Keputusan SPM dah keluar tapi tak tahu nak buat? Ikuti langkah ni…

F1

Mesti cuak kan nak tunggu keputusan SPM? Kami pasti ada di antara korang atau adik-adik korang ni masih tertanya-tanya lagi apa bendalah nak dibuat lepas SPM. Jangan takut ye adik-adik… kami pun pernah jugak melalui fasa ‘tertanya-tanya’ dan keliru mengenai arah laluan hidup. Nasihat demi nasihat korang tadahkan telinga supaya korang buat keputusan yang baik untuk masa depan.

Via Giphy

Kali ni, kami nak kongsikan nasihat kami pulak kat korang yang lepasan sekolah ni, terutamanya budak SPM dan STPM. Secara umumnya di Malaysia ni, ada tiga laluan utama untuk korang pilih. Kalau korang berkenan nak cuba haluan tu, why not kan?

1. Teruskan belajar hingga ke menara gading, pegang ijazah tertinggi…

Ni antara laluan paling popular dalam kalangan para lepasan SPM dan STPM. Kami pun melalui jalan ni jugak, iaitu lepas SPM dan STPM tu… kami nak masuk kolej atau universiti. Haa.. ni dipanggil ‘tertiary education’, atau peringkat ketiga lepas korang masuk sekolah rendah (pendidikan primari) dan sekolah menengah (pendidikan sekunder).

Profil Pendidikan Rakyat
Via Blog Santai

Bagi lepasan SPM, korang ada banyak pilihan… korang boleh teruskan ke Pra-Universiti (Tingkatan 6), Matrikulasi, Asasi, ataupun Diploma. Kalau penat baca buku dan lebih suka buat kerja bersifat hands-on, korang boleh je cuba ambil Sijil Kemahiran yang ditawarkan kat kolej teknikal. Sama hebat je tu, yang penting apa yang korang buat dengan ilmu korang tu nanti.

Apa beza Pra-Universiti dan Diploma? Ni soalan biasa yang keluar dari mulut budak-budak lepasan SPM. Okey, ia mudah je… Pra-Universiti ni peringkat STPM, dimana korang biasanya akan ambil 4-5 subjek je. Dari satu sudut, peringkat pra-universiti bantu korang rasa sikit pengalaman buat kerja tugasan seperti di universiti.

Kami sarankan korang jangan buat gini ye… -Via Giphy

Namun antara kelemahannya adalah arah laluan pendidikan korang masih lagi bersifat general. Tunggu kat UPU baru ada jurusan pengkhususan korang ikut aliran yang dah korang ambil masa STPM dulu. Begitu jugak dengan Matrikulasi.

Tak seperti Asasi dan Diploma, mereka ni biasanya dah terus masuk ke dalam pengkhususan. Asasi ni selalunya adalah ‘bakal mahasiswa’ sesebuah universiti tu, maka tak hairanlah kalau universiti letakkan syarat yang tinggi dalam proses pemilihan dan penerimaan pelajar tu.

Universiti Asasi Program
Via Viramon

Budak Asasi berkemungkinan besar akan diserap terus ke dalam sistem untuk jadi mahasiswa Ijazah Sarjana Muda. Pada tahun akhir Asasi tu, universiti atau pelajar sendiri yang akan pilih pengkhususan mereka ke arah peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Diploma pun ijazah yang dah khusus pada satu-satu bidang kepakaran, seperti Diploma Pentadbiran Awam, Diploma Pemasaran dan Diploma Bangunan. Kalau korang memang nak cepat bina kemahiran korang dan terus menceburi sesuatu industri, diploma adalah pilihan yang baik.

Via Giphy

Mana satu universiti yang baik? Ni pun salah satu cabaran bila nak pilih lokasi bakal menara gading korang. Rata-rata universiti kat Malaysia ni baik dan dijaga kualiti pendidikannya, tak kira nak masuk universiti awam atau universiti swasta.

Korang boleh pilih universiti yang korang nak masuk tu dengan ambil kira kos pengajian, minat dan peluang korang nak buat duit dari jurusan tersebut serta lokasi dari rumah korang dan syarat kemasukan am serta khas setiap universiti tu. Kempen Jom Masuk IPT antara cara yang bagus untuk korang bandingkan kelebihan tiap universiti.

Yuran Pengajian Ijazah
Contoh senarai pilihan jurusan dan yuran yang dikenakan. Via Kuipsas

Bantuan pinjaman pun banyak jugak, begitu juga dengan pilihan biasiswa yang ada. Korang janganlah asyik ingat PTPTN je ye… Dari segi kos pula, jalan melalui STPM ke universiti agak murah berbanding masuk ke dalam Asasi dan Diploma. Begitu jugak dengan jalan dari SPM ke Sijil Kemahiran Malaysia. Mungkin benda ni pun penting bagi mereka yang kurang berkemampuan tapi masih berminat nak teruskan pelajaran.

2. Cari kerja dulu, bina resume dan pengalaman kerjaya…

Laluan kedua yang korang sebagai lepasan sekolah adalah dengan cari kerja. Kadangkala mereka yang nak cari kerja dulu ni lebih suka nak stabilkan kewangan, sukakan cabaran lain dari hanya dalam kelas dan kuliah serta mereka yang dah ada peluang baik untuk memantapkan kerjayanya.

Via Giphy

Banyak je kerja yang memerlukan lepasan sekolah khususnya lepasan SPM dan STPM. Oleh sebab kerajaan dah naikkan gaji minima (hanya di beberapa kawasan terpilih setiap negeri), maka korang boleh dapat gaji yang berpatutan. Di samping tu, ada jugak kes mereka dah dipanggil temuduga atau dah dapat panggilan kerja dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) lepas tu cuba-cuba nasib isi SPA8 dulu.

Dengan pengalaman kerja korang, korang ada kelebihan untuk bina jaringan kenalan kerja dalam industri korang serta resume pun kira cantik jugaklah. Sama je pun sebenarnya; graduan universiti nanti pun akan masuk ceburi industri yang ada di Malaysia dengan sijil ijazah sarjana muda mereka, manakala korang pula bersaing dengan resume serta pengalaman kerja korang.

Graduan pula kena bina ‘portfolio’ yang baik agar boleh bersaing dengan mereka yang dah kerja lebih lama… Via Giphy

Selain tu, korang pun boleh je sambung belajar sambil bekerja kat beberapa universiti yang tawarkan kursus Ijazah Sarjana Muda seperti Open Universiti Malaysia (OUM). Jadi korang takyah rasa tertinggal apapun dengan mereka yang pilih laluan pertama tadi, sama seperti mereka yang dari laluan pertama tu masuk dalam industri pekerjaan korang.

3. Buka perniagaan sendiri dan terus bangunkan pengetahuan keusahawanan…

Ada jugak laluan ketiga yang dah biasa kami tengok, iaitu korang buka sendiri perniagaan kecil dan timba pengetahuan pasal dunia perniagaan. Berbanding masuk universiti dan kerja makan gaji, laluan ni pun banyak ranjau durinya. Tapi kalau menjadi, fuh boleh jadi kaya berkepok-kepok duit kat tangan.

Via Giphy

Daripada perniagaan kecil ni, korang boleh terus cuba memperluaskan pasaran produk dan khalayak sasaran pembeli korang. Banyak je usahawan tempatan kita yang berjaya melariskan produk mereka hingga ke luar negara, dan masih banyak lagi cara yang lebih murah untuk korang mulakan perniagaan kecil tersebut seperti kaedah dropship.

Bukan setakat cipta produk, korang pun boleh je jadi petani moden. Haa… sekarang ni jadi petani atau penternak dah boleh buat duit. Bukan lagi macam gambaran dulu-dulu yang selalu tunjuk kerja jadi petani atau penternak ni mesti ala-ala kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kerajaan pun dah siap bagi bantuan kewangan untuk korang kembangkan ladang korang tu.

Dron Sawah Ladang Pertanian
Sekarang, petani moden dah guna teknologi dron… Via Berita Harian

Kalau jadi ‘tokoh’ alam maya pun boleh buat duit jugak, macam kerjaya live-streamer. Korang pun dah boleh buat bisnes perkhidmatan korang sendiri sambil melancong – haa ni kerja digital nomad. Yang penting korang ada skil dan kemahiran digital yang diperlukan oleh klien korang tu. Pandai PhotoShop? Tu dah boleh buat duit dah.

Tambah lagi, laluan ketiga ni pun sebenarnya boleh je dilakukan masa korang tengah kerja makan gaji ataupun tengah berada di bangku universiti. Cuma kalau nak betul-betul majukan bisnes korang, ada baiknya jika korang terus fokus dan sabar menghadapi cabaran berniaga ni.

Rumah Alif Syukri
Ni rumah agam Dato’ Alif Syukri. Yang penting usaha korang tu halal ye.. bukan duit hasil rasuah dan penyelewengan… Via Iluminasi

Laluan hidup ni fleksibel, korang tak rugi apa kalau korang berani mencuba…

Dunia lepas sekolah menengah ni memang menakutkan. Korang boleh dengar berapa banyak nasihat, atau baca berapa banyak perkongsian sekalipun; korang jugak yang akan tentukan laluan hidup korang. Kami taklah masukkan laluan keempat yang biasanya dipilih oleh sesetengah anak muda, iaitu alam perkhawinan. Tu bukan penamat hidup korang ye… Kejarlah cita-cita korang tu selagi semangat anak muda tu masih membara.

Kalau korang perhatikan betul-betul; ketiga-tiga laluan ni bukanlah suatu laluan yang ketat dan sempit seperti yang selalu tergambar dalam minda orang dulu-dulu. Generasi anak muda kini miliki lebih banyak ruang untuk memilih apa mereka nak jadi. Korang boleh je berada dalam ketiga-tiga laluan ni – takde masalah pun. Janganlah risau dan rasa tertekan dengan pilihan-pilihan yang terbentang luas ni… takde laluan yang salah ke arah masa depan sampai takde u-turn. Semoga berjaya!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *