerah pemain terbaik kejohanan. Antara pemain remaja Malaysia ketika itu ialah Rudie Ramli, Arman Zairie Johan, Saufi Wahab, Ng Boon Leong, Zulkifli Yusoff, Syed Mohammad Faizal, Shahrizan Salleh, Harman Amran, Shamsudin Abdul Karim, Sipen Makmur, Iskandar Shah Ismail, Norzaidi Rohmat, Fairuz Montana, Khairul Naib, Syad Azia Syed Muhammad, Ghazali Zainul, Azrul Hisyam dan Mohamed Hairi.

Akmal telah diberi peluang berlatih selama sebulan bersama kelab Bayern Munich di Jerman pada September 1997. Sebelum itu, seorang lagi pemain Kedah, Rafiz Abu Bakar turut berlatih di kelab yang sama pada tahun 1996. Pada 1997, Akmal mewakili skuad B18 Kedah dan layak ke Separuh Akhir Kejohanan B18 Kebangsaan, tetapi tewas kepada Selangor.

Akmal pernah jadi pemain paling muda skuad olimpik

Pada 1998 pula, Akmal mewakili Kedah pada Kejohanan Bola Sepak B18 Tahun MSSM. Beliau telah membantu Kedah mara ke perlawanan akhir, di samping menjaringkan 10 gol dalam empat perlawanan termasuk hatrik ketika menewaskan Pulau Pinang dan Pahang.

Pada tahun sama juga, Akmal mewakili Malaysia di bawah kendalian Hatem Soussi sewaktu Pusingan Kelayakan Kumpulan 7, Kejohanan Bola Sepak Remaja Asia B19. Akmal sekali lagi mewakili negara pada Kejohanan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Asia di Cheju, Korea Selatan dan mengakhiri musim 1998 dengan membantu Kedah menjuarai Piala Milo B18 Kebangsaan.

Via Tenor

Pada tahun 1999, Akmal terpilih sebagai pemain paling muda dalam skuad Olimpik 2000 negara. Beliau telah menjaringkan gol dalam perlawanan sulungnya bersama skuad itu pada 5 Mac 1999 pada minit ke-36 ketika menewaskan skuad Olimpik Singapura 3-1 dalam perlawanan persahabatan di Bukit Jalil.

Selain bermain dalam Kejohanan Bola Sepak Empat Negara, Akmal turut menjaringkan satu gol ketika seri 2-2 dengan Hong Kong dalam perlawanan sulung kelayakan Kumpulan 6 Kelayakan Sukan Olimpik Sydney. Skuad ini yang pernah diaibkan oleh skuad Sukan Asia Thailand, 0-9 pada 1998, menduduki tangga ketiga, Kumpulan 6 Zon Asia di belakang Jepun dan Hong Kong.

Akmal Rizal Strasbourg
Gambar Internet.

Pernah bermain di Perancis weh, pemain sekarang paling jauh main kat mana?

Walaupun kecewa kerana gagal membantu Kedah layak ke Piala Malaysia, Akmal telah ditawarkan peluang beraksi bersama kelab Racing Strasbourg di Perancis bersama Juzaili Samion dari Pahang pada 1999. Akmal bermula cemerlang apabila menjaringkan dua gol ketika membantu pasukan B21 Strasbourg menundukkan FC Cologne dari Jerman, 3-1 pada perlawanan B23 kelab-kelab Eropah.

Ketika itu, kelab Strasbourg dipimpin oleh Presidennya, Patrick Proisy manakala pengurus merangkap jurulatihnya ialah Claude Le Roy, yang pernah melatih skuad Olimpik Atlanta 1996 dan skuad kebangsaan Malaysia.

Via Tenor

Pada tahun 2000, Akmal beraksi untuk kelab satelit (naungan) Strasbourg, Haguenau FC yang berpengkalan di Alsace, Perancis. Di kelab Haguenau, terdapat juga pemain luar Eropah seperti dari Afrika dan Brazil. Selain itu, tidak timbul masalah makanan halal untuk diperoleh kerana ada orang Islam dari negara Afrika yang berhijrah dan membentuk komuniti di sana.

Akmal telah menjadi tajuk utama akhbar tempatan apabila bersama Juzaili masing-masing menjaringkan gol dalam perlawanan sulung bersama Haguenau. Akmal telah menjaringkan tiga gol dalam lima perlawanan pertamanya dalam aksi Liga Championnat de France Amateurs 2 (CFA2). Akmal telah berjaya membantu FCSR Haguenau melonjak ke CFA, bahagian keempat struktur Liga Perancis.

Akmal Rizal Strasbourg
Gambar Internet.

Akmal kemudiannya kembali ke tanah air dengan menyarung jersi skuad utama Strasbourg FC buat pertama kali ketika menentang Sarawak, menggantikan Peguy Luyindula dan membantu rakannya menjaringkan dua gol. Strasbourg menang 4-0 ke atas Sarawak. Akmal juga menjaringkan satu gol sewaktu membantu Strasbourg mengatasi FC Zagreb 2-0 di Stadium Shah Alam.

Pada Jun 2000, Akmal menjaringkan gol tunggal untuk pasukan B19 negara biarpun tunduk 1-3 kepada kelab Perancis, FC Mulhouse. Beliau kembali ke tanah air untuk pusingan kelayakan Kumpulan 9 Kejohanan Remaja Asia B19 tetapi penyertaannya dihalang di saat-saat akhir berikutan satu keputusan AFC.

Selepas gagal untuk mengekalkan kontrak dengan RC Strasbourg kerana kecederaan ‘hamstring’, Akmal kembali ke Malaysia dan bermain untuk pasukan asalnya, Kedah. Dalam saingan Liga Malaysia, Akmal pernah beraksi untuk beberapa pasukan selain Kedah seperti Selangor, Kelantan, Perak, Kuala Muda Naza FC dan Sarawak.

Akmal Rizal akan tetap jadi legenda yang dikenang

Meskipun sudah bersara, Akmal Rizal akan terus dikenang sebagai antara penyerang terbilang dalam lipatan sejarah bola sepak negara. Sebagaimana Mokhtar Dahari, Azman Adnan, Che Zambil Ahmad dan lain-lain, beliau punya tempat tersendiri dalam jiwa pengikut setia bola sepak tanah air.

Apa lagi, beliau merupakan antara segelintir pemain bola sepak Malaysia, yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi mencari pengalaman di luar negara. Moga akan lahir lebih ramai Akmal dalam masa terdekat, bagi mempertajamkan skuad kebangsaan, dan mengembalikan kegemilangan Harimau Malaya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print